29 Julai 2011

Usrah Nukleus Tarbiah oleh Arni Nasir

Siri Usrah/Tazkirah

Tulisan ini cuma secubit pengalaman Kak Ngah ketika mengendalikan usrah di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS). Kak Ngah ialah bekas Timbalan Exco Biro Usrah sesi 1999/2000 Badan Dakwah dan Rohani (BADAR). Ketika di tingkatan empat dan enam rendah, Kak Ngah hanya anak usrah. Ketika di tingkatan lima dan enam atas, Kak Ngah menjadi naqibah dan anak usrah.

Usrah merupakan medium tarbiah yang sangat penting di KISAS. Usrah melengkapi biro lain seperti tamrin, ceramah, penerbitan dan ekonomi.

Institusi usrah dikenali sebagai nukleus tarbiah. Hal ini demikian kerana dalam sistem sel, nukleus memainkan peranan sebagai penggerak utama bagi menjana tugas sel yang lain. Begitu jugalah halnya dengan usrah. Usrah menjana kefahaman mad'u dan naqib/naqibah tentang Islam, tugas sebagai penganut Islam dan sebagainya.

Persediaan sebelum mengendalikan usrah rumit. Bakal naqib/naqibah dipilih dengan menggunakan borang taaruf, temu bual dan lain-lain. Kemudian mereka mengikuti satu simposium. Simposium itu sebenarnya ialah program ala tamrin dan diadakan pada hujung tahun semasa pelajar berada di tingkatan empat dan enam rendah atau awal tahun semasa mereka berada di tingkatan lima atau enam atas.

Dalam simposium itu ada ceramah, bengkel, latihan dalam kumpulan (LDK) dan lain-lain. Bakal naqib/naqibah mendapat pendedahan tentang usrah, matlamat, cara pengendaliannya, motivasi dan pelbagai maklumat lain. Naqib/naqibah tingkatan lima akan mengetuai usrah tingkatan empat, naqib/naqibah tingkatan enam atas akan mengetuai usrah tingkatan lima dan enam rendah. Usrah tingkatan enam pula diketuai oleh exco dalam kalangan tingkatan enam juga. Exco muslimat tingkatan enam atas lazimnya menggerakkan tiga kumpulan usrah.

Nuqaba' dan naqibat bukan sekadar mengendalikan usrah. Mereka dikumpulkan dalam suatu jabatan dikenali sebagai Tanzim Jabatan Nuqaba'/Naqibat (TJN) di bawah Biro Usrah (BIUS). Jabatan ini menjadi medium untuk mereka menggerakkan tarbiah dengan lebih luas seperti tazkirah asar, liqo' akademik, riadah, rehlah, bacaan ma'thurat, bacaan surah al-Mulk dan lain-lain. Dengan kata lain, TJN menjadi tulang belakang BADAR untuk menggerakkan pelbagai program tarbiah di sekolah dan asrama.

Agar pemahaman tentang Islam setara antara muslimin dengan muslimat, kami menggunakan silabus yang sama tetapi berlainan mengikut tingkatan. Selain rujukan utama al-Quran dan al-Sunnah, penulisan tokoh-tokoh Islam terkenal menjadi panduan kepada silabus ini.

Usrah bermula dengan tajuk aqidah, tauhid, syahadah, akhlak, sirah hinggalah kepada tajuk iltizam dengan jemaah dan negara Islam. Jemaah Islam tidak dikaitkan dengan mana-mana jemaah, sekadar diberi maklumat dan pengenalan. Mad'u akan melakukan penilaian sendiri. Silabus itu dikemas kini dari semasa ke semasa.

Naqib/naqibah berusaha untuk menjadikan usrah benar-benar sebagai satu keluarga. Penambahan seperti perbincangan isu semasa, munaqasyah akademik, riadah, makan-makan, permainan, ziarah dan lain-lain amat digalakkan. Namun aktiviti-aktiviti itu bergantung pada kesempatan masa yang ada kerana waktu amat terhad.

Untuk memantapkan lagi keyakinan diri dan thaqafah naqibah, kami mengadakan usrah naqibah bersama-sama guru penasihat BADAR, dua minggu sekali. Alhamdulillah, hubungan baik antara exco dengan guru dan naqibah menatijahkan program itu berjaya. Namun, pelaksanaannya pada tahun ini mungkin berbeza kerana sistem persekolahan KISAS sudah berubah. Cara pemilihan guru penasihat juga berubah.

Selaku orang yang bertanggungjawab mengendalikan biro usrah pada sesi tersebut, Kak Ngah tidaklah mengatakan usrah kami berjaya seratus peratus. Kejayaan lima puluh peratus pun mungkin belum sampai jika dibandingkan dengan usrah yang digariskan oleh as-Syahid Imam Hassan al-Banna. Namun, dengan pelbagai pembaharuan yang dibuat, pada sesi tersebut BIUS dapat mencapai beberapa matlamat, antaranya:

1. Ponteng usrah, terutamanya usrah muslimat, minimum.
2. Pengisian dan kedatangan lebih teratur dan sistematik.
3. Bantun naqib/naqibah kepada BADAR lebih tersusun dan terancang.
4. Hubungan ahli usrah dengan naqib/naqibah lebih erat dan mantap berbanding dahulu.
5. Hubungan dengan guru, terutama guru penasihat, semakin erat.
6. Pemahaman mad'u tentang asas dan hakikat Islam lebih jelas, mudah diterima dan diamalkan.

Pencapaian ini bukanlah usaha BIUS semata-mata tetapi usaha semua pihak di Bumi Waqafan. Pun begitu terdapat juga kelemahan. Harapan kami pimpinan sesi akan datang dapat menjalankan usaha mereka dengan lebih baik dan dapat membaiki apa-apa kelemahan. Antara kelemahan yang dikenal pasti ialah:

1. Mad'u tidak prihatin dengan usrah.
2. Naqib/naqibah gagal berperanan sebagai pemudah cara.
3. Kekangan masa.
4. Pihak atasan kurang memberikan kerjasama.

Inilah sahaja perkara yang dapat Kak Ngah kongsikan. Kak Ngah yang daif ini cuba untuk memberikan sesuatu yang terbaik. Sebarang kedangkalan mohon kemaafan.

"Usrah: Manifestasi Medium Penghayatan Kesyumulan Islam pada Alaf Baru"

Nota Penyunting
Laporan ini disediakan oleh Kak Ngah untuk sesi 2001.

2 ulasan:

~aRniNaDrah~ berkata...

Sekadar perkongsian... sambungan penulisan (maaf, agak ringkas sahaja)

http://arninas.blogspot.com/2011/07/medium-usrah-dan-halaqah-di-uiam.html

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Terima kasih, puan. Tulisan terkini puan sudah saya ketengahkan di buku wajah saya. Wassalam.