Asas hubungan antara guru dengan murid ialah kasih sayang. Guru sekolah rendah membina dan mengukuhkan asas itu. Guru sekolah menengah pula memperteguhnya dengan binaan tambahan yang bernama tanggungjawab. Inilah pati makalah “Pelajar Rindu Pujian Guru” nukilan Tuan Anuar Ahmad yang tersiar dalam satu akhbar perdana pada 16 Januari 2010.
Menurut pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, cara terpenting untuk melahirkan kasih sayang adalah dengan memberikan pujian kepada murid. Menurutnya lagi, guru hendaklah memberikan pujian serta-merta dan khusus. Pujian juga hendaklah diikutsertakan dengan fitur paralinguistik.
Apabila murid memperlihatkan kemajuan, mencapai kejayaan atau bertingkah laku positif, berikan pujian kepadanya pada masa itu juga. Jangan tunggu lama-lama, seperti selepas masa pelajaran itu berakhir, esok atau lusa. Pujian terlewat kurang berkesan. Pujian itu hendaklah berdasarkan pencapaian perseorangan tanpa membandingkannya dengan pencapaian murid lain. Guru juga wajar mencatatkan pujian pada bahagian tertentu kerja bertulis murid.
“Di luar kelas, adalah sangat berkesan guru memberikan pujian sebaik sahaja pelajar melakukan perkara yang baik misalnya membuang sampah ke dalam tong sampah atau pelajar berbaris semasa membeli makanan di kantin,” kata Tuan Anuar Ahmad dalam makalah itu.
Guru hendaklah memberikan pujian secara khusus. “Murni, markah kamu meningkat hari ini. Tahniah!” Ini ayat contoh saya sendiri. Menurut Tuan Anuar, ayat contoh seperti ini lebih berkesan berbanding dengan ungkapan umum seperti “baik”, “bagus”, “tahniah”, “awak pandai” dan sebagainya.
Guru juga perlu melengkapkan pujian itu dengan fitur paralinguistik, iaitu isyarat bukan bahasa yang mengiringi pertuturan seperti senyuman, bermuka manis dan sentuhan dengan tangan. Suara lembut yang menunjukkan kasih sayang dan intonasi girang yang menunjukkan penghargaan juga termasuk dalam fitur paralinguistik.
Guru hendaklah memberikan pujian secara berterusan, bukannya mengikut mod diri atau mengikut apa-apa “musim”. Pendeknya, jangan tunggu murid merindui pujian guru.
Selain itu, menurut Tuan Anuar, “Lebih banyak pujian sebenarnya adalah lebih baik. Bagaimanapun kuantiti pujian seharusnya dilengkapi dengan pujian yang berkualiti.”
Kesimpulannya, guru, khususnya guru sekolah rendah, teristimewa guru pendidikan khas, guru pemulihan khas, guru prasekolah dan guru tahun satu, sewajarnya menyerlahkan kasih sayang kepada murid dalam usaha mencelikhurufkan dan memandaikan mereka.
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan