Saya mendapati pembaca blog ini kerap mencapai masukan klip video “Lagu Puisi oleh Fawwaz Thaqif”. Kebanyakan pembaca mencapai masukan ini melalui enjin carian Google. Pada hemat saya, pencapai masukan ini terdiri daripada murid, guru dan peminat lagu puisi.
Pembaca blog ini juga kerap mencapai masukan yang berkaitan dengan rancangan pengajaran harian (RPH). Antara masukan itu termasuklah “Format RPH Bahasa Melayu (BM)”, “Penggunaan Lajur Catatan”, “Empat Kejanggalan dalam RPH” dan “RPH Contoh”. Pada hemat saya, pencapai ialah pelajar dan pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
Masukan blog ini yang tinggi juga kekerapan pencapaiannya ialah masukan yang berupa refleksi. Kedua-dua jenis refleksi yang terdapat dalam blog ini, iaitu refleksi kerja kursus berasaskan ilmu (KKBI) dan refleksi praktikum, mendapat perhatian yang hampir seimbang daripada para pembaca. Antara refleksi itu termasuklah “Memecahkan Ruyung Ilmu”, “Gementar pada Hari Pertama” dan “Manfaat Menulis RPH Terperinci”. Pada hemat saya, pencapai ialah pelajar IPGM.
Beberapa orang pelajar IPGM menyatakan bahawa masukan yang berkaitan dengan RPH dan refleksi membantu mereka menyempurnakan kerja kursus masing-masing. Seorang pensyarah IPGM pula menyatakan bahawa masukan blog ini menjadi rujukannya dan dapat membantunya dalam urusan harian. Saya berkeyakinan, antara masukan yang menjadi rujukannya ialah masukan yang berkaitan dengan RPH dan praktikum.
Saya masih menyimpan sejumlah catatan tentang RPH. Catatan itu berupa nota kuliah. Jadi, catatan itu rasanya kurang sesuai untuk tatapan pembaca umum. Walau bagaimanapun, jikalau ada permintaan, saya akan cuba menyunting dan menerbitkannya. Selain itu, saya berharap ada pensyarah dan pelajar IPGM sudi berkongsi RPH mereka di sini. Sebaik-baiknya RPH itu sudah terbukti berjaya dilaksanakan di dalam bilik darjah.
Saya juga masih menyimpan beberapa banyak refleksi KKBI dan praktikum. Refleksi itu dihasilkan pada tahun 2007 atau sebelumnya. Jadi, penyiarannya di sini dapat dianggap sebagai sudah ketinggalan masa. Sehubungan dengan hal ini, saya berharap ada pensyarah dan pelajar IPGM sudi berkongsi refleksi mereka di sini. Saya berharap Saudara Fawwaz Thaqif menjadi orang pertama yang sudi menunaikan permintaan saya.
Jikalau tuan sudi berkongsi maklumat di sini, e-melkanlah bahan itu kepada mohdisa_abdrazak@yahoo.com. Insya-Allah, saya akan cuba menyunting bahan itu sebaik-baik yang mungkin. Mutu bahan itu dapat ditingkatkan sekiranya pengirim sudi berbincang dengan saya melalui e-mel atau “peti masuk” Facebook.
Saya berharap pensyarah dan pelajar IPGM khususnya, para pengunjung umumnya, sudi merakamkan ulasan ringkas dalam ruangan ulasan di bawah masukan RPH, refleksi dan masukan yang lain. Saya memerlukan ulasan, terutamanya ulasan yang menyatakan kekurangan catatan berkenaan. Saya juga memerlukan ulasan dari sisi pandangan yang lain dan ulasan yang mengandungi maklumat baharu. Saya berharap interaksi antara penulis blog ini dengan para pengunjung dapat ditingkatkan mulai tahun 2010.
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan