Bernama, 7 Mei 2010
KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Usaha empat pelajar untuk mendapatkan perisytiharan bahawa Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah sejak 2003 sebagai terbatal dan tidak sah, gagal apabila Mahkamah Tinggi di sini Jumaat menolak permohonan mereka.
Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh menolak dengan kos permohonan itu selepas mendengar penjelasan daripada kedua-dua pihak di dalam kamar.
Dalam prosiding ini, peguam Mohamed Hanipa Maidin mewakili empat pelajar terbabit dan peguam kanan persekutuan Suzana Atan, mewakili pihak kerajaan.
Suzana yang ditemui pemberita berkata hakim memutuskan, dua surat pekeliling ikhtisas berhubung pelaksanaan PPSMI di sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan (Cina dan Tamil) adalah tidak bercanggah dengan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya peruntukan tersebut adalah berkenaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan di sekolah, bahasa Melayu masih kekal sebagai bahasa perantara.
Empat pelajar terbabit telah mengemukakan permohonan menerusi saman pemula yang difailkan pada 21 Jan 2006.
Mohammad Syawwaal Mohammad Nizar yang ketika itu pelajar tahun empat, mengemukakan permohonan melalui bapanya, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, seorang jurutera yang juga bekas Menteri Besar Perak.
Selain Mohammad Syawwaal, pemohon terdiri daripada dua pelajar tingkatan tiga, Mohammad Fadzil Nor Mohd. Rosni dan Nur Najihah Muhaimin serta Syazaira Arham Yahya Ariff, pelajar tingkatan empat, melalui bapa masing-masing.
Mereka menamakan kerajaan Malaysia sebagai responden.
Pemohon dalam saman pemula antaranya mendakwa, hak mereka sebagai pelajar untuk mempelajari dua mata pelajaran itu dalam bahasa kebangsaan telah dinafikan dengan adanya dasar tersebut.
Sehubungan itu, mereka memohon agar mahkamah memerintahkan pihak responden menukar semula dasar itu menurut kehendak dan peruntukan Perlembagaan dan undang-undang bertulis.
Pemohon memohon perisytiharan bahawa responden tiada kuasa melaksanakan dasar PPSMI seperti yang terkandung dalam Surat Pekeliling Ikhtisas bertarikh 27 November 2002.
Peguam Mohamed Hanipa berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan atas keputusan tersebut. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan