Sejak kerajaan mempopularkan gagasan Satu Malaysia pada pertengahan tahun 2009, banyak ungkapan Satu Malaysia tercipta. Carian dengan Google pada 27 Disember 2009 menunjukkan hampir 1.5 juta ungkapan salam Satu Malaysia, 350,000 ungkapan saham Satu Malaysia, dan 90,000 ungkapan klinik Satu Malaysia tersebar di Internet. Jumlah ini termasuk ungkapan yang menggunakan variasi ejaan “1 Malaysia” dan “1Malaysia”.
Dapatan carian ini menunjukkan bahawa ungkapan salam Satu Malaysia sangat popular. Hal ini bersesuaian dengan penggunaan ungkapan ini setiap hari oleh media kerajaan, khususnya radio dan televisyen. Ungkapan ini digunakan juga oleh berbagai-bagai pihak dalam kalangan masyarakat kita. Malah, dalam Facebook, seorang penulis menyatakan bahawa ada penulis Malaysia menggunakan ungkapan ini dalam satu pertemuan penulis se-Nusantara di Singapura.
Kita dapat mengaitkan kepopularan ungkapan salam Satu Malaysia dengan maksud tersirat gagasan itu. Dalam sebuah majalah keluaran Ogos 2009, seorang penulis merumuskan bahawa gagasan Satu Malaysia merupakan percubaan terbaik Perdana Menteri kita untuk meraih semula kepercayaan rakyat terhadap kerajaan pimpinannya. Sehubungan dengan hal ini, menurut seorang rakan, mereka yang menggunakan ungkapan ini dapat ditafsirkan sebagai akur dengan hasrat Perdana Menteri.
Kita sedia maklum, sebelum kewujudan gagasan Satu Malaysia, sudah ada berbagai-bagai gagasan tetapi tidak pula wujud salam yang menggunakan nama gagasan itu. Misalnya, tiada salam Pandang ke Timur, salam Wawasan 2020 atau salam Islam Hadhari. Jadi kemunculan salam Satu Malaysia dan penggunaannya secara tekal oleh media kerajaan, khususnya radio dan televisyen, merupakan satu hal yang istimewa.
Selama manakah ungkapan ini akan bertahan? Sukar untuk kita menjawab soalan ini. Namun, seorang penulis Sabah berkata, lambat-laun ungkapan ini akan lenyap juga. Perkara ini dijangka berlaku apabila kepimpinan negara berubah. Misalnya, ungkapan Islam Hadhari sudah jarang digunakan oleh media dan masyarakat kita. Ungkapan ini akan menjadi sejarah tidak lama lagi.
Ramalan penulis Sabah itu ada asasnya. Pada masa ini pun ada pihak tidak berminat untuk menggunakan ungkapan itu. Mereka menganggap ungkapan salam Satu Malaysia hanyalah gimik politik. Seorang ahli bahasa menyatakan, gimik politik itu tidak dapat dipertahankan dari segi semantik dan pasti akan lenyap. Seorang lagi penulis dilaporkan oleh seorang pengulas di Facebook sebagai berkata, “Kalimah salam Satu Malaysia ibarat cek kosong; sedap disebut tetapi tiada nilai yang boleh dituntut.” Terkini, akhbar Harakahdaily melaporkan, ada ulama berpendapat bahawa ungkapan salam Satu Malaysia itu sebagai bidaah.
Catatan ini mungkin dapat membantu kita sama ada hendak terus menggunakan ungkapan salam Satu Malaysia atau tidak. Keputusan itu dapat kita lakukan sendiri tanpa menunggu panduan daripada pakar bahasa seperti Tuan Ismail Dahaman yang sudah mencadangkan agar kita menggunakan ungkapan Satu Malaysia, dan bukannya 1 Malaysia atau 1Malaysia.
Lampiran
Kaji Semula Ucapan “Salam 1Malaysia” - Ulama
Mohd Yusri Amin, Harakahdaily, 14 Disember 2009
KOTA BHARU, 14 Disember 2009: Selepas Islam Hadhari tenggelam bersama Tun Abdullah Ahmad Badawi, kini rakyat digalakkan melakukan perbuatan bidaah (tidak menjadi amalan Nabi Muhammad saw) apabila dipaksa melafazkan ucapan “Salam 1Malaysia”.
Ulama menjelaskan ucapan seperti itu merupakan satu perbuatan bidaah dan tidak ada dalam Islam.
Malah, kata mereka ucapan itu seperti mempersendakan Islam yang menganjur umatnya melafaz ucapan “assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh”.
Sehubungan itu, ia perlu dikaji semula dan pandangan dari para ulama yang adil perlu diambil untuk menilainya.
Bekas Yang Dipertua Abim Kelantan, Mohamad Mustafa berkata, ucapan Salam 1Malaysia adalah salam nasionalisme yang berpangkal kepada tuntutan agama.
"Rasulullah saw tidak pernah mengajar Salam 1Madinah ketika baginda mula-mula menegakkan kerajaan Islam selepas diusir oleh kafir Quraisy dari Mekah.
“Sekiranya mahu melaksanakan Islam dan bukan menjadi penghancur kepada amalan Islam berilah salam yang sempurna. Ini sesuatu yang cukup memalukan umat Islam di negara ini," katanya.
Ucapan Salam 1Malaysia kini seperti menjadi peraturan yang diwajibkan pembaca berita di media elektronik di negara ini. Ucapan itu dilafazkan ketika awal dan akhir membaca berita.
Bagaimanapun ramai ulama yang mencari makan dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menegur perbuatan tersebut biar pun ia jelas bercanggah dengan Islam.
Begitu juga Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria membisu. Beliau sebelum ini dilihat lebih cepat mengkritik dan mempersendakan pemimpin PAS.
Mohamad yang juga Adun Demit turut meluahkan rasa curiga terhadap slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” kerana dalam ajaran Islam mestilah Allah SWT didahulukan dalam segala hal.
Katanya juga, tauhid amali tidak dilaksanakan kerajaan BN sejak menerajui negara ini pada 1957.
“Dari segi dasar pemerintahan negara, Islam tidak dimartabatkan sebab Allah SWT tidak didahulukan, bahkan Islam kerana hak Allah SWT tidak ditunaikan.
“Mereka telah mensyirikkan Allah SWT dengan menduakan sistem dalam melaksanakan undang-undang. Inilah yang dinamakan sebagai syirik nasional,” katanya di sini.
Beliau juga berkata, konsep 1Malaysia yang dilaungkan perdana menteri sekarang sekadar mengajak rakyat bersatu di atas dasar seperti diamalkan di United State America.
Sedangkan kata beliau penyatuan sebenar bagi umat Islam berdasarkan kepada tauhid.
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan