25 Mac 2011

Tiga Bunyi Huruf e



Pedoman Bahasa (JPEG) 072. Huruf/Ejaan.
Pada masa dahulu, huruf e melambangkan satu bunyi iaitu /e/ seperti dalam perkataan ekor. Pada masa itu, ada huruf e bertanda (ĕ) bagi melambangkan bunyi /ə/ seperti dalam perkataan emak.
Pada akhir tahun 1972, kita menerima pakai ejaan baharu. Dalam ejaan baharu ini tiada huruf ĕ. Huruf ini digantikan dengan huruf e. Jadi, dalam ejaan baharu huruf e melambangkan dua bunyi, iaitu /e/ dan /ə/.

Teknologi maklumat komunikasi membawa bersama-samanya beberapa perkataan baharu. Antara perkataan itu termasuklah elektronik. Hanya huruf e digunakan apabila perkataan ini digabungkan dengan perkataan lain. Maka muncullah perkataan seperti e-mel, e-dagang, e-buku, e-dokumen dan e-penerbitan.

Sebutan huruf e bagi perkataan-perkataan ini bukanlah bunyi /e/ atau /ə/. Yang kita sebut ialah nama huruf itu. Sebutan nama huruf itu ialah /i/. Sebutan ini satu bunyi juga. Jadi, kini huruf e melambangkan tiga bunyi.

Perkembangan ini menarik. Namun, dengan berdasarkan ilmu bunyi bahasa, satu huruf sebaik-baiknya melambangkan satu bunyi. Tampaknya, penggunaan satu huruf untuk melambangkan tiga bunyi bukanlah perlakuan yang “sebaik-baiknya”. Hal ini masih berlegar-legar dalam fikiran saya.

Pedoman Bahasa (JPEG) 072. Huruf/Ejaan.


Tiada ulasan: