22 Julai 2011

Dirotan oleh Nenek

Saya sempat menikmati kasih sayang nenek. Peristiwa paling segar dalam ingatan saya ialah suara saya sendiri. Selepas ke sungai besar, saya berteriak, “Cebok, cebok …!” Ungkapan ini saya ulang-ulang. Suku kata keduanya saya panjangkan. Ulangan perkataan itu membentuk irama seakan-akan teriakan penjaja kuih atau sate dalam filem hitam putih.

Neneklah yang paling cepat dan terkerap melayan teriakan saya. Nenek menuntun tangan saya ke perigi. Di sana saya mencangkung. Nenek mencedok air perigi dengan timba upih. Tali timba itu lebih kurang lima depa panjangnya. Dengan air yang jernih dan sejuk itu, nenek menceboki saya.

Pada tahun 1960 kami pindah ke kampung baharu. Usia saya ketika itu hampir lapan tahun. Kenakalan saya menjadi-jadi. Saya suka masuk ke dalam belukar dan hutan. Saya juga suka berendam dalam sungai dan bermain di atas buyau. Saya suka memanjat pokok dan bergayut pada dahan. Saya suka duduk-duduk di atas seketul batu sebesar dua tiga ekor gajah yang disebut batu hidup.

Ibu saya ialah anak tunggal nenek. Saya satu-satunya anak lelaki ibu dan tentulah satunya cucu lelaki nenek. Kenakalan saya adakalanya membahayakan keselamatan diri. Mereka prihatin akan keselamatan saya. Namun saya tetap nakal. Ibu pernah menyebabkan belakang saya birat kerana perlakuan nakal saya yang wajar dirawat dengan rotan. Saya menerima rawatan itu dengan semangat anak jantan.

Nenek si tukang cebok itu tidak sanggup menjentik saya. Sebab itu, apabila saya merajuk, saya berada dalam dakapannya. Dalam tahun perpindahan ke kampung baharu itu juga nenek meninggalkan kami. Dialah penghuni pertama tanah perkuburan kampung baharu kami itu.

Allah menyayangi saya. Tidak lama kemudian Nenek Aji meninggalkan Kampung Linggi dan menginap di rumah anaknya yang bersempadan dengan tanah kami. Saya mendapat kasih sayang Nenek Aji pula. Sebagai tanda kasih sayangnya terhadap saya, Nenek Aji kerap meminta saya membantunya.

Dua perkara segar dalam ingatan saya. Yang pertama, Nenek Aji menugaskan saya untuk menulis rangkapan bertulisan Jawi dan memperbanyaknya dengan menggunakan kertas karbon. Adalah sen-sen untuk saya. Yang kedua, nenek mempercayai saya untuk menemaninya tidur di puncak bukit dalam kawasan Tanah Perkuburan Islam, Ampangan, Seremban.

Pada suatu hari, orang meratakan tanah di sebelah rumah anak Nenek Aji. Tanah rata itu terbiar beberapa lama. Tidak lama kemudian, ada khabar Nenek Aji hendak membuat kenduri. Saya dengar orang-orang tua menyebutnya kenduri hol. Saya tidak kisah. Yang penting saya dapat menikmati makanan yang enak semasa kenduri itu. Yang tidak kurang pentingnya ialah saya dapat berkejar-kejaran dengan kawan-kawan pada waktu malam.

Sungguh banyak orang datang ke kenduri Nenek Aji pada malam itu. Orang lelaki dewasa duduk di atas tikar yang terhampar di atas tanah yang sudah diratakan itu. Kami budak-budak tidak kisah. Kami asyik berborak, ketawa-ketawa, bertepuk tampar dan berkejar-kejaran. Pada masa itu kami belum awas lagi waktu maghrib dan isyak. Hantu, jin, orang halus dan sebagainya jarang masuk dalam fikiran.

Kami berasa makanan lambat dihidangkan. Ratusan lelaki, kebanyakannya sudah tua, terus beratib di atas tanah rata itu. Banyak lelaki berjubah dan berserban. Yang lain-lain berkain pelekat, berketayap atau bersongkok. Lelaki yang berjubah dan bersebar hampir kesemuanya berjanggut tanpa misai.

Kata rakan saya yang lebih tua, ada antara orang itu datang dari Kampung Linggi, Kampung Permatang Pasir dan Kampung Baharu Ampangan. Ketiga-tiga tempat itu saya tahu. Kampung Linggi ialah kampung Nenek Aji. Dia pernah membawa saya ke sana. Kampung Permatang Pasir ialah kampung lama saya, kampung yang ada perigi tempat nenek menceboki saya. Kampung Baharu Ampangan pula ialah kampung mak cik saya. Ibu kerap membawa saya ke sana.

Bunyi ratib semakin kuat. Suara ratib sambut menyambut dan ada yang melengking. Saya dan kawan-kawan menghentikan aktiviti kejar-mengejar apabila suara ratib menjadi-jadi. Kami melihat kesemua lelaki itu menggoyang-goyangkan badan ke kiri dan ke kanan mengikut rentak ratib. Ada juga lelaki mengangguk-anggukan kepala.

Nenek Aji berdiri di tepi gelanggang ratib. Dia bertelekung putih. Kemudian dia mundar-mandir di tepi gelanggang. Tangan kanannya menggenggam rotan. Sesekali dia melihat ke arah kami. Perasaan kami tidak menentu. Mustahil Nenek Aji menggertak kami kerana kami sudah berdiri diam-diam.

Ratib terus menjadi-jadi. Ada suara lengkingan, tinggi dan keras. Nenek menghayun rotan ke belakang beberapa orang. Mulutnya kumat-kamit membaca sesuatu. Ratiban masih berterusan. Nenek merotan beberapa orang lelaki lagi. Turut dirotan oleh nenek ialah ayah saya. Mereka yang dirotan terguling dan kemudian dapat mengawal diri. Kami tidak tahu hal yang berlaku seterusnya kerana giliran kanak-kanak menikmati jamuan kenduri hol itu sudah tiba.

Tamat

Tiada ulasan: