13 Julai 2011

Konsep Pembelajaran Koperatif

Masukan terdahulu
Kaedah Pembelajaran Koperatif: Catatan Permulaan, 24 Januari 2009
Kaedah Pembelajaran Koperatif Meningkatkan Keseronokan Belajar, 12 Julai 2011

Pada alaf ini berlaku perubahan yang pesat dalam sistem ekonomi dan demografi dunia. Kita berhadapan dengan ekonomi yang berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi. Jadi, sekolah perlu menyediakan pelajar untuk mengambil bahagian dalam perubahan itu.

Pembelajaran koperatif ialah strategi pembelajaran yang berasaskan aktiviti berpasukan. Pasukan melaksanakan “permainan” yang dikenali sebagai struktur.

Dari segi kognitif, pembelajaran koperatif mampu memperkembang daya pemikiran pelajar. Pelajar tergalak untuk menggunakan pemikiran aras tinggi dan kompleks.

Aktiviti pembelajaran yang berupa “permainan” pula mewujudkan suasana bilik darjah yang ceria. Aktiviti berpasukan itu menggalakkan kerjasama dan keharmonian, terutama dalam bilik darjah yang berbilang kaum dan pelbagai status sosial. Hal ini bertepatan dengan sistem pendidikan kita yang berhasrat untuk menghasilkan pelajar yang berupaya menghadapi arus pembangunan ekonomi dan sosial yang begitu pantas terutama sekali dalam teknologi maklumat dan komunikasi.

Justeru, pelajar lebih aktif, berinisiatif, ekspresif, bekerjasama dan kukuh-mengukuh antara satu dengan yang lain. Hal ini selaras dengan pembentukan konsep perpaduan dalam kalangan pelajar berbilang kaum di negara kita.

Pembelajaran koperatif menghasilkan kemahiran penguasaan emosi yang mampu membantu pelajar menyesuaikan diri dalam masyarakat. Hal ini selaras dengan aspirasi negara untuk mewujudkan masyarakat yang progresif, berketerampilan dan berwibawa dalam pelbagai bidang.

Sesungguhnya sekolah bukan sekadar melahirkan pelajar yang menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran asas. Sekolah perlu menyediakan suasana yang membolehkan pelajar berkomunikasi, sekali gus menyerap kemahiran sosial.

Pembelajaran tradisional mementingkan unsur persendirian dan pertandingan. Sebaliknya pembelajaran koperatif bertumpu pada aktiviti berpasukan yang sesuai dengan kemampuan individu dalam pasukan itu tanpa terlalu menekankan persaingan antara pasukan. Aktivitinya pula mudah tetapi bermakna.

Rumusannya, strategi pembelajaran koperatif menatijahkan kesediaan pelajar untuk menghadapi cabaran dalam masyarakat. Guru pula terlepas daripada tekanan kaedah kuliah yang autokratif. Bahkan guru bebas daripada menghadapi masalah pengurusan disiplin kerana wujud positiviti dalam kalangan pelajar.

Tiada ulasan: