23 Mac 2011

Sari Makalah: e Taling dan e Pepet

Suhaimi Mohd Salleh, “e Taling dan e Pepet”, Dewan Bahasa, Mac 2011, halaman 30 – 32.

1. Dahulu, huruf vokal bahasa Melayu berjumlah enam. Huruf-huruf itu ialah a, e, ĕ, i, o dan u. Dalam Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu (ERB) yang diperkenalkan pada tahun 1972, huruf ĕ (e bertanda) lenyap.

2. Dahulu, huruf e melambangkan bunyi /e/. Huruf ĕ pula melambangkan bunyi /ə/. Dalam ERB huruf e melambangkan dua bunyi, iaitu /e/ dan /ə/. Hal ini menyebabkan timbulnya kekacauan penyebutan homograf dan perkataan tertentu.

3. Perkataan contoh bagi homograf ialah bela yang mungkin disebut /bela/ atau /bəla/. Lima perkataan contoh bagi “perkataan tertentu” adalah seperti yang di bawah. Sebutan yang silap bertanda * dan sebutan selepas anak panah ialah sebutan yang betul.

bestari */bestari/ g /bəstari/.
debat */dəbat/ g /debat/
generasi */gənərasi/ g /genərasi/
peka */pəka/ g /peka/
pepet */pepet/ g /pəpət/

4. Penggunaan satu huruf untuk dua bunyi juga menyebab timbulnya kesilapan bagi menyebut nama khas dan akronim. Misalnya, perkataan “Berang” dalam nama khas Kuala Berang pernah disebut */berang/ sedangkan sebutan yang betul ialah /bərang/. Misalan bagi akronim pula, kita menyebut Gapena */gapena/ sedangkan bunyi e dalam suku kata pe ialah /ə/ seperti yang terdapat dalam perkataan asalnya, iaitu penulis.

5. Pengguna bahasa Melayu boleh merujuki Kamus Dewan (KD) dan Kamus Pelajar (KP) untuk mengetahui sebutan yang tepat. Dalam KD dan KP, sebutan bagi perkataan yang menggunakan e taling ditanda dengan é.

6. Panduan KD dan KP bertentangan dengan sistem asal sebelum tahun 1972. Segelintir pembaca masih terus keliru. Maka timbullah cadangan agar huruf ĕ (e bertanda) digunakan kembali.

2 ulasan:

mohdrusli berkata...

Masalah sebutan e Taling dan e Pepet timbul dari dulu lagi. Dari segi tulisan saya bersetuju dengan apa yang ada sekarang. Tak perlu dibezakan antara keduanya, manakala aspek sebutan perlu diterima pakai daripada mereka yang berwibawa.Saya ada baca satu artikel "Kita mesti peka dalam menyebut perkataan "peka"."

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Terima kasih, ustaz. Insya-Allah, pandangan ini akan menjadi sebahagian daripada renungan saya. Wassalam.