Saya mendapati ada media elektronik menggunakan istilah “Hari Raya Aidilfitri” untuk merujuki 1 Syawal sahaja. Selepas 1 Syawal, media itu menggunakan istilah “2 Syawal”, “3 Syawal” dan seterusnya. Media itu tidak menggunakan ungkapan “hari raya kedua”, “hari raya ketiga” dan seterusnya.
Perlakuan media itu bertepatan dengan pandangan seorang rakan saya yang bergelar ustaz dan mengajarkan bahasa Arab di sebuah institut pendidikan guru. Menurut rakan saya itu, Hari Raya Aidilfitri sehari sahaja, iaitu pada 1 Syawal. Hari-hari dalam bulan Syawal selepas itu dinamakan hari pertama selepas Aidilfitri (2 Syawal), hari kedua selepas Aidilfitri (3 Syawal) dan seterusnya. Menurutnya, pencinta ilmu tidak wajar menggunakan ungkapan “hari raya kedua”, “hari raya ketiga” dan seterusnya.
Walau bagaimanapun, ustaz itu dan seorang lagi rakan saya yang bergelar ustaz juga menggalakkan aktiviti kunjung-mengunjungi sanak saudara dan rakan taulan pada hari pertama dan hari-hari seterusnya selepas Aidilfitri. Yang mahu diubah oleh mereka hanyalah penggunaan ungkapan “hari raya kedua”, “hari raya ketiga” dan seterusnya. Usaha mereka bolehlah dikatakan “mendapat sokongan” media elektronik yang berkenaan.
Namun, apabila diteliti saya dapati pihak media itu lupa bahawa kiraan hari dalam Islam bermula apabila terbenamnya matahari di ufuk barat. Aidilfitri bermula selepas maghrib, iaitu selepas pihak yang berkuasa mengumumkan tarikh Aidilfitri itu secara rasmi. Malam itu, sejak maghrib hingga ke subuh, ialah malam 1 Syawal.
Saya dapati media itu seolah-olah menganggap malam 1 Syawal itu sebagai malam 0 Syawal. Jadi, malam yang berikutnya barulah dikatakan malam 1 Syawal sedangkan malam itu sebenarnya ialah malam 2 Syawal. Pada fahaman saya, tiada malam 0 Syawal. Walau bagaimanapun, saya bersedia menerima pandangan daripada rakan yang arif tentang perkara ini.
Mudah-mudahan nota ini membantu kita agar menggunakan istilah (agama) yang berkenaan, dan istilah yang lain seperti malam Jumaat, dengan betul.
1 ulasan:
Tiada hari raya kedua. 2 Syawal sudah disunatkan untuk puasa enam
Catat Ulasan