Saya mengucapkan terima kasih kepada beberapa orang rakan yang menyiarkan masukan “Angka Roman Tidak Memerlukan Awalan Ke” di blog mereka. Saya percaya setiap blog mempunyai pembaca tetap tersendiri. Jadi, penyiaran semula sesuatu masukan daripada blog rakan memungkinkan lebih banyak khalayak memanfaatkannya.
Untuk makluman pengunjung baharu blog ini, saya memang mengizinkan tulisan saya di sini disiarkan di wadah yang lain tanpa tujuan komersial. “Wadah yang lain” itu termasuklah laman sesawang, blog, Facebook dan risalah atau surat berita. Garis panduan tentang perkara ini saya jelaskan dalam masukan “Notis Hak Cipta dan Huraiannya”.
Saya sudah memperoleh risalah Koleksi Lembar Bahasa 1 cetakan ketiga tahun 2009. Jadi, ayat “Lembar ini dicetak ulang pada tahun 2006 dan 2007” sudah saya ubah. Tahun 2007 sudah ditukar menjadi tahun 2009.
Tulisan Tuan Haji Muhammed Salehudin Aman dalam Dewan Siswa keluaran bulan November 2009 itu selari dengan pendapat pakar bahasa kebangsaan kita, iaitu Tuan Ismail Dahaman dalam bukunya Bahasa Kita, cetakan pertama 1997 dan edisi kedua 2006. Sebagai melengkapkan masukan yang berkenaan, saya salin petikan yang berkaitan:
Satu lagi cara penulisan kata bilangan ordinal dengan angka adalah dengan menggunakan angka Roman besar I, II, III, XI, XII, XIII, dan seterusnya tanpa perlu menggunakan awalan ke-. Ini bererti, angka Roman besar tersebut sedia mengandungi maksud “bilangan atau kali yang kesekian”, atau secara khusus digunakan bagi merujuk kepada “abjad yang kesekian”.
Penggunaan contoh bagi “bilangan atau kali yang kesekian”:
(i) Sidang XX Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia
(ii) Mesyuarat Agung XIV Persatuan Sejarah Negeri
(iii) Kejohanan Sepak Takraw VI
(iv) Sukan Komanwel XVI (Sukom XVI)
Penggunaan contoh bagi “abad yang kesekian”:
(i) “Abad ke-12” boleh ditulis “Abad XII”
(ii) “Abad ke-20” boleh ditulis “Abad XX”
(iii) “Abad kelima belas” boleh ditulis “Abad XV”
(iv) “Abad kesembilan belas” boleh ditulis “Abad XIX”
(v) Abad keenam belas = Abad ke-16 = Abad XVI
Perkara ini wajar mendapat perhatian pengguna bahasa kebangsaan kita, khususnya guru Bahasa Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana kita kerap menggunakan angka Roman besar dalam tajuk yang menjadi latar pentas. Contohnya, “Sukan Tahunan VI”, “Majlis Penyampaian Sijil XI” dan “Mesyuarat Agung XIV”.
Pelajar yang sudah membaca makalah dalam Dewan Siswa itu mungkin dapat mengesan kesilapan dalam tajuk pada latar pentas, kulit buku atur cara dan sebagainya sekiranya tajuk itu ditulis seperti ini: “Sukan Tahunan *Ke-VI”, “Majlis Penyampaian Sijil *Ke-XI”, dan “Mesyuarat Agung *Ke-XIV”. Guru mungkin berasa hati jikalau ada murid menyatakan penggunaan angka Roman besar dalam tajuk itu merupakan satu kesilapan. Oleh hal yang demikian, sebar luaskanlah maklumat ini.
Perkara ini kecil. Kesilapan kecil tidak mungkin mencacatkan perjalanan majlis. Kita akur. Namun, apabila latar pentas yang mengandungi kesilapan kecil menjadi sasaran lensa kamera media, ada kemungkinan perkara kecil ini menjadi besar. Paling tidak, kita akan senyum payau sendirian apabila menyaksikan perkara kecil ini terakam dalam foto di dinding rumah kita.
Mudah-mudahan catatan susulan ini ada manfaatnya.
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan