11 Julai 2011

Perpaduan Nasional dalam Novel Orang Malaya

Masukan terdahulu
1. Tertib Mengarang untuk Penulis Blog dan E-Grup, 14 Januari 2009
2. Panduan Praktikum Sekolah Rendah, 3 Februari 2009
3. Keranda 52: Bahasa Kita, Air Mata dan Maruah Kita, 7 Februari 2009
4. Merokok: Makruh atau Haram? 6 Jun 2009
5. Ilmu Mengarang Melayu, 24 Februari 2011
6. Beberapa Sisi Masyarakat dan Alam Sabah Pra dan Pascaperang, 25 Februari 2011
7. Rumah Limas Rumah Pusaka: Arkib Tiga Buah Negeri, 3 Mac 2011


Tajuk Buku: Orang Malaya
Penulis: Harun Haji Salleh
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun: 2009
Halaman: 310
Harga: RM22.00
ISBN: 978-983-62-9817
Pengulas: Mohd Isa bin Abd Razak

Pengarang novel Orang Malaya, Harun Haji Salleh (1935 – 1999) ialah anak Negeri Sembilan. Dia berhijrah ke Borneo Utara pada tahun 1950. Dia berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan Borneo Utara (dan seterusnya Sabah), berkahwin dengan wanita Sabah dan menetap di Sabah. Dia sudah mengembara ke seluruh pelosok negeri Sabah dan bergaul dengan masyarakat Sabah hampir lima dekad. Sebahagian daripada pengalamannya itu terterap dalam novel ini.

Pengarang menyiapkan novel ini pada tahun 1993. Penerbitannya hanya menjadi kenyataan 16 tahun kemudian, iaitu selepas 10 tahun dia meninggal dunia. Walau bagaimanapun, semasa hayatnya dia sempat melihat lapan buah novelnya diterbitkan.

Watak utama novel ini ialah Cikgu Masri, seorang guru siswazah dari Semenanjung. Pada pagi 13 Mei 1993, dia menaiki kapal terbang dari Subang menuju ke Kota Kinabalu untuk melaporkan diri sebagai guru siswazah di Sabah.

Misi utamanya adalah untuk mendidik anak-anak bangsa. Misi sampingannya pula adalah untuk mencari waris sebelah ibunya. Waris itu mungkin anak atau cucu arwah Tok Longnya, iaitu guru lepasan Sultan Idris Training Collage (SITC) yang berhijrah ke Sabah pada tahun 30-an.

Apabila Cikgu Masri melaporkan diri di Jabatan Pendidikan, Kota Kinabalu, misi utamanya itu menyerlah. Melalui watak Tuan Moksin, ditegaskan bahawa guru memikul tanggungjawab untuk mendidik dan meniupkan semangat kenegaraan kepada murid-murid dan bukannya sentimen kenegerian. Cikgu Masri akur dengan kata keramat Tuan Moksin. Pada hari itu juga dia bertolak ke kawasan pedalaman untuk melaksanakan misi itu.

Sesungguhnya, amat ketara novel ini mempromosi gagasan perpaduan nasional. Cerita atau peristiwa menjadi alat untuk membincangkan gagasan itu. Inti patinya, perpaduan nasional amat penting untuk membentuk modal insan dan melancarkan pembangunan negara. Namun, harapan kita untuk melihat Cikgu Masri melaksanakan misi itu dalam bilik darjah tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya, pengarang mengetengahkan gagasan itu dalam pergaulan Cikgu Masri dengan masyarakat setempat.

Cikgu Masri mendengar cebisan kisah yang menunjukkan adanya keretakan hubungan antara perantau dari Semenanjung dengan anak tempatan Sabah. Dia juga mengalami sendiri peristiwa yang menyerlahkan keretakan itu.

Hal yang menarik ialah keretakan hubungan yang berpunca daripada orang Sabah, diceritakan oleh anak tempatan sendiri. Dia ialah Lamsin, pemuda kacukan Bajau-Kadazandusun yang bertugas sebagai pemandu kenderaan di Jabatan Pendidikan. Keretakan hubungan yang berpunca daripada orang Semenanjung pula, diceritakan oleh penghijrah itu sendiri. Dia ialah Pak Kahar. Dia datang ke Sabah pada pertengahan tahun 30-an, bermenantukan orang Sabah dan menetap di kawasan pedalaman Sabah, iaitu tempat Cikgu Masri bertugas.

Kita dapat menganggap teknik penceritaan ini sebagai muhasabah atau renungan kendiri. Oleh hal yang demikian, pembaca sukar dihanyutkan oleh sentimen kenegerian ketika membaca novel ini. Inilah kebijaksanaan pengarang.

Maklumat daripada Lamsin dan Pak Kahar sebahagian besarnya diperoleh daripada orang lain. Maklumat itu sudah lama dan tidak dapat dipastikan masanya. Mereka menerima maklumat itu secara dengar cakap (hearsay). Cikgu Masri juga menerima maklumat itu secara dengar cakap. Ungkapan lama bagi dengar cakap ialah khabar angin. Hal ini termasuklah juga kisah seorang ustazah yang diceritakan oleh Pak Kahar dan Mak Cik Tinah sedangkan kisah itu ialah peristiwa semasa. Jika mahu, pengarang boleh menggerakkan Cikgu Masri untuk menyelidiki kebenaran khabar itu. Hal ini adalah antara kelemahan cara pengarang mengetengahkan persoalan perpaduan nasional dalam novel ini.

Walau bagaimanapun, Cikgu Masri mengalami sendiri tiga peristiwa yang menyerlahkan persoalan perpaduan. Peristiwa pertama ialah lepas cakap Peter Jimit kepadanya ketika dalam perjalanan ke kawasan pedalaman. Namun, tutur kata Peter Jimit itu batal. Hal ini dikatakan demikian kerana pada masa itu Peter masih mengalami kesan minuman yang memabukkan. Sementelahan, ego Peter lenyap hanya dengan sedikit pujian daripada Cikgu Masri. Pengarang mungkin mencipta peristiwa ini untuk menunjukkan bahawa yang dikatakan prasangka itu sebenarnya bersifat luaran dan mudah diselesaikan.

Dua lagi peristiwa yang dialami oleh Cikgu Masri juga menunjukkan bahawa apa-apa kekeruhan hubungan yang menggugat perpaduan antara perantau dengan anak tempatan dapat diselesaikan dengan mudah. Dalam peristiwa kedua, Cikgu Sufi, berjaya menenangkan “kocak dalaman” hanya dengan ucapan yang berterus terang dalam satu majlis terbuka. Natijahnya, kerenggangan hubungan antara dirinya sebagai Pengetua dengan John Lajingah yang menjalankan tugas Pengetua sebelum kedatangannya kembali bertaut. Begitu juga dalam peristiwa ketiga, Mat Lajim yang cukup agresif kembali tenang apabila Datuk James Guntalis mendeklamasikan sajak protesnya dan dia mendapat peluang untuk menyertai satu lawatan.

Pengarang hanya mengetengahkan usaha bersungguh-sungguh Cikgu Masri untuk mengesan waris sebelah ibunya setelah persoalan perpaduan nasional selesai. Dia menghadapi beberapa rintangan, kejutan dan penyelesaian yang dramatik. Dalam penyelesaian yang dramatik itu tersirat penjernihan salah sangka terhadap penghijrah dari Semenanjung.

Selain persoalan perpaduan nasional dan pencarian waris, novel ini menyisipkan juga kisah cinta Cikgu Masri dengan johan Unduk Ngadau etnik Kadazandusun yang bernama Itom. Siapakah Itom? Apakah kesudahan cinta mereka? Adakah Cikgu Masri juga akhirnya menetap di Sabah seperti Pak Kahar?

Usaha pembaca untuk mencari jawapan tentang soalan ini pasti mendebarkan. Jadi, novel ini wajar menjadi bacaan pelbagai golongan yang berminat tentang persoalan perpaduan nasional, pencarian waris dan kisah cinta antara pemuda Semenanjung dengan gadis Kadazandusun di Sabah.

Tamat.

Edisi pendek ulasan ini tersiar dalam Dewan Masyarakat, Oktober 2009.

Tiada ulasan: