16 Julai 2011

Kaedah Pembelajaran Koperatif 5 - Jigsaw Puzzle

Jigsaw Puzzle (Cantuman)
Jigsaw ialah kata nama yang bermaksud gergaji jig, iaitu gergaji yang digunakan untuk menghasilkan tebukan berlengkung-lengkung pada kayu, plastik dan keping-keping logam. Daripada perkataan jigsaw terbit ungkapan jigsaw puzzle, iaitu sejenis permainan.

Bahan permainan itu ialah sekeping gambar daripada kad tebal yang dipotong berkeping-keping dan berlengkung-lengkung. Kepingan yang berlengkung-lengkung itu dicampuradukkan. Pemain menyusun kepingan itu untuk menjadi gambar. Usaha untuk menyusun kepingan itu rumit tetapi mengasyikkan.

Dalam struktur pembelajaran koperatif (SPK) terdapat juga jigsaw puzzle. Cirinya seakan-akan permainan itu tetapi bahan dan pelaksanaannya tersendiri. Bahan yang lazim digunakan ialah wacana bercetak. Penggunaan bahan digital digalakkan.

Katakan kita hendak mengajarkan tajuk “Ikan Air Tawar”. Dalam sesi itu kita bercadang untuk mengetengahkan empat jenis ikan, iaitu arapaima, kelah, puyu dan belut. Katakan pula murid kita 20 orang. Kita bentuk lima kumpulan seperti dalam rajah 1. Kumpulan ini ialah kumpulan asal dan kita namakan Kumpulan Adil, Kumpulan Bersih, Kumpulan Cinta, Kumpulan Damai dan Kumpulan Elok. Dalam kumpulan asal, pelajar nombor satu menerima wacana “Arapaima”, pelajar nombor dua menerima wacana “Kelah”, pelajar nombor tiga menerima wacana “Puyu” dan pelajar nombor empat menerima wacana “Belut”.

Kemudian, seperti yang digambarkan dalam rajah 2, pelajar membentuk empat kumpulan. Mereka membaca dan memahami wacana itu. Mereka boleh merujuk bahan sokongan seperti kamus, buku glosari dan ensiklopedia, sama ada yang terpasang pada komputer riba atau secara dalam talian. Mereka memproses dan “menghadam” maklumat dalam wacana, daripada bahan sokongan dan hasil perbincangan. Akhirnya mereka arif atau menjadi pakar tajuk itu.
Setelah menjadi pakar arapaima, pakar kelah, pakar puyu atau pakar belut, mereka kembali membentuk kumpulan asal. Rajah 3 menggambarkan hal ini. Mula-mula pakar arapaima menyampaikan maklumat kepakarannya kepada tiga orang rakannya. Rakan-rakannya perlu mengemukakan pertanyaan. Pakar arapaima hendaklah menjawab pertanyaan itu dengan menyerlahkan keterampilannya sebagai pakar. Seterusnya, pakar kelah pula menjadi penyampai, diikuti oleh pakar puyu dan akhirnya pakar belut.

Setiap kumpulan asal yang sudah berkongsi kepakaran itu hendaklah membuat rumusan dan refleksi. Refleksi wajar menyerlahkan nilai murni. Pensyarah atau guru yang bertindak sebagai fasilitator kemudiannya bolehlah mengedarkan senarai rujukan dan bahan bercetak dan/atau digital.

Tambahan

Guru, khususnya guru kawakan, memang bijak dan banyak idea. Mereka yang bijak itu terus berlumba-lumba menghimpun kebijaksanaan dengan meningkatkan kelayakan akademik dan profesionalisme. Universiti membuka peluang kepada mereka untuk memperoleh ijazah. Institut pendidikan guru dan jabatan pendidikan negeri pula menawarkan kursus peningkatan profesionalisme.

Ada antara guru kawakan bijak yang banyak idea itu suka mengusik pensyarah, khususnya wanita muda dan comel. Ada pensyarah wanita muda comel itu berasa kurang selesa ketika bersyarah. Cubalah SPK, khususnya jigsaw puzzle. Rasa-rasanya guru kawakan bijak yang banyak idea itu akan menjadi kumpulan pakar yang sibuk. Rasa-rasanyalah, mereka kesuntukan masa. Jadi, tiada lagi renung-renungan, apalagi lagi pertanyaan yang bernada usikan. Pakar tentulah serius!

Wallahuaklam. Wassalam.

Tiada ulasan: