Masukan yang terdahulu
1. Tertib Mengarang untuk Penulis Blog dan E-Grup,14 Januari 2009
2. Panduan Praktikum Sekolah Rendah, 3 Februari 2009
3. Keranda 52: Bahasa Kita, Air Mata dan Maruah Kita, 7 Februari 2009
4. Merokok: Makruh atau Haram? 6 Jun 2009
5. Ilmu Mengarang Melayu, 24 Februari 2011
6. Beberapa Sisi Masyarakat dan Alam Sabah Pra dan Pascaperang, 25 Februari 2011
7. Rumah Limas Rumah Pusaka: Arkib Tiga Buah Negeri, 3 Mac 2011
8. Perpaduan Nasional dalam Novel Orang Malaya, 11 Julai 2011
9. Tuntunan Bahasa: Kita Tidak Memerlukan Bentuk “Ianya”, 12 Julai 2011
Tajuk Buku: Kaedah Pemelajaran Koperatif Sekolah Rendah
Penulis: Dr. Ismail Said
Penerbit: Karisma, Shah Alam
Tahun: 2009
Halaman: 102
Harga: RM15.00
Pengulas: Mohd Isa Abd Razak
Sebagai kanak-kanak, murid sekolah rendah memang mementingkan keseronokan. Mereka memperoleh keseronokan itu dengan cara bermain. Tidak hairanlah apabila kita dapati ada murid bermain semasa belajar. Guru sekolah rendah, terutamanya guru bahasa Melayu memang menyedari hal ini. Oleh itu, mereka berusaha menggunakan teknik yang memungkinkan anak didik mereka berasa seronok belajar. Teknik itu ada yang memang bernama permainan seperti permainan bahasa. Ada pula teknik berasaskan permainan atau ada unsur permainan seperti lakonan spontan, kerusi panas dan simulasi.
Ada satu cara lagi untuk menjadikan murid berasa seronok belajar. Cara ini lebih menyeluruh dan mengandungi beberapa banyak aktiviti yang berasaskan permainan atau ada unsur permainan. Selain itu, cara ini mampu menyuburkan kemahiran sosial kanak-kanak dan mengentalkan kejeleketan dalam kalangan murid. Kejeleketan dalam kumpulan kecil boleh berkembang dalam satu kelas dan seterusnya dalam komuniti. Kejeleketan itu mampu berkembang dalam negara kita yang kini popular dengan gagasan Satu Malaysia. Kejeleketan yang kental itu lebih dikenali dengan perkataan perpaduan. Perpaduan itu ialah hala tuju pendidikan kita.
Keseronokan belajar, penyuburan kemahiran sosial dan kekentalan perpaduan dalam Satu Malaysia menjadi lebih mudah apabila guru menggunakan cara yang dimaksudkan, iaitu kaedah pembelajaran koperatif. Cara ini bukan sekadar teknik tetapi kaedah, iaitu sesuatu yang lebih bersistem yang berasaskan prinsip dan teori pembelajaran. Demikianlah kesan penting yang kita peroleh apabila kita meneliti buku Kaedah Pemelajaran Koperatif Sekolah Rendah oleh Dr. Ismail Said.
Sebagai warga institut pendidikan guru (IPG), penulis buku ini berkesempatan untuk mencuba penggunaan kaedah ini di bilik darjah. Beliau melakukan percubaan itu dengan kerjasama guru pelatih di bawah bimbingannya dan pihak sekolah. Hasil percubaan itu menunjukkan semua murid bersetuju bahawa mereka berasa seronok belajar. Berdasarkan data lain dalam kajian itu, dapat dirumuskan bahawa kaedah ini menggalakkan penyuburan kemahiran sosial dan kekentalan perpaduan.
Dapatan kajian penulis bertepatan dengan lima prinsip kaedah ini iaitu kebergantungan positif, kebertanggungjawaban individu, interaksi serentak, kemahiran sosial, dan pemprosesan kumpulan. Sebagai contoh, kita perhatikan butiran prinsip kebergantungan positif dan kemahiran sosial. Kebergantungan positif bermaksud setiap murid perlu berperanan dalam satu kumpulan. Prinsip ini menatijahkan kesungguhan murid belajar dalam kumpulan demi kejayaan kumpulan dan diri sendiri. Hal ini berkaitan dengan prinsip kemahiran sosial, iaitu murid melaksanakan kemahiran sosial yang pelbagai dalam kumpulan kecil itu. Menurut penulis, murid terdedah dengan kemahiran memimpin, membuat keputusan, mengurus konflik dan meningkatkan kepercayaan dalam kalangan ahli.
Kaedah ini menyediakan beberapa banyak aktiviti yang berasaskan atau ada unsur permainan. Buku ini menjelaskan 24 aktiviti. Antaranya termasuklah di dalam dan di luar bulatan (inside outside circle), cantuman (jigsaw), penyiasatan berpasukan (group investigation), kajian berkumpulan, kembara galeri (gallery tour), lakarkan saya (match mine), fail kembara (travelling file) dan melengkapkan lukisan (window pane). Penulis ada memberikan pelaksanaan contoh beberapa aktiviti dalam rancangan pengajaran harian.
Kandungan buku ini ringkas tetapi meliputi semua perkara penting dalam kaedah koperatif. Beberapa rancangan pengajaran harian yang disediakan dapat membantu guru atau bakal guru yang belum biasa dengan kaedah ini untuk mencubanya dalam bilik darjah masing-masing. Pemerian percubaan, pendedahan dapatan soal selidik dan cadangan penulis pula dapat meningkatkan keyakinan guru atau bakal guru untuk melaksanakan percubaan itu. Mereka yang sudah mencuba kaedah ini pasti dapat menyaksikan sendiri keseronokan belajar dalam kalangan murid.
Tamat.
Pedoman Bahasa: | Semua | MIAR | DBP | DB | PB | DS | KNB | JPEG || Kesantunan | Salam || Jawi || Pautan: | Scribd | Cikgu | Jawi | IPGMKgu | KBBI | Munsyi || Profil Penulis | Hak Cipta || Puisi: Sambung-menyambung | Hanya Sulap | Kebun Kecil Bahasa || Kembali ke Laman Terkini || Pautan Istimewa: | Soal Jawab Bahasa | Pendidik | Persatuan Pendidik BM |
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan