01 Mei 2011

Teladan untuk Pewaris Gerak Kerja Hassan Al-Banna

Perbincangan di Facebook: http://www.facebook.com/home.php?ref=hp#!/notes/mohd-isa-abd-razak/teladan-untuk-pewaris-gerak-kerja-hassan-al-banna/10150589344515089

Tarikh 29 April 2011 akan tercatat dalam sejarah tanah air kita. Aspek penting yang pasti menjadi kenangan pencinta kebenaran pada tarikh itu ialah tazkirah oleh seorang ustaz dalam majlis pelafazan sumpah laknat di Masjid Amru Ibni Al-As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur.

Ustaz itu bernama Shamsul Firdaus. Beliau ialah mantan imam Masjid Sayidina Omar Al-Khattab, Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Beliau datang ke majlis itu sebagai pendakwah bebas.

Majlis pelafazan sumpah laknat itu dijadualkan bermula beberapa ketika sebelum solat ‘Asar. Tiga orang ternama yang dijangka melafazkan sumpah laknat sudah duduk. Mereka ialah Datuk Shazryl Eskay Abdullah, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Datuk Shuib Lazim.

Datuk Shazryl yang duduk di tengah-tengah mencium dan memegang al-Quran. Beliau kemudian membuka selembar kertas seakan-akan hendak memulakan bacaan lafaz sumpah itu. Pada masa itu terdengar suara, “Datuk, tunggu sekejap.”

Datuk Shazryl kelihatan agak kehairanan. Dia mendongak ke arah suara di sebelah kirinya. Kemudian dia mendongak ke sebelah kanan, iaitu tempat munculnya Ustaz Shamsul.

Ustaz Shamsul terus duduk berlutut di hadapan Datuk Shazly, Tan Sri Rahim dan Datuk Shuib sambil mengucapkan “Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh”. Dengan tenang dan suara yang jelas, Ustaz Shamsul membuka bicara seolah-olah beliau ialah pengacara majlis itu. Katanya, “Jadi, saya difahamkan, petang ini sebelum solat ‘Asar, saudara bertiga hendak melakukan satu sumpah.”

Seterusnya beliau menyampaikan tazkirah kepada Datuk Shazly, Tan Sri Rahim dan Datuk Shuib. Hadirin di masjid itu turut mendengar tazkirah beliau yang mengambil masa lebih kurang lima minit.

Video yang mengandungi tazkirah beliau itu terdapat di sini. Transkripsi penuh tazkirah beliau terdapat di sini. Sedutan/ringkasan tazkirah beliau terdapat di sini. Pembaca yang kekurangan masa bolehlah membaca sedutan/ringkasan itu sahaja.

Dalam tazkirah itu, antara lain beliau menyatakan bahawa sumpah yang akan berlangsung tidak ada dalam syarak. Sebaliknya, Allah menetapkan bahawa mereka perlu mendatangkan empat orang saksi. Tanpa saksi dan mereka tetap bersumpah, Allah menetapkan hukuman 80 sebatan kepada orang yang bersumpah. Allah juga menetapkan bahawa orang yang bersumpah itu dianggap pendusta dan fasiq.

Oleh hal yang demikian, dengan suara yang menyerlahkan kasih kepada saudaranya, Ustaz Shamsul meminta mereka agar tidak meneruskan hasrat untuk melafazkan sumpah. Walau bagaimanapun, beliau tidak mampu menghalang sekiranya mereka ingin bersumpah juga.

Beliau mengakhiri tazkirahnya dengan berkata, “Jadi kita faham dan inilah apa yang dapat saya sampaikan kepada saudara bertiga. Wallahuaklam.”

Seterusnya, Ustaz Shamsul sempat menyampaikan sebuah buku kecil kepada Datuk Shazly. Buku itu membicarakan hukum qazaf.

Saya mengucapkan syabas kepada Ustaz Shamsul Firdaus. Tindakan ustaz menjadi teladan kepada para dai di negara kita, terutamanya generasi muda. Mudah-mudahan negara kita juga mampu melahirkan dai seperti Al-Maududi, Syed Qutb dan Hassan Al-Banna. Wallahuaklam. Wassalam.

.

Tiada ulasan: