Kita pendatang pasti pulang
pagi, tengah hari atau petang
rahat bermula ketika senja di ambang.
Kepulangan kita atas takdir Ilahi
tanpa amaran tiada tetuang berbunyi
setiap yang bernyawa pasti merasai.
Ada bayi mendahului umi
pemuda pemudi mendahului aki
rakan empat puluhan pulang dahulu
pesara pesakit termangu menunggu.
Penghuni dunia pendatang semuanya
raja, penguasa, rakyat marheannya
sesudah meninggalkan negeri fana
menghadiri majlis timbang terima.
Ingatlah diri dan sekalian pendatang
kita pulang sehelai sepinggang
tanpa corak, tenunannya pun jarang
ke taman nisan diusung orang.
Ingatlah diri pendatang mulia
firman Allah tentang dunia
harta dan pangkat kebesaran kita
ialah kesenangan yang memperdaya.
Mohd Isa Abd Razak
Port Dickson
5 Ramadan 1432 (5 Ogos 2011)
Nota kaki Tafsir Pimpinan Al-Rahman (1988): Oleh sebab itu usahlah dilalaikan dan diperdayakan oleh kesenangan dunia dan kemewahannya. Sebaliknya, gunakan semuanya itu untuk amal kebajikan bagi mencapai kesenangan dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan