02 Ogos 2011

Berusrah Kali Kedua

Pada tahun 1994, aku menyertai usrah gabungan. Usrah kali pertama tidak menarik. Selepas sesi pembukaan, naqib mengedarkan risalah “Usrah dan Matlamatnya”. Dia menyuruh ahli usrah membaca risalah itu dengan suara yang lantang secara bergilir-gilir.

Aku tidak mendapat giliran. Mungkin dia berpendapat, sebagai penyunting, pasti aku sudah membaca risalah itu berkali-kali.

Seterusnya naqib seakan-akan berceramah tentang pengurusan usrah. Adakalanya, dia kelihatan seakan-akan berleter. Antara perkara yang kuingat, dia mahu semua ahli usrah hadir setiap kali pertemuan. Kemudian dia mengemukakan hujah tentang pentingnya pertemuan usrah gabungan di kampus kami. Dia juga berkata, ahli usrah mesti membaca bahan yang sudah ditetapkan, mesti membawa alat tulis dan buku catatan, mesti menghafal hadis dalam buku Hadis 40 dan beberapa banyak mesti lagi.

Pada usrah kali kedua, aku duduk di sebelah kiri naqib lepasan Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu. Hal itu kulakukan agar aku menjadi orang yang terakhir mendapat giliran memperdengarkan hafalan.

Sesi pembukaan dimulakan dengan istighfar, diikuti dengan selawat, diteruskan dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan nasyid Asma al-Husna. Dia melagukan nasyid itu dengan penuh penghayatan tanpa melihat teks. Suaranya mengatasi suara kami. Suara yang paling perlahan dan kadang-kadang hilang ialah suaraku.

Selesai bernasyid, dia menyampaikan sepatah dua kata. Kata-katanya diselang-selikan dengan pujian atas kesungguhan ahli bernasyid. Dia menyebut beberapa nama, termasuk namaku. Tentulah aku berasa serba salah. Aku tersengeh-sengeh.

Aktiviti selepas sesi pembukaan ialah taaruf. Oleh sebab kami sekampus, nama, pengajian dan sebagainya sedia dimaklumi. Dia mencungkil beberapa perkara, termasuk aktiviti muhasabah diri kami sepanjang minggu lalu. Dia bertanya, membiarkan kami bercerita, tersenyum, mengangguk dan sebagainya agar kami terdorong dan berasa selesa untuk terus mengisahkan diri masing-masing.

Apabila sampai giliranku, dia pula menjadi tukang cerita tentang diriku. Tindakannya kuanggap sebagai penghormatan. Dalam hati, aku berkata, “Kalau begini, ada harapan aku terlepas daripada memperdengarkan hafalan hadis.”

Seperti yang dirancangkan, aktiviti seterusnya ialah memperdengarkan hafalan hadis niat. Naqib memperdengarkan hafalannya. Aku berasa kagum akan kebolehannya menyebut matan Arab dan mengalirkan terjemahannya dengan lancar. Hafalan ahli usrah pula kurang baik dan ada bahagian tertinggal. Hafalan seorang dua tersangkut-sangkut.

Aku bertambah kagum akan kebolehan naqib mengendalikan usrah. Dia begitu gigih membimbing dan menggalakkan anak-anak usrahnya memperdengarkan hafalan. Dia membetulkan kesilapan anak usrah dengan suara yang lembut. Bolehlah kukatakan bahawa semua tutur dan perlakuannya berupa dorongan.

Giliranku pun tiba. Harapanku agar dia mengecualikanku seperti dalam usrah pertama hampa. Dia berkata dengan suara yang lembut dan perlahan, “Cikgu cuba. Salah dan silap sama-sama kita betulkan. Kita sama-sama belajar.”

Aku berkata, “Minta maaflah sekiranya saya tidak hafal dan silap.”

Naqib segera menjawab, “Tak pa, tak pa. Salah silap tu biasa ja.” Dia mengucapkan kata-kata dalam dialek Perlis itu sambil tersenyum.

Aku berasa agak gementar. Kubetulkan sila yang memang sudah elok. Kupejamkan mata. Kutarik nafas panjang-panjang. Kuucapkan istighfar tiga kali dan selawat tiga kali. Sesudah membaca bismillah, aku pun memperdengarkan hafalan.


Apabila aku selesai memperdengarkan hafalan matan dan mafhumnya, dengan rasa girang naqib berkata, “Alhamdulillah. Segala usaha kita semuanya dengan pertolongan Allah. Hafalan cikgu sungguh baik.”

Aktiviti seterusnya berjalan dengan lancar. Sebelum sesi penutup, dia meminta aku menyampaikan sepatah dua kata. Aku berasa dihormati. Oleh sebab naqib sudah menunjukkan kewibawaannya sebagai pemudah cara, aku berucap pendek sahaja.

Usrah gabungan itu ditutup dengan tasbih kafarah dan surah al-Asr. Kemudian kami menikmati jamuan.

Usrah kali kedua itu tidak mudah untuk kulupakan. Wajah naqib yang bersuara lembut dan selalu menguntum senyum terbayang kembali. Memang dia layak menjadi naqib. Dalam kalangan kami tiada ustaz atau ustazah. Dialah ustaz kami, naqib kesayangan kami.

Aku yakin, dia mampu mengendalikan usrah seterusnya dengan baik. Aku yakin, pelajar-pelajarku yang menjadi anak usrahnya selesa dengan gaya kepimpinannya. Aku yakin, pelajar senior dari Perlis lepasan UiTM itu, pelajar tertua dalam usrah gabungan itu, pelajar terakrab denganku itu, mampu menjadi naqib yang disegani. Dari semasa ke semasa, dia hanya perlu mendapat panduan minimum daripadaku selaku pensyarah penasihat usrah gabungan itu.

Tamat.

Tiada ulasan: