01 Ogos 2011

Pengisian Usrah Helwa Negeri

Siri Usrah
2. Darihal Usrah oleh Hassan al-Banna
3. Berusrah Kali Pertama
4. Manhaj Usrah dan Mauduknya oleh Habbat Nasim
5. Pengisian, Kurikulum, Silabus atau Manhaj?
7. Usrah Nukleus Tarbiah oleh Arni Nasir
8. Pengisian Contoh oleh Ustazah Zubaidah
9. Pemantapan Usrah di SMAP oleh Afnan

BERUSRAH selaku orang awam berbeza daripada pengalaman berusrah semasa di sekolah dan di universiti. Perbezaan itu dapat dilihat dari segi pengisian, pendekatan, sasaran, objektif, tempoh dan faktor-faktor lain.

Oleh sebab kami semua bekerja, usrah dijalankan seminggu sekali dari pukul 3.00 hingga 6.00 petang. Semua ahli usrah ialah Jawatankuasa Helwa Negeri yang mengetuai biro masing-masing.

Semua ahli ada anak. Semasa ibu-ibu berusrah, ada aktiviti yang bersesuaian untuk anak-anak. Biasanya aktiviti itu dikendalikan seorang ahli helwa mengikut giliran.

Aktiviti pertama usrah kami ialah pembacaan al-ma’thurat. Yang terpenting ialah doa Rabitah. Doa ini memang khusus untuk para dai agar sentiasa bersatu padu dalam jemaah.
Semua ahli dalam jemaah ada pasangan kembar masing-masing. Antara fungsi pasangan ialah mengingatkan pasangannya tentang aktiviti jemaah. Hal ini penting kerana kami ada tanggungjawab peribadi yang pelbagai. Tanpa ingat-mengingat, memang ada kemungkinan kami terlupa untuk mengikuti aktiviti jemaah.

Aktiviti kedua ialah menghafaz al-Quran. Kembar masing-masing akan mendengar bacaan kembarnya dan begitulah sebaliknya.

Aktiviti ketiga ialah membaca tafsir al-Quran. Ahli-ahli digalakkan membawa kitab tafsir yang pelbagai. Kitab tafsir terbaik ialah Tafsir Fi Zilalil Qur'an, terbitan Pustaka Aman Press. Tafsir ini kami selang-selikan dengan Syarah Hadis yang ditulis oleh Dr. Mustafa al-Bugha terbitan Pustaka Salam. Penerangan dalam buku ini sangat mendalam.

Aktiviti keempat ialah membaca buku Fiqh Keutamaan tulisan Yusuf al-Qardawi. Biasanya kami berhenti untuk solat berjemaah dan makan. Lepas itu ada ustaz yang kami jemput khas untuk membacakan kitab Fathul Mu'in yang diselang-seli dengan kitab Al-Muhimah. Kedua-dua kitab ini penting untuk mendalami hukum-hakam. Kitab Muhimah khusus untuk melahirkan wanita solehah.

Qiamullail diadakan sebulan sekali. Aktiviti-aktiviti lain yang bersesuaian juga diadakan dari semasa ke semasa.

Pengorbanan memang sangat besar kerana hari Jumaat ialah hari minggu di sini. Hari itu sepatutnya kami berehat bersama-sama keluarga. Namun, berkat istiqamah, komitmen dan sokongan para suami, kami terus berusrah. Kami yakin, tiada apa-apa boleh berlaku tanpa izin-Nya.

Tamat.

Nota Penyunting
Tulisan ini asalnya bertajuk “Sedikit Pengalaman Berusrah” oleh Puan Anisah Hashim. Tulisan ini terbit dalam E-Grup Gerak Usrah pada 29 Januari 2001. Saya menyunting dan menerbitkannya di laman Gerak Usrah pada tahun yang sama. Sesudah dimurnikan sedikit lagi, inilah hasilnya untuk tatapan pengunjung blog dan rakan buku wajah saya.
      Sejak tahun 2007, saya terputus hubungan dengan Puan Anisah. Saya menjangka beliau sudah lama menyelesaikan PhD-nya. Saya berharap beliau terbaca tulisan ini dan sudi berinteraksi dengan saya semula.

Tiada ulasan: