Tajuk: Memoir Anak Sisa Peperangan
Penulis: R.M. Jasni
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun Terbit: 2006
Pengulas: Mohd Isa bin Abd Razak
Memoir Anak Sisa Peperangan menggambarkan kesukaran hidup yang dihadapi oleh R.M. Jasni sebelum, semasa dan selepas peperangan. Dia memulakan siri gambaran kesukaran hidup itu dengan mengimbas keperitan hidup ayahnya, seorang pemuda kampung, etnik Kadazan, dari Papar. Semasa remaja, pemuda kampung itu membanting tulang di sawah, di bawah panas terik mentari. Kemudian, pemuda kampung itu mendapat kerja sebagai boy dengan satu keluarga Inggeris. Dalam satu lawatan kerja ke Keningau, pemuda kampung itu berkenan dengan seorang gadis Murut. Mereka berkahwin dan wanita Murut itu mengikut suaminya berhijrah ke Jesselton. Hasil perkahwinan mereka, pada 4 Mei 1936 lahirlah seorang bayi lelaki. Bayi itu diberi nama Rasan Majanun Jasni – kemudiannya terkenal dengan nama R.M. Jasni. Jasnilah satu-satunya zuriat pasangan itu.
Hanya beberapa ketika setelah kelahiran Jasni, sang ayah kehilangan kerja apabila tuannya pulang ke England. Dia kembali membanting tulang di sawah. Tidak betah dengan kehidupan sebagai petani, pada tahun 1939 sang ayah membawa isteri dan anaknya berhijrah ke Sandakan. Dengan gaji sang ayah kurang daripada RM10.00 sebulan, keluarga tiga beranak itu menjalani hidup sekadar cukup makan. Sebagai contoh, satu-satunya mainan Jasni ialah sebiji bola getah yang diperoleh setelah dia melakukan beberapa kali permintaan dan rengekan.
Graf kesukaran hidup mereka memuncak apabila tentera Jepun mendarat di Sandakan pada 1 Januari 1942. Ketika itu Jasni berusia enam tahun. Kehidupan mereka bagi telur di hujung tanduk. Pada tahun 1943, kempeitai Jepun menangkap ayahnya kerana disyaki membekalkan bahan untuk membuat radio kepada orang Inggeris yang di tahan di Pulau Berhala. Selama beberapa hari Jasni dan ibunya cuba mengesan sang ayah tetapi gagal. Kemudian terdengar berita bahawa sang ayah sudah dibunuh oleh Jepun. Mereka cuba mencari kuburnya pula. Semua usaha mereka selama beberapa hari gagal.
Demi keselamatan Jasni, ibunya membawa dia ke kawasan pedalaman. Mereka tinggal di Maliau, iaitu sebuah perkampungan kaum Dusun suku Makiang, di Hulu Tongod. Kampung itu hanya boleh dihubungi dengan jalan sungai. Perjalanan ke sana dari Kuala Tongod memakan masa dua hari. Kuala Tongod pula hanya boleh dihubungi dengan jalan sungai yang mengambil masa beberapa hari dari bandar Sandakan.
Dua beranak itu balik ke Sandakan pada awal tahun 1946. Jepun sudah memusnahkan bandar itu. Khemah dan pondok sementara memenuhi bandar. Tengkorak dan tulang manusia bersepah di mana-mana. Mereka menumpang rumah keluarga sebelah ibu yang agak jauh dari bandar. Setelah empat bulan, kedua-dua beranak itu menaiki kapal menuju ke Jesselton. Esoknya, mereka meneruskan perjalanan dengan kereta api ke Melalap. Perjalanan itu memakan masa sehari suntuk. Pada keesokan hari seterusnya, mereka menaiki bas melalui lorong berlalang ke Keningau. Kemudian, kedua-dua beranak itu berjalan kaki pula ke kampung tumpah darah sang ibu. Di situlah mereka membina hidup baharu sebagai petani.
Walaupun berhadapan dengan kesukaran hidup, sang ibu tetap menyekolahkan Jasni. Pada awal tahun 1947, iaitu ketika berusia 11 tahun, Jasni memasuki Government Vernacular School Keningau. Lima tahun kemudian, dia lulus peperiksaan sekolah rendah dan diterima menjadi pelajar kumpulan pertama Maktab Perguruan Kent, Tuaran. Setelah menamatkan latihan perguruan pada tahun 1954, dia berkhidmat sebagai guru selama enam tahun di empat buah sekolah rendah. Seterusnya dia bertukar kerja sebagai penyiar radio dan kemudian sebagai pegawai koperasi. Pada 1 Januari 1965 dia menyertai parti politik Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) secara sepenuh masa. Maka mulalah dia dilambung gelombang dalam arena politik. Semua aktiviti politiknya itu diperikan dengan baik dalam memoir ini.
Selain menggambarkan kesukaran hidup dan gelombang dalam pekerjaan serta arena politik, memoir ini juga menggambarkan sikap masyarakat. Petikan ini menggambarkan sikap masyarakat zaman ayahnya pada tahun 1930-an:
“Kerbau jantan itu nampak bodoh, tetapi patuh menerima arahan untuk melakukan kerja-kerja berat. Kawan-kawan ayah yang ramai itu hanya patuh apabila mendengar gong dipalu, menandakan ada jamuan akan terhidang dan sumazau akan ditarikan.” (halaman 9) Sikap masyarakat yang mengutamakan keseronokan itu nampaknya berterusan selepas merdeka.
R.M. Jasni menonjolkan juga sikap positif masyarakat. Misalnya, pada tahun 1940-an dinyatakannya, “Budaya penduduk di sepanjang Sungai Kinabatangan amat luhur. Tetamu diberi makan ketika singgah di rumah mereka. Jika tetamu itu meneruskan perjalanan, mereka diberi beras atau sagu ubi sebagai bekalan dalam perjalanan. Mungkin ada orang mati dimakan buaya, tetapi yang pasti tidak pernah berlaku orang mati kebuluran di sepanjang sungai ini disebabkan tiada orang lain mahu membantu.” (halaman 67) Ketika menyusuri Sungai Kinabatangan pada tahun 1980-an, penulis mendapati budaya ini masih terpelihara.
Selain menggambarkan kesukaran hidup dan sikap masyarakat, memoir ini juga menggambarkan keindahan alam. R.M. Jasni berjaya melukis keindahan alam sepanjang perjalanannya menyusuri sungai dari Sandakan ke Maliau. Tiga petikan yang menarik adalah seperti yang di bawah:
• “Ketika kapal kecil rapat ke lanting atau jeti terapung, pangkalan Kuamut nampak sibuk dengan orang ramai yang menunggu di situ. Di pangkalan terdapat hasil hutan seperti damar dan rotan dilonggokkan untuk diangkut ke Sandakan. Tidak jauh dari kawasan lanting, saya melihat beberapa ekor buaya di tepian sungai. Orang ramai tidak ambil kisah dengan kehadiran buaya-buaya itu, kerana ia berlaku setiap hari di tempat yang sama. Buaya suka timbul pada waktu pagi untuk mendapat cahaya matahari.” (halaman 60)
• “Di sepanjang perjalanan dari Tangkulap ke Kuala Tongod, pokok-pokok balak sedang berbunga pada masa itu. Baunya berbaur dan semerbak harum menusuk hidung. Udara rimba pagi itu terasa dingin dan suasananya riang oleh siulan dan kicauan berbagai-bagai jenis burung. Bunyi merak dan enggang bersahut-sahutan. Siamang melaung kuat memanggil kekasih. Kicauan burung bertingkah dengan mergastua yang lain seolah-olah membentuk simfoni yang mengasyikkan di sungai rimba itu.” (halaman 63)
• “Gajah, rusa, kijang, orang utan dan berbagai-bagai jenis monyet boleh dilihat di tepian sungai. Ada yang melompat dari dahan ke dahan dan melarikan diri. Pemandangan yang mempesonakan ini, sebanyak sedikit dapat meringankan penderitaan ibu. Saya sungguh tertarik melihat sekumpulan gajah sedang mandi kerana saya tidak pernah melihat gajah dari dekat sejak saya dilahirkan.” (halaman 63)
Dalam memoir ini, R.M. Jasni juga menggambarkan suasana politik Sabah selepas merdeka melalui Malaysia. Oleh sebab dia ialah peneroka USNO di kawasan Pedalaman, kebangkitan dan kemerosotan USNO, khususnya di Keningau diperikannya dengan baik. Selain itu, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) USNO ketika penubuhan parti BERJAYA pada tahun 1975, maklumat yang diberikannya dalam memoir ini merupakan sisi lain berbanding dengan maklumat yang terdapat dalam akhbar pada masa itu. Beliau menggambarkan pergerakan Adun USNO ke luar negara dengan jelas. Petikan yang di bawah dapat meningkatkan pemahaman sesiapa yang pernah mengikuti peristiwa “penyeludupan” Adun USNO ke luar negara dahulu:
“Strategi Syed Kecik menghantar 16 orang Adun UUSNO ke luar negeri adalah untuk menghalang kami membuat hubungan dengan pihak parti BERJAYA. Jika 2/3 daripada Ahli Dewan mengundi tidak percaya kepada kepimpinan Tun Mustapha dan majoriti Ahli Dewan Negeri beralih kepada pihak Parti BERJAYA, kerajaan USNO akan tumbang pada saat itu juga. Untuk mengelakkan perkara itu berlaku 16 Adun USNO hanya dibenarkan balik ke tanah air sehari sebelum persidangan yang dijadualkan itu.” (halaman 186 – 187)
Sejarah berulang. Peristiwa yang dialami oleh R.M. Jasni itu berulang dua kali pada awal alaf ini. Cuma latar, watak dan plotnya berbeza. Pendeknya, pemerian beliau tentang gelombang politik dalam memoir ini dapat kita jadikan iktibar.
Memoir Anak Sisa Peperangan menggambarkan kesukaran hidup yang dihadapi oleh R.M. Jasni sebelum, semasa dan selepas peperangan. Memoir ini juga menggambarkan beberapa sisi sikap masyarakat Sabah sebelum dan selepas merdeka. Gambaran suasana politik pada tahun 1970-an pula sebahagiannya merupakan maklumat baharu dari perspektif R.M. Jasni sendiri. Yang lebih mengasyikkan ketika membaca memoir ini ialah gambaran keindahan alam dan kesukaran perhubungan sebelum Sabah mencapai kemerdekaan melalui Malaysia. R.M. Jasni mempersembahkan hal-hal itu dengan bahasa yang mudah dan pengolahan yang kreatif. Tidak syak lagi, memoir ini wajar menjadi bacaan semua anggota masyarakat.
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan