14 Februari 2010

Di Sini Kurang 50 Peratus

Tajuk ini tidak berkaitan dengan potongan harga. “Kurang 50 peratus” itu ialah perbandingan masa yang saya gunakan untuk mengendalikan blog ini pada tahun lalu dengan tahun ini. Perbandingan ini tidak tepat tetapi masih dapat menggambarkan aktiviti saya memblog.

Pada tahun 2009, ada dua pola aktiviti saya. Pola yang pertama menggambarkan keghairahan yang terlampau untuk membina/memurnikan blog, mencatat pemikiran semasa dan mengarkib tulisan lama. Purata masukan bulan Januari, Februari dan Mac ialah 60.

Pola yang kedua menggambarkan ketekalan saya melahirkan pemikiran dan perasaan. Masukan tulisan lama semakin kurang, taburan catatan pemikiran dan perasaan semasa semakin seimbang. Purata masukan bulan April – Disember ialah 30 atau saya menghasilkan satu catatan sehari.

Masukan blog ini pada bulan Januari tahun ini ialah 17. Masukan pada bulan Februari ini pula dijangka lebih kurang 15. Keadaan ini memungkinkan masukan blog ini pada tahun 2010 kurang 50 peratus berbanding dengan tahun 2009. Mengapakah perkara ini berlaku?

Bulan Disember 2010 masih terlalu jauh. Keadaan boleh berubah. Namun, berdasarkan situasi pada masa ini, kemungkinan keadaan itu berterusan amat tinggi.

Oh, saya masih belum menjawab soalan: Mengapakah perkara ini berlaku? Jawapannya, 50 peratus masa itu saya gunakan untuk beraktiviti di Facebook. (Profesor Abdullah Hassan menamakan Facebook sebagai laman buku maya.)

Mengapakah pula saya memilih untuk menggunakan 50 peratus masa memblog itu untuk beraktiviti di laman buku maya? Bah, sendiri tanya, sendiri jawab. Jikalau tidak dijawab pun, tiada siapa yang kisah.

2 ulasan:

Suhailee Sulaiman berkata...

Salam Cikgu Mohd Isa.
Saya masih ingat semasa mula-mula tertarik dengan dunia internet pada akhir tahun 1990-an. Ketika itu golongan muda seperti saya sangat berminat dan banyak menghabiskan masa menggunakan kemudahan bersembang secara maya (chatting) seperti MIRC dan laman sosial seperti Friendster. Meskipun capaian internet di negara kita khususnya di Sabah pada masa itu tidaklah secanggih seperti sekarang kerana hanya menggunakan teknologi dial-up.
Masa berlalu dan apabila capaian internet yang lebih pantas semakin meluas di negara kita, masyarakat semakin meminati laman-laman web dan blog. Laman-laman web dan blog tumbuh bagai cendawan di negara kita serta sangat diminati ramai kerana menyediakan pelbagai sumber maklumat. Malah kepantasan dan kebolehpercayaan laman web atau blog dalam menyiarkan sesuatu berita mengatasi media arus perdana.
Saya akui, pengguna internet di seluruh dunia semakin ghairah menggunakan laman sosial Facebook (FB) kerana sifat interaktifnya yang canggih. Sungguhpun demikian kehebatan FB ini tidak seharusnya kita jadikan alasan untuk menggantikan sumber keilmuan dan maklumat yang diwarisi sekian lama seperti buku, majalah dan akhbar. Penduduk di negara kita perlu terus digalakkan menjadi masyarakat yang mencintai ilmu, pengkarya malah pencipta dalam pelbagai bidang seperti yang sering dilaung-laungkan.
Portal, laman web dan blog masih penting dan diperlukan. Misalnya kewujudan portal atau laman web jabatan kerajaan amat berkesan sebagai saluran rasmi penyiaran berita dan maklumat terkini, pelbagai perkhidmatan dan dokumen yang boleh dicapai dalam masa yang singkat.
Mungkin kewujudan FB pada masa yang tepat ketika rakyat negara ini dan di seluruh dunia menikmati ledakan capaian internet yang sangat laju, lebih murah dan liputan yang lebih luas. Kita sendiri tidak tahu bentuk aplikasi internet yang bakal dihidangkan pada masa akan datang. Manusia dianugerahkan dengan daya kreativiti dan senantiasa mencetus perubahan.
Namun, masyarakat masih memerlukan alat-alat moden yang mungkin dianggap sudah klasik. John Logie Baird, pencipta pertama televisyen pada tahun 1926, sekiranya beliau masih hidup, beliau tentu kagum kerana ciptaannya masih kekal diminati penduduk dunia sehingga kini walaupun dengan inovasi dan reka bentuk yang lebih canggih. Radio yang lebih awal dicipta, iaitu antara tahun 1894-1897 masih mempunyai pengikut yang besar di seluruh dunia.
Meskipun sibuk dengan tugas sebagai pendidik yang amat berat, saya masih mempunyai kesempatan membina modul P & P untuk panduan guru-guru dalam panatia saya, membina BBM dengan menggunakan teknologi terkini dan mengendalikan laman web sekolah. Saya akan kongsikan dengan Cikgu Isa pada suatu hari nanti.

JHaZKiTaRo berkata...

salam jauh dari bumi Dublin, Ireland.. blog walking kejap.. saje2 nak tinggalkan jejak.. rajin2, datang laa singgah blog hamba.. :)