21 Disember 2009

Gunakanlah Bahasa Malaysia atau Kembali Menggunakan Bahasa Melayu?

“Gunakanlah Bahasa Malaysia” ialah tajuk nota editor Pelita Bahasa keluaran Ogos 2007. Dalam nota itu dinyatakan bahawa keputusan menukarkan istilah “bahasa Melayu” kepada “bahasa Malaysia” “diambil setelah pertimbangan yang sewajarnya diberikan”. Oleh itu, penulis mencadangkan agar pembaca majalah Pelita Bahasa melihat pertukaran itu “daripada perspektif yang positif”. Penulis menegaskan bahawa “pertukaran istilah itu dilakukan untuk menimbulkan perasaan kekitaan, perpaduan dan integrasi”.

Dua perenggan terakhir tulisan itu dipaparkan di bawah ini. Kedua-dua perenggan ini seolah-olah memberikan galakan kepada rakyat Malaysia agar menggunakan istilah “bahasa Malaysia”. Apabila kita renungi kedua-dua perenggan ini, kelihatannya ada maksud tersirat. Para pembaca wajar membaca keseluruhan tulisan asal untuk menyelami maksud tersirat itu.

 
Marilah sama-sama kita fikirkan sama ada “harapan” yang terkandung dalam kedua-dua perenggan ini sudah menjadi kenyataan atau belum. Jikalau belum ada apa-apa kesannya, ajaklah rakyat Malaysia kembali menggunakan istilah “bahasa Melayu”, iaitu istilah yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Barangkali pertukaran istilah itu dapat menggiatkan usaha memperkasakan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Mungkin hal itu bermakna bahawa jika dahulu bahasa lain digunakan dalam mesyuarat, kini bahasa Malaysia harus digunakan sepenuhnya dalam mesyuarat tersebut. Jika dahulu bahasa lain digunakan pada papan tanda perniagaan, kini tidak ada sebab lagi untuk tidak menggunakan bahasa Malaysia. Jika dahulu wujud stesen radio yang langsung tidak menggunakan bahasa Malaysia, kini stesen itu perlu menggunakan bahasa Malaysia sepenuhnya.

Dengan hal demikian, barulah wujud perasaan kekitaan, perpaduan dan integrasi dalam kalangan rakyat Malaysia apabila menggunakan bahasa Malaysia. Jika bahasa Melayu, dan tentu juga bahasa lain, dianggap tidak mewujudkan perasaan kekitaan, perpaduan dan integrasi dalam kalangan rakyat negara ini, maka kini gunakanlah bahasa Malaysia.”
Marilah sama-sama kita fikirkan sama ada “harapan” yang terkandung dalam kedua-dua perenggan ini sudah menjadi kenyataan atau belum. Jikalau belum ada apa-apa kesannya, ajaklah rakyat Malaysia kembali menggunakan istilah “bahasa Melayu” yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.

1 ulasan:

zarahothman berkata...

mengapakah kertas bahasa melayu upsr/pmr/spm masih menggunakan kata bahasa melayu? mengapakah tidak ditukar kepada bahasa malaysia?

hal ini amat mengelirukan kami pelajar/guru-guru di sekolah.