06 Ogos 2011

Aku Kaya dan Gembira

Masih Tersenyum
 
Aku menunaikan solat ba'diah Jumaat di hadapan papan notis. Sebaik-baik aku memberi salam kedua, sejadah ditarik. Seorang petugas asyik menarik-narik dan menggulung sejadah yang bersambung-sambung. Aku berdiri tanpa berdoa.

Aku membaca iklan umrah pada papan notis. Kemudian kutatap beberapa keping gambar pembinaan masjid. Di sisi gambar-gambar itu ada carta kemajuan pembinaan. Carta itu menunjukkan peratus kemajuan pembinaannya melebihi jangkaan.

Aku menuju ke tangga. Di sana terdapat tiga pasang selipar. Aku yakin selipar itu ada pemiliknya. Selipar burukku tidak kelihatan. Aku berkaki ayam ke kereta.

Haba lapangan bersimen dari tangga ke pintu pagar mencubit. Tapak kakiku kepanasan sedikit. Haba jalan selepas pintu pagar pula menggigit. Tapak kakiku kehangatan dan sakit. Sesekali aku menjingkit-jingkit.

Aku menyelesaikan perjalanan di atas jalan yang tarnya pudar. Kemudian aku melalui jalan yang baru diturap minggu lalu. Tapak kakiku pedih dan perit apabila memijak tarnya yang hitam itu. Mujurlah jalan yang terlalu banyak menyimpan haba itu tujuh meter sahaja dari keretaku.

Aku memandu pulang dengan rasa girang. Aku lega kerana berjaya menghadapi ujian kecil daripada-Nya. Kira-kira pukul dua pagi tadi aku berjaya menghadapi ujian istimewa. Pertama kali dalam usiaku yang hampir enam dekad, rumahku dimasuki pencuri.

Alhamdulillah, si pencuri menyerah diri. Sejam sebelum waktu imsak, kes itu selesai di hadapan dua orang pak polisi dan ayah si pencuri.

Kehilangan selipar kali ini perkara kecil berbanding dengan pengalaman lewat pagi tadi dan yang terdahulu. Antara pengalaman yang masih kekal dalam ingatanku termasuklah kehilangan kasut di Masjid Negara pada akhir tahun tujuh puluhan. Kasut yang hilang itu kekal sebagai kasut berjenama termahal yang pernah kumiliki.

Selipar yang hilang tadi buruk dan sudah berlubang. Aku masih mempunyai sepasang selipar dan dua pasang sandal. Aku mempunyai sepasang sepatu kulit berjenama berwarna hitam. Aku memiliki sepasang sepatu kulit lagi yang terbuka di bahagian tumitnya. Aku juga memiliki sepasang kasut sukan yang masih baharu.

Penyarung selipar burukku itu hanyalah alatan ujian-Nya. Dia mengingatkan aku bahawa aku masih kaya dengan selipar, sandal dan sepatu. Satu lagi, mustahil pencuri masuk ke rumah orang yang papa kedana. Jadi, aku kaya. Aku gembira menerima ujian-Nya.

5 Ramadan 1432
5 Ogos 2011

Tiada ulasan: