Beberapa orang ahli E-Grup Jabatan Pengajian Melayu (JPM) pernah menimbulkan penggunaan istilah “bahasa Malaysia”. Satu soalan menarik dikemukakan oleh Rizal Othaman Tehrani pada 30 Jun 2007. Soalannya yang sudah disunting adalah seperti yang di bawah:
Sejak beberapa bulan yang lalu, kita mendapat arahan agar menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” bagi menggantikan istilah “Bahasa Melayu” dalam semua penggunaan rasmi. Susulan arahan ini,satu grup diskusi membincangkan penggunaan istilah “Melayu” dalam ungkapan “Jabatan Pengajian Melayu” (JPM). Adakah JPM juga bercadang untuk menukarkan perkataan “Melayu” kepada “Malaysia”?
Soalan ini saya jawab pada 2 Julai 2007. Saya salin jawapan itu di bawah ini untuk rujukan kita.
Terima kasih diucapkan kepada saudara kerana mengemukakan isu yang sangat menarik. Untuk makluman, seorang pegawai Bahagian Pendidikan Guru (BPG), saya dan beberapa orang pensyarah institut pendidikan guru Malaysia (IPGM) pernah membincangkan isu ini. Rumusan perbincangan itu adalah seperti yang di bawah.
(a) Cara penguatkuasaan dasar kerajaan seperti penggunaan nama bahasa Malaysia lazimnya dibutirkan dalam satu surat pekeliling. Oleh sebab surat pekeliling itu belum ada (atau belum diterima) kita perlulah berhati-hati memberikan komen (apalagi tergesa-gesa melaksanakannya) kerana dikhuatiri bercanggah dengan garis panduan dalam surat pekeliling yang akan dikeluarkan.
(b) Saya menjangka penggunaan istilah bahasa Malaysia akan terhad, iaitu secara umum sahaja seperti dalam ayat "Kita hendaklah membaca akhbar bahasa Malaysia setiap hari". Penggunaannya secara khusus yang melibatkan undang-undang, peraturan kerajaan dan sebagainya mungkin tidak berkaitan atau memakan masa untuk melaksanakannya. Misalnya, kursus Literasi Bahasa Melayu di IPGM memang dapat ditukar menjadi Literasi Bahasa Malaysia tetapi mesti mengikut proses tertentu. Berdasarkan sistem kualiti yang sedia ada, cadangan itu mesti dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Profesional, Pengurusan dan Pentadbiran (MPPP) peringkat BPG. Setelah MPPP BPG meluluskannya, perkara itu mesti dibentangkan pula dalam satu mesyuarat jawatankuasa yang berkaitan dengan kurikulum di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Apabila KPM memberikan kelulusan, barulah nama kursus itu boleh diubah.
(c) Saya menjangka penggunaan istilah bahasa Malaysia tidak melibatkan nama khas yang bukan bermaksud bahasa seperti Dewan Perniagaan Melayu, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, baju Melayu, masakan Melayu, dan Jabatan Pengajian Melayu. Saya percaya kita semua maklum bahawa Pengajian Melayu mempunyai makna khusus seperti Pengajian Inggeris, Pengajian Cina dan Pengajian Islam sebagaimana yang terdapat di kebanyakan institusi pengajian tinggi. Namun demikian, jika kita suka, hal ini dapat sahaja dijadikan bahan lawak.
Inilah pandangan saya. Adapun pandangan mereka yang berwibawa dalam arena bahasa kita dapat diakses di e-grup kita. Silalah baca pandangan mereka dengan teliti.
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan