14 Februari 2010

Lebih 50 Peratus Murid Belum Menguasai Kemahiran Asas 3M?

Saya lampirkan hantaran Cikgu Suhailee kepada Facebook saya pagi ini. Hantaran itu berupa berita yang bertajuk “Hampir 60% Murid Belum Kuasai Kemahiran Asas 3M”.

Kiriman Cikgu Suhailee ini wajar menjadi renungan kita, khususnya guru Bahasa Melayu (GBM) yang mengajarkan bacaan asas, termasuk (teristimewa) guru KIA2M (GKIA) dan guru pemulihan khas (GPK). Jikalau laporan ini benar, bolehkah kita mentafsirkan bahawa kejayaan GBM (termasuk GKIA dan GPK) mencelikhurufkan murid pada peringkat kebangsaan ialah 40 peratus? Adakah peratusan ini berupa petunjuk pencapaian GBM pada tahun 2009?

Empat puluh peratus itu ialah peratusan peringkat kebangsaan. Peratusan peringkat negeri tentu berbeza-beza. Bagaimanakah kedudukan Sabah - lebih rendah atau lebih tinggi daripada 40 peratus?

Perbezaan peratusan yang ketara pasti berlaku di peringkat daerah. Mungkin ada daerah memperoleh kejayaan sehingga 80 peratus. Mungkin juga ada daerah mencatat kejayaan 20 peratus sahaja. Bagaimanakah kedudukan daerah tertentu di Sabah seperti Semporna, Tenom dan Nabawan?

Perbezaan yang amat ketara pasti berlaku di peringkat sekolah. Mungkin ada sekolah mencapai kejayaan penuh. Ada juga kemungkinan sesebuah sekolah, khususnya di Sabah, mencapai kejayaan 10 peratus atau kurang tetapi mustahillah kosong peratus. GBM, khususnya GKIA dan GPK, mesti mengetahui pencapaian sekolah masing-masing.

Kelihatannya, laporan ini umum dan berupa rumusan pelapor. Kebenarannya wajar disemak.

Media perdana sudah melaporkan pencapaian KIA2M 20009? Mungkin saya ketinggalan. Data KIA2M lebih spesifik dan tinggi kebolehpercayaannya. Jikalau pengunjung memiliki data itu, mohon kongsikan. Jika tiada data kebangsaan, data untuk negeri, daerah atau sekolah juga dapat menjadi renungan kita.

Lampiran
Hampir 60% Murid Belum Kuasai Kemahiran Asas 3MUtusan Malaysia, 13 Februari 2010

BESUT 13 Feb. - Hampir 60 peratus pelajar tahap satu (tahun satu, dua dan tiga) di sekolah seluruh negara setakat ini masih belum dapat menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, menyedari hakikat itulah Kementerian Pelajaran merangka beberapa program termasuk memastikan mereka yang kurang berkeupayaan mengikuti kelas prasekolah bagi meningkatkan penyertaan kepada 87 peratus menjelang tahun 2012.

Beliau berkata, ini sejajar dengan langkah kerajaan menggariskan beberapa sasaran penting di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pendidikan.

''Pencapaian kini hanya pada tahap 60 peratus dan kita akan meningkatkan kadar penyertaan murid kepada 87 peratus menjelang tahun 2012," katanya semasa berucap merasmikan Program Juara Rakyat Peringkat Bahagian Besut di Dewan Gong Kemuntong Jerteh, di sini, hari ini.


Mengulas lanjut Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya juga akan memperkasakan pendidikan pra-sekolah dalam usaha memastikan semua murid pra-sekolah di negara ini berpeluang mendapat pendidikan asas lebih sempurna.

Katanya, selain melatih dan mengambil lebih ramai guru pra-sekolah kerajaan juga akan menyediakan peruntukkan besar bagi memastikan peluang diberi kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan keturunan.

Ditanya mengenai aduan sesetengah pengetua kononnya mereka masih berada tahap Gred Memangku DG 48, sedangkan kementerian berjanji menyelesaikan sejak tahun 2008, Muhyiddin berkata pihaknya akan membuat kajian secara menyeluruh berhubung aduan itu.

Katanya, ini penting sejajar dengan hasrat kementerian merangka program menarik untuk memberikan insentif setimpal kepada pengetua, guru besar dan kakitangan sekolah yang berjaya melonjakkan pencapaian sekolah masing-masing.

Mengenai pemilihan pengetua cemerlang, beliau berkata, pemilihan mereka dibuat secara adil dan telus tanpa mengira sama ada di sekolah terpilih atau luar bandar.

''Ada juga persatuan memberi maklum balas tentang guru tersebut dan kementerian sudah ambil usaha untuk memartabatkan profesion pendidikan," katanya.

Mengulas tentang dakwaan sesetengah pihak yang menganggap 20 sekolah yang diumumkan menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) baru-baru ini sebagai elitist, beliau menegaskan ia adalah dakwaan yang tidak benar.

Ujar Muhyiddin, langkah tersebut adalah sebagai usaha mengiktiraf pencapaian sekolah dan guru besar sekolah tersebut selain menjadi penanda aras kepada kecemerlangan yang membolehkan sekolah itu dijadikan contoh oleh sekolah lain untuk mencapai kejayaan yang lebih baik.

Tambahnya, bagi proses jangka masa panjang, kerajaan juga akan menjadikan semua sekolah di seluruh negeri sebagai sekolah cemerlang dalam usaha memenuhi permintaan yang semakin bertambah.

"Dalam tahun ini juga kita merancang akan mengadakan penambahbaikan terhadap semua sekolah. Jadi tidak akan timbul lagi isu ibu bapa yang berebut-rebut ingin menghantar anak-anak mereka ke sekolah berasrama.

"Jika sekolah itu tidak sampai hingga ke peringkat cemerlang sekalipun kita akan memastikan ia akan mencapai tahap yang lebih baik.

"Justeru itu jika tahun ini kita hanya 20 buah sekolah sahaja dijadikan sebagai SBT, tahun depan kita jadikan 30 buah manakala tahun depan lagi kita jadikan 50 buah pula bagi membolehkan semua anak-anak dapat belajar di SBT," jelasnya.

Tiada ulasan: