18 Julai 2011

Pak Cik Sarawak, Imam Dua

1
Kulihat garis-garis pengalaman pada kedut mukanya
kisah resah duka terbenam dalam dadanya,
dia tetap mantap meredah masa hadapan
dengan bekalan baki tenaga dan parut perjuangan.

Renung dan senyumnya menyejukkan mataku
bersama-sama sahabat setia sentiasa memanggilku,
memancarkan cahaya menyinari kalbu
menghalau kelam hitam hati berjerebu.

Pak cik, teruskan perjuanganmu
bersama-sama saudaraku itu.

2
Dengan jaket kembara dan bendera negara di dada
kulihat langkahmu tekal teratur ke mana-mana
darat, laut, bukit, paya, apalagi tanah pamah
apabila tekad membulat dan dengan pertolongan Allah
onak, ombak, hujan, panas, terus kauredah
tersungkur di kota, lemas di kuala, lelah di belantara
terbukti engkau perwira pantang menyerah.

Kini engkau bersila di sebelah Pak Cik Sarawak
imam dua pedalaman penongkah arus perdana
yang kehilangan teruna waris perjuangannya
tetap senyum menyembunyikan gundahnya.

Engkau marakkan kembali bara api
bersama-sama imam menggelojakkan perjuangan suci
bersama-sama imam berpencak di gelanggang
bersama-sama imam rela dihempas gelombang.

Kulihat imam menyerap kekentalan perjuanganmu
menikmati setia kawan dalam kalbu
mengembalikan ghairah muda dan lincah terunanya
meneruskan perjuangan pasti matlamatnya;
mengharapkan keampunan dan reda Ilahi
tanpa noktah kendati tewas berulang kali
kerana imam dan dirimu, ya akhi
cukup mengerti akan mehnah dan tribulasi
perjuangan suci memerlukan pengorbanan demi kejayaan hakiki.

Mohd Isa Abd Razak
Port Dickson
18 Julai 2011

(Hari pengebumian Dr. Lo’ Lo’ Mohd Ghazali)

Tiada ulasan: