28 Julai 2011

Pengisian, Kurikulum, Silabus atau Manhaj?


Siri Usrah/Tazkirah

1994, ahli usrah dengan rakan-rakan selepas solat sunat hari raya.
"Apakah perkara yang patut kami bincang dalam usrah, cikgu?"

Sudah berkali-kali saya menerima pertanyaan begini dan yang semaksud dengannya. Mereka yang paling kerap bertanya ialah para pelajar yang ingin memulakan kumpulan usrah. Pertanyaan yang serupa pernah juga diajukan kepada saya oleh para pemuda kampung yang bercadang membentuk kumpulan usrah sendiri.

Selain itu, beberapa orang ustaz dan ustazah muda lepasan maktab pernah mengemukakan pertanyaan yang seakan-akan sama apabila mereka terpilih menjadi naqib/naqibah. Bahkan ada juga ustaz lulusan universiti meminta pandangan saya tentang hal ini apabila mereka dilantik menjadi naqib.

Saya mempunyai rekod yang baik dari segi kegagalan menjawab pertanyaan itu. Cuma sekali dua sahaja saya berjaya memberi jawapan tanpa bertangguh. Antaranya, saya berkata, "Gunakan buku itu, buku ini."

Lazimnya saya bertanya semula lebih kurang begini, "Saudara sudah memahami maksud, tujuan dan tatacara usrah?"

Oleh sebab jawapan yang saya terima semuanya "tidak", saya menawarkan diri untuk memberi sedikit taklimat kepada penanya. Sebahagian besar penanya sudi mendengar panduan saya. Mereka itu akhirnya bersama-sama dengan saya dalam usrah kali pertama.

Dalam usrah itu saya meminta mereka mengadakan taaruf ringkas. Kemudian saya berikan taklimat tentang maksud, tujuan dan tatacara usrah. Seterusnya saya terangkan komponen umum pengisian usrah. Akhirnya kumpulan itu sendiri menentukan pengisian untuk kumpulan mereka.

Umumnya pengisian itu digubal dalam usrah kali kedua setelah mereka melakukan sedikit tinjauan tentang beberapa perkara. Sudah tentu pengisian yang dipilih itu menepati maksud usrah. Sudah tentu pengisian yang mereka gubal itu dijangka berupaya mencapai tujuan usrah. Sudah tentu pula pengisian itu sesuai dengan keperluan kumpulan itu sendiri. Peluang dan kendalanya mereka lebih maklum.

Dari segi istilah, selain pengisian, ada rakan menggunakan istilah kurikulum. Kurikulum ialah dokumen yang mengandungi bidang dan isi kandungan sesuatu mata pelajaran di sekolah atau institusi pengajian. Kurikulum digubal oleh satu lembaga. Lembaga itu menguatkuasakannya, memantau pelaksanaannya dan menjadikannya sebagai rujukan untuk menentukan kesahan penilaian.

Ada juga rakan menggunakan istilah silabus. Perkataan ini sebau dengan kurikulum. Sinonim silabus ialah sukatan pelajaran. Biasanya sukatan pelajaran dilaksanakan di sekolah. Di sekolah ada guru dan ada murid. Konotasi ini memungkinkan naqib berfungsi guru yang melaksanakan sukatan pelajaran dan anak usrah berperanan sebagai murid. Adakah pendekatan ini yang kita dukung? Sudah tentu jawapannya tidak.

Jadi, istilah apakah yang sesuai? Saya dan kebanyakan rakan menggunakan istilah pengisian. Kami tidak menolak penggunaan istilah manhaj yang semaksud dengan pengisian atau kandungan. Cuma istilah manhaj sesuai untuk usrah organisasi. Istilah pengisian pula sesuai untuk usrah umum, khususnya di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Walau bagaimanapun, pada tahun 1997 Bahagian Pendidikan Guru menyediakan sukatan usrah. Semua maktab dikehendaki melaksanakan sukatan itu. Rumusannya, istilah pengisian dan sukatan pernah dan boleh terus digunakan di sekolah dan di institusi pengajian tinggi.

Tiada ulasan: