06 April 2011

Soal Jawab Bahasa oleh Kembara Bahasa

Di belantara maya ini terdapat banyak blog yang memberikan panduan tentang penggunaan bahasa Melayu. Rata-rata blog itu dikendalikan oleh guru Bahasa Melayu. Antara blog yang wajar menjadi rujukan kita termasuklah blog Rimbunan Nahu yang diusahakan oleh Cikgu Suhaimi Mohd Salleh, blog Saya dan Bahasa kepunyaan Cikgu Bukhari Shafie dan blog Witra milik Cikgu Azhar Salleh.

Di celah-celah blog yang banyak itu, mulai bulan April 2010, muncul blog Kembara Bahasa. Masukan pertamanya, “Kursus Bahasa Melayu Wajib kepada Pelajar Asing: Mengharapkan Susulan Konkrit”, terbit pada 9 April 2010. Pada hari ini blog itu sudah mempunyai 117 masukan.

Umumnya masukan blog itu berkaitan dengan bahasa kebangsaan kita, iaitu bahasa Melayu. Antara aspek bahasa Melayu yang mendapat perhatian Kembara Bahasa ialah pedoman untuk menggunakan bahasa yang betul. Beliau membicarakan hal itu di bawah label bahasa, pendidikan dan soal jawab bahasa. Label terpenting yang mengandungi pedoman bahasa ialah soal jawab bahasa. Pada hari ini sudah terdapat 15 masukan soal jawab bahasa.

Saya menyenaraikan masukan soal jawab bahasa itu dalam satu laman. Penciptaan senarai itu bertujuan untuk memudahkan saya dan pengunjung blog ini melakukan rujukan. Insya-Allah, laman itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa. Klik di sini untuk mencapai laman itu.

Sebagai mahaguru, tulisan Kembara Bahasa memang segar dan mengasyikkan untuk dinikmati. Misalnya, dalam ruangan ulasan bagi masukan “Perihal Kata Beza” seorang pengunjung menyatakan, “Secara peribadi bagi saya, beda lebih lembut dan puitis. Beza lebih jelas dan keras.”

Kembara Bahasa mengulas, “Memang kata beda lebih banyak menjadi pilihan sasterawan dan sesetengah pemimpin dalam ucapan kerana bunyinya yang lebih puitis dan bernilai retorik. Daripada segi etimologinya, kata itu lebih menepati bentuk dan bunyi asalnya.”

Mungkin ada pengunjung bertanya, “Siapakah Kembara Bahasa?” Kembara Bahasa ialah Profesor Dr. Haji Awang Sariyan. Beliau menggunakan nama Kembara Bahasa dalam Facebook dan sebagai penulis blog. Ketika masukan ini ditulis, beliau ialah Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China, berpangkalan di Beijing Foreign Studies University.

Sebelum bertugas di China, Kembara Bahasa berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka. Selain itu beliau pernah menjadi Profesor Bahasa di Universiti Putera Malaysia dan Universiti Malaya. Beliau pernah juga bertugas di beberapa buah universiti yang lain, di dalam dan di luar negara. Kembara Bahasa sudah menghasilkan lebih 50 buah buku bahasa dan pendidikan serta kamus.

Setelah mengetahui profil ringkas beliau, saya percaya ada pengunjung berkata, “Oh, kalau Profesor Dr. Haji Awang Sariyan, saya kenallah. Dia memang hebat dalam hal bahasa Melayu.”

Saya menggalakkan pengunjung yang baru mengenali Kembara Bahasa agar mencapai sumber lain untuk mendalami latar belakang beliau. Apa-apa pun, jangan lupa mengikuti soal jawab di blognya atau melalui laman khas di blog ini.


Tiada ulasan: