07 Mei 2011

Kena Kompaun kerana Lupa Akan “Lain Padang, Lain Belalang”

Pada 23 April 2011, saya berasa bernasib baik kerana ada satu petak letak kereta kosong di hadapan Melaka Mall. Saya terus meletakkan kereta dalam petak itu. Apabila saya keluar dari kereta, saya mencari-cari petugas yang mungkin meletakkan notis bayaran. Isteri dan anak saya juga melakukan usaha yang sama. Akhirnya kami membuat rumusan bahawa selepas pukul 12.00 tengah hari pada hari Sabtu itu petugas mungkin sudah selesai bertugas.

Saya berkata dalam hati, Melaka bukan seperti Seremban. Melaka tidak menggunakan sistem meter. Melaka ada juga persamaannya dengan Seremban dan Port Dickson, iaitu Melaka juga tidak mengenakan bayaran letak kereta pada hari Sabtu, dan sudah tentu pada hari Ahad dan cuti am juga. Selepas berkata-kata dalam hati itu, saya, isteri dan anak kami masuk ke dalam bangunan Melaka Mall untuk makan dan berehat.

Apabila kami keluar, kami mendapati ada notis pada cermin hadapan kereta. Notis itu dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MPHTJ 2010 dan bertajuk “Notis Kesalahan serta Tawaran untuk Kompaun”. Dalam notis itu terdapat nombor kompaun H080000417 dan ada nombor 76114 P. Dalam notis itu tercatat waktu 12.35 tengah hari dan denda RM30.00.

Dalam keadaan terkejut dan hairan, di bawah panas terik, saya membaca kandungan notis itu.

Tuan/Puan,

Menurut maklumat/aduan yang diterima, saya berpendapat bahawa tuan/puan telah melakukan kesalahan yang dinyatakan.

2. Tuan/puan adalah dengan ini dimaklumkan bahawa, menurut kuasa yang diberi kepada saya oleh Seksyen 72 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987, saya bersedia mengkompaunkan kesalahan ini dengan bayaran yang dinyatakan. Tuan/puan dikehendaki menjelaskan bayaran kompaun ini di mana-mana pondok letak kereta atau Jabatan Komunikasi dan Khidmat Pelanggan, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Lot F51 & F52, Tingkat 1, Kompleks Melaka Mall, Jalan Tun Abdul Razak, Ayer Keroh, 75450 Ayer Keroh, Hang Tuah Jaya, Melaka. Ataupun secara pos dengan menghantar bayaran tersebut dalam bentuk kiriman wang, wang pos, pesanan juruwang, atau cek atas nama MPHTJ.

3. Tawaran ini berkuat kuasa hanya selama 14 hari dari tempoh notis ini. Jika bayaran tidak diterima dalam tempoh yang dinyatakan TINDAKAN MAHKAMAH akan diteruskan.

Tempoh tamat: 7 – 5 – 2011
RM50 akan dikenakan jika bayaran dibuat selepas 14 hari dari tarikh notis ini.

Tandatangan
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya

Saya tidak puas hati kerana kesalahan saya tidak dinyatakan. Saya meneliti butiran notis itu lagi. Oh, ada dinyatakan kesalahan saya, iaitu “Perintah 8”. Sayang, butiran “Perintah 8” tidak terdapat dalam notis itu.

Dalam keadaan yang terpinga-pinga, saya ternampak seorang lelaki berpakaian seragam kira-kira lima hingga tujuh petak kereta jaraknya dari kereta saya. Saya nampak dia menggunakan satu alat kecil. Daripada alat itu keluar kertas bercetak. Selepas dia menyelitkan kertas bercetak di bawah “wiper’, saya menggamitnya. Dia terus datang ke tempat saya.

Dia ialah petugas MPHTJ yang mengeluarkan notis kompaun. Saya meminta dia menyatakan kesalahan saya.

Dia menjawab, “Oh, pak cik tidak meletakkan kupon.”

Saya berasa hairan dan bertanya, “Betulkah?”

Katanya ringkas, “Ya. Sepatutnya pak cik beli kupon dan pamerkan di hadapan kereta.”

Saya berkata, “Oh, begitu. Ada papan tanda yang mengatakan saya perlu membeli kupon?”

Dia segera menjawab dengan yakin, “Ada, pak cik. Itu.”

Dia menunjukkan papan tanda di kawasan pintu utama Melaka Mall. Tempat kereta saya dan tempat kami berdiri ialah kawasan pintu pertama di sebelah kiri bangunan. Tanpa berkata apa-apa, saya segera menuju ke papan tanda itu. Setelah membaca tulisannya, saya kembali ke kereta. Petugas MPHTJ masih berdiri di sebelah kereta saya. Isteri dan anak saya juga masih berdiri di situ.

Saya berkata kepadanya, “Terima kasih, tuan. Memang jelas bahawa tempat letak kereta ini menggunakan sistem kupon. Saya terkilan sedikit kerana kedudukan papan tanda itu kurang sesuai. Pengunjung dari arah lebuh raya dan pertama kali ke sini seperti saya, dan tidak melintasi papan tanda itu, memang terlepas pandang.”

Ketika berkata-kata itu saya melihat notis kompaun terdapat juga pada beberapa buah kereta lain di sebelah kiri kereta saya. Saya juga sempat melihat reaksi yang hambar pada air muka petugas itu. Ada kemungkinan dia sudah biasa berhadapan dengan orang yang terkilan seperti saya.

Saya berkata lagi, “Di manakah tempat untuk saya membayar kompaun?”

Dia menjawab, “Di dalam bangunan itu, di tingkat bawah. Hari ini hari Sabtu. Sekarang sudah lebih pukul satu. Pejabat sudah tutup.”

Saya tidak menghiraukan kata-katanya. Saya bergegas ke pejabat itu. Pintu utamanya sudah tertutup rapat. Saya bergegas kembali ke kereta. Petugas MPHTJ, isteri dan anak saya masih berdiri di tempat yang sama. Panahan sinaran matahari tidak menghalang mereka untuk terus berdiri di situ sambil berbual-bual.

Saya berkata, “Tidak mengapalah, tuan. Kini saya faham akan kesalahan saya. Saya tidak menyalahkan tuan kerana tuan hanya menjalankan amanah majikan. Saya mohon maaf kerana mengganggu tuan.”

Petugas itu kelihatannya lega mendengar kata-kata saya dan mungkin juga kerana perkataan “tuan” yang saya gunakan.

Saya bertanya, “Di manakah tempat untuk membeli kupon.”

Katanya ringkas, “Ada di dalam sana.”

Saya bertanya lagi, “Ada papan tanda?”

Dia menjawab, “Ada, pak cik. Di sana.”

Benar. Ada papan tanda lebih kurang sepuluh kaki persegi dan setinggi pinggang saya yang tergolong dalam insan rendah. Papan tanda itu terletak di tepi sebelah kiri pintu tempat saya masuk untuk makan dan berehat tadi. Tulisannya sukar saya baca kerana jarak antara papan tanda itu dengan tempat kami berdiri lebih kurang sepuluh meter.

Saya bergegas pula ke papan tanda itu. Kini barulah jelas ungkapan “kupon letak kereta ada dijual di sini”. Oleh sebab di kawasan papan tanda itu tiada tempat untuk membeli kupon, saya memahami bahawa maksud “di sini” itu ialah di dalam bangunan. Saya masuk ke dalam bangunan dan mencari-cari kedai menjual kupon itu. Saya tidak menemukan apa-apa papan tanda. Saya kembali ke kedai yang pertama, iaitu kedai yang menjual alat telekomunikasi.

Saya bertanya wanita Melayu di kedai itu, “Saya tumpang untuk bertanya, puan. Di manakah tempat untuk membeli kupon tempat letak kereta?”

Dia menjawab, “Di sini, encik.”

Selepas terdiam sebentar, saya bertanya “Ada papan tanda yang menunjukkan kedai ini tempat untuk membeli kupon?”

Wanita itu menjawab, “Di dalam ini, tiada, encik. Di luar itu, ada.”

Saya terdiam lagi. Wanita itu bertanya, “Encik mahu kupon setengah jam atau satu jam?”

Saya membalas, “Oh, tidak, puan. Saya bertanya sahaja. Bolehkah saya membayar kompaun di sini?”

Wanita itu menjawab, “Tidak, encik. Encik boleh membayar kompaun di pejabat, di sana, tetapi sekarang pejabat sudah tutup.”

Setelah mengucapkan terima kasih kepada wanita itu, saya bergegas keluar. Petugas MPHTJ, isteri dan anak saya masih berdiri di situ!

Saya mengucapkan terima kasih kepada petugas itu dan memohon agar dia memaafkan saya kerana mengganggu rentak tugasnya, iaitu mengeluarkan notis kompaun kepada kereta yang tidak mempamerkan kupon letak kereta. Saya juga mengucapkan syabas kepadanya kerana setia bertugas di bawah panas terik. Pada masa yang sama mungkin rakan-rakannya sedang menikmati makanan tengah hari dan beristirahat. Permohonan maaf dan ucapan syabas itu saya lafazkan kepadanya sambil bersalam dan merenung wajahnya. Oleh sebab usianya dalam lingkungan dua puluhan, tangan saya berasa ringan menepuk-nepuk bahunya.

Ketika berpusing-pusing di tengah-tengah bandar raya Melaka, berulang-ulang saya memberitahu isteri dan anak saya bahawa saya tidak bersalah. Notis itu juga belum menghukum saya bersalah. Notis itu jelas mencatatkan bahawa “saya berpendapat bahawa tuan/puan telah melakukan kesalahan”. Tegasnya, itu hanya pendapat. Yang akan menentukan sama ada saya bersalah atau tidak ialah mahkamah.

Saya memberitahu isteri dan anak saya bahawa seorang rakan saya pernah mencabar satu notis kompaun di mahkamah. Dalam perbicaraan itu dia kalah. Kos yang ditanggungnya berlipat ganda berbanding jikalau dia membayar kompaun itu. Jadi, saya menyatakan kepada isteri dan anak saya bahawa saya akan membayar kompaun itu. Saya juga menyatakan kepada anak dan isteri saya bahawa undang-undang, khususnya di negara kita, tetap dilaksanakan walaupun pelanggar undang-undang itu tidak mengetahui kewujudan undang-undang yang berkenaan.

Pada mulanya saya bercadang untuk membayar kompaun itu di pejabat MPHTJ. Isteri saya sudah bersetuju untuk menemani saya untuk ke Melaka lagi. Saya bercadang untuk bercakap-cakap dengan pihak pengurusan MPHTJ. Petugas itu mengatakan, kompaun boleh dikurangkan lima puluh peratus. Hati saya pula berkata, jikalau saya menerangkan bahawa saya tidak mengetahui peraturan yang berkaitan, pihak pengurusan MPHTJ mungkin berkuasa untuk melupuskan kompaun itu.

Cara untuk menyelesaikan kompaun itu mengganggu fikiran saya beberapa hari. Saya akan mengeluarkan belanja lebih RM50.00 untuk minyak kereta, tol dan minuman. Perbuatan ke Melaka merupakan perlakuan tidak bijaksana dan membuang masa. Akhirnya, pada 26 April 2011, saya mengirimkan wang pos RM30.00 kepada MPHTJ. Saya berharap MPHTJ sudah menerima wang pos itu. Saya tidak mengharapkan pemberitahuan penerimaannya kerana saya faham bahawa organisasi seperti MPHTJ mempunyai terlalu banyak tugas penting untuk diselesaikan.

Peristiwa ini menambah pengalaman saya. Pada masa akan datang, apabila saya pergi ke “tempat orang”, saya hendaklah mengambil tahu perkara seperti sistem letak kereta kerana sesungguhnya “lain padang, lain belalang” dan “lain lubuk, lain ikannya”.

4 ulasan:

JaLiFaH BinTi MuHaMiN berkata...

Pengalaman cikgu ni boleh dijadikan teladan buat pelawat yang datang ke Melaka nanti. Apapun semoga dipermudahkan segala urusan hidup Cg seisi keluarga. ^__^

Myfrin's story berkata...

Salam, Tuan Mohd Isa. Pengalaman tuan itu juga akan saya jadikan panduan semasa kami berada di negeri orang nanti.

Betul kata tuan, lain padang, lainlah belalangnya. Terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman tuan...:)

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Cikgu Jalifah, terima kasih. Alhamdulillah, maksud saya untuk berkongsi maklumat tercapai.

Sekadar kenang-kenangan, pekan Keningau pernah mengenakan bayaran letak kereta. Bayarannya murah; jikalau tidak silap, 30 sen sahaja bagi setengah jam. Petugas dan pondoknya pula mudah dikesan. Istimewanya, petugas tidak meletakkan notis bayaran jikalau pemandu masih berada di dalam kereta. Setakat yang saya ketahui, tiada saman. Yang ada ialah bulan pengampunan.

Sistem itu terlaksana setahun dua sahaja. Ada kemungkinan syarikat yang melaksanakannya kurang untung, bahkan mungkin rugi. Pekerja banyak dan kurang aktif meletakkan notis bayaran. Saya tidak tahu sama ada sistem bayaran letak kereta sudah dikembalikan di pekan Keningau atau belum.

Wassalam.

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam Myfrin’s. Sama-samalah kita berkongsi maklumat. Saya mengikuti blog puan dan menikmati tulisan puan. Saya mohon maaf sekiranya pernah tersebut nama Cikgu Kadiza bagi Myfrin’s sedangkan dia ialah Windi’s. Wassalam.