29 Julai 2011

Pengisian Usrah di Maktab Perguruan

Siri Usrah/Tazkirah

1997, ahli usrah daerah, Ustaz Mohd Asri, menyampaikan taalim. Beliau merujuki buku Hadis Akhir Zaman karangan Ali al-Banjari. Syeikh, di manakah tuan sekarang?
Rakan seusrah saya hadir dalam satu bengkel penyelarasan tutorial dan usrah di Melaka pada awal tahun 1997. Dia membawa pulang bahan usrah. Bahan itu digunakan di semua maktab perguruan.

Bahan itu bertajuk "Usrah dan Pembangunan Insan" tulisan Muhamad Khailani Abdul Jalil, 1997. Inilah dokumen bertulis pertama tentang usrah untuk guru pelatih yang pernah saya lihat. Mungkin ada bahan lain tetapi saya tidak berpeluang melihatnya. Hal ini demikian kerana saya ialah tenaga pengajar Jabatan Pengajian Melayu.

Bahan itu ialah edisi cetak Power Point. Saya menyusun tajuk dan subtajuk bahan itu seperti yang di bawah. Susunan ini dapat kita namakan sukatan usrah maktab perguruan tahun 1997.

1. Usrah: Definisi, Tujuan, Rukun dan Kesan

2. Rukun Dakwah: Ilmu, Tarbiah, Jihb (1)

3. Pembangunan Insan: Maksud, Aspek, Pandangan Behaviorisme (Skinner dan Watson), Pandangan Psikoanalisis (Freud, Anne dan Erickson), Pandangan Humanisme (Maslow dan Carl Rogers)

4. Hakikat Insan: Dwidimensi (Rohani dan Jasmani), Berkecenderungan (sebagai Matlamat), Makhluk Termulia, Diberi Kebebasan Memilih, Setiap Diri Pemimpin, Ada Pertanggungjawaban, Mempunyai Potensi, Individualiti, dan Lain-lain

5. Pendidikan: Input, Proses, Output, Penekanan Pendidikan dalam Islam, Rumusan Falsafah Pendidikan Negara, Penekanan dalam Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Islam

6. Guru: Manusia Sabar, Pelaksana Disiplin, Penjana Motivasi Belajar, Penyelia dan Pengurus, Perancangan Pengajaran dan Pembelajaran, Pembimbing, Pemimpin, Pentadbir, Citra Guru Misali, Guru Perlu Ubah Mindset-Paradigma, Sifat yang Mesti Dimiliki

7. Isu Kemanusiaan dan Pembangunan Insan: Pembinaan Diri, Komunikasi, Kepuasan dan Kebajikan, Motivasi, Layanan Saksama, Keutamaan kepada Pelanggan, Budaya Ilmu, Budaya Ikram

8. Isu Pengurusan dan Kepimpinan: Wawasan Pendidikan, Lapan Agenda Pendidikan, Globalisasi, Internet, TQM dan ISO 9000, Zero Defect

9. Isu Disiplin Guru dan Pelajar: Guru sebagai Miskhah (2), Guru Sebagai Model, Sahsiah Terpuji, Petunjuk Masalah Sosial

10. Petua Pengurusan Sumber: Semua Ahli Faham Matlamat Organisasi, Kenali Ahli Pasukan, Gerakkan Individu Bekerja dan Menyumbang, Kerjasama-Kolaborasi-Kekeluargaan, Penglibatan Komuniti dan Kerabat, Hayati Konsep Menunaikan Janji (Piagam Pelanggan), Bertawakal dan Yakin Boleh, Apabila Gagal Perlu Muhasabah, Kepuasan Pelanggan, Pengurusan dan Pentadbiran Berkesan, Komunikasi Mesra, Belajar Sepanjang Hayat

Butiran tiga subtajuk di bawah tajuk keenam adalah seperti yang berikut:

Citra Guru Misali: Mengakui peranan dan tanggungjawab, menyubur idealisme, mempertingkatkan ilmu, mempertingkatkan kemahiran, mempertingkatkan kewibawaan, mempertingkatkan penglibatan, mengangkat martabat.

Guru Perlu Ubah Mindset-Paradigma: Daripada menerima kepada mencipta dan mencari, daripada ketaatan kepada komitmen, daripada individu kepada perkongsian, daripada rutin kepada inovatif dan kreatif, daripada reaktif kepada proaktif, daripada pasif kepada progresif, mendidik dan menjayakan peningkatan diri murid (dari segi akal, jasad, rohani, nafsu, hati), peribadi mulia, generasi Rabbani, istiqamah, menunaikan amanah, hamba dan khalifah.

Sifat yang Mesti Dimiliki: Zuhud, kebersihan diri, halim (lemah lembut, sopan santun, sabar), keikhlasan dalam bekerja, menjaga kehebatan dan kehormatan diri, rasa diri sebagai bapa, memahami tabiat murid, kemampuan dalam keilmuan.

***
Nota ini berupa pemurnian nota lama. Sayang, bahan usrah itu tiada dalam simpanan saya. Saya tidak dapat merujukinya. Saya tidak pasti sama ada perkataan jihb (jihad?) dan miskhah itu betul atau salah. Saya tidak memahami maksud kedua-dua perkataan ini. Saya mohon ustaz/ustazah dan rakan-rakan yang memahaminya agar memberikan penjelasan.

Saya mohon ustaz/ustazah dan rakan yang berkaitan agar sudi menjelaskan persoalan saya: (1) Usrah yang diseragamkan di semua institut pendidikan guru (IPG) masih ada pada tahun 2008 hingga kini? (2) Jikalau jawapannya tidak, adakah usrah biasa masih terdapat di IPG? (3) Jikalau jawapan soalan kedua ialah ya, apakah pengisiannya?

Saya berharap ada rakan buku wajah saya pernah mengikuti usrah yang menggunakan sukatan ini pada tahun 1997 atau/dan 1998. Saya berharap mereka sudi memberikan penjelasan ringkas dalam ruangan ulasan.

Tambahan Kamus Dewan menyatakan tutorial ialah kelas perbincangan yang diadakan dengan bimbingan seorang tutor. Saya mengalami perkara ini semasa menjadi mahasiswa universiti pada pertengahan tahun 70-an. Semasa saya bertugas di maktab perguruan, tutorial ialah sesi pertemuan pensyarah dengan sekumpulan pelajar untuk menyelesaikan pelbagai perkara pentadbiran dan peribadi.
Petikan “Berita Usrah” Badan Kebajikan Pensyarah MPKS, 1998. Klik citra untuk membaca kandungannya.

Tiada ulasan: