24 Mac 2011

“Oleh Sebab Itu” Gramatis

Sari “Soal Jawab Bahasa” (SJB), majalah Pelita Bahasa, September 2010.

1. Ungkapan oleh sebab itu berasal daripada ungkapan oleh sebab hal itu.^ Pengguna bahasa Melayu lazimnya menggugurkan kata hal. Pengguguran itu sejenis transformasi dan menepati tatabahasa. Oleh hal yang demikian, ungkapan oleh sebab itu gramatis.

2. Ungkapan oleh sebab itu berbeza daripada ungkapan *oleh hal demikian. Ungkapan ini tidak gramatis. Ungkapan ini sebenarnya berasal daripada ungkapan oleh hal yang demikian. Pengguna boleh menggugurkan kata hal untuk membentuk ungkapan oleh yang demikian. Namun pengguna tidak boleh menggugurkan perkataan yang. Tegasnya, ungkapan *oleh hal demikian tidak gramatis.

3.
(a) Rumah itu rumah saya.
(b) Itu rumah saya.

Kedua-dua ayat ini berpola FN + FN. Dalam ayat kedua, frasa rumah itu menjadi itu. Makna kedua-dua ayat ini tetap sama. Demikian juga halnya dengan ungkapan oleh sebab itu. Perkataan sebab ialah kata nama sama seperti kata rumah. Perkataan sebab boleh digugurkan untuk membentuk ungkapan oleh itu. Pola ungkapan ini ialah kata sendi + kata nama. Tatabahasa membenarkan kewujudan pola ini. Tegasnya, ungkapan oleh itu juga gramatis.

4. Lain pula halnya dengan ungkapan *oleh demikian. Pola ungkapan ini ialah kata sendi + kata adverba. Tatabahasa tidak menerima pola ini. Oleh hal yang demikian, ungkapan ini tidak gramatis.

(MIAR: ^Antara perkataan lain yang boleh menggantikan hal ialah perkara, faktor dan desakan.)

5.
(c) Perkara yang berikut ialah perkara yang perlu diselesaikan.
(d) Yang berikut ialah perkara yang perlu diselesaikan.
(e) *Berikut ialah perkara yang perlu diselesaikan.

Ayat (c) berpola FN + FN. Pola ini memang pola ayat bahasa Melayu. Pola yang lain ialah FN + FK, FN + FA dan FN + FS. Tegasnya, subjek ayat bahasa Melayu ialah frasa nama. Jadi, ayat (c) gramatis.

6. Ungkapan perkara yang berikut ialah bahagian subjek. Bahagian subjek ini terdiri daripada subjek (perkara) dan keterangan subjek (yang berikut). Dalam ayat pancangan, tatabahasa membenarkan subjek digugurkan. Jadi, Perkara dalam ayat (c) boleh digugurkan. Kata hubung relatif yang dalam ayat ini bertukar peranan untuk mendukung keseluruhan bahagian subjek. Jadi, ungkapan yang berikut utuh dan ayat (d) gramatis. Jikalau kita menggugurkan kata yang, ungkapan ini kehilangan maknanya. Pola ayatnya juga berubah menjadi *FK + FN. Pola ayat ini tidak gramatis. Sebagai kesimpulannya, ayat (e) tidak gramatis.

FN = Frasa Nama
FK = Frasa Kerja
FA = Frasa Adjektif
FS = Frasa Sendi

Tiada ulasan: