Kulit buku terbitan 1965 sudah hilang. Saya membuangnya kerana sebahagian besar kulit buku itu dimakan oleh Momot (arnab Si Ati). |
Pada tahun 1962, Za‘ba meminda dan membaiki IMM. Versi yang sudah dipinda itu menggunakan tulisan Rumi dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Saya memiliki IMM versi Rumi cetakan tahun 1965. Saya memperolehnya di Kedai Buku K Bali di Tanjung Aru, Kota Kinabalu pada tahun 1972. Sejak tahun 1972 itu, saya belum berasa bosan membelek dan merujuki IMM.
Profesor Dr. Asmah Haji Omar mengusahakan IMM Edisi Ejaan Rumi Baharu dan diterbitkan oleh DBP pada tahun 2002. Dalam edisi ini terdapat juga esei pengenalan tentang IMM oleh Profesor Dr. Asmah.
IMM menghuraikan peraturan karang-mengarang. Za‘ba membicarakannya dalam dua bahagian, iaitu “Pokok-pokok Besar dalam Latihan Mengarang” dan “Cabang-cabang yang Tinggi”.
Dalam bahagian pertama, beliau menghuraikan hal-hal yang perlu diketahui oleh pengarang untuk menghasilkan karangan. Bahagian ini terdiri daripada “permulaan” dan lapan bab. Pada hemat saya, panduan yang terdapat dalam bahagian ini masih wajar menjadi renungan dan panduan kita.
Sebagai contoh, Za‘ba menyatakan, “yang dikatakan karangan sebenar-benarnya ialah yang tersusun daripada beberapa ayat dengan betul.”
Petikan pendek ini dapat menjadi bahan renungan dan perbincangan kita, malah berkemungkinan menjadi bahan polemik apabila dikaitkan dengan kecenderungan pengguna bahasa Melayu menghasilkan ayat yang “tidak berapa betul” atau cacamarba dalam komunikasi bertulis.
Dalam bahagian kedua, beliau mengetengahkan unsur penting yang perlu dikuasai oleh pengarang. Bahagian ini terdiri daripada lapan bab juga. Antara perkara yang beliau huraikan ialah peribahasa, ragam bahasa dan karangan berangkap seperti pantun dan syair.
Seperti bahagian pertama, butiran yang terdapat dalam bahagian kedua ini juga masih wajar menjadi renungan dan panduan kita, khususnya generasi muda. Sekadar contoh, generasi muda wajar meneliti huraian Za‘ba tentang pantun. Hal ini dikatakan demikian kerana pengguna bahasa Melayu, termasuklah generasi muda, sangat meminati pantun. Pada hemat saya, huraian tentang pantun yang terdapat dalam buku ini dapat membantu peminat pantun untuk mempertingkatkan mutu pantun masing-masing.
Saya mendapati penulis-penulis buku, khususnya yang berkaitan dengan karang-mengarang, merujuki buku IMM. Sebagai pencinta bahasa Melayu, pendidik dan pelajar, kita juga wajar merujuki buku ini. Jadi, elok benarlah buku ini berada di rak buku di rumah kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan