17 Februari 2012

Audit Bahasa Melayu oleh DBP

Penyediaan garis panduan audit memang memerlukan kemahiran. Saya yakin para petugas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memiliki kemahiran yang berkenaan. Hal ini dikatakan demikian kerana DBP sudah biasa dengan sistem pengurusan mutu yang dikenali dengan nama samaran ISO, iaitu nama asal International Organisation for Standardization.

Sebagai organisasi yang memiliki sijil Malaysian Standard (MS) ISO dan sudah menerima berbagai-bagai anugerah kualiti, para petugas DBP pasti mampu menghasilkan garis panduan itu. Cuma, masa yang diberikan mungkin singkat. Namun saya yakin para petugas DBP yang berkemahiran, berpengalaman dan beriltizam itu mampu menyiapkan garis panduan yang berkenaan agar dapat dikemukakan kepada kerajaan pada bulan Jun 2012 sebagaimana yang dirancangkan.

Rasanya penyediaan garis panduan itu melibatkan pakar dari luar DBP. Antara pihak yang mungkin sedang bertungkus-lumus bersama-sama dengan para petugas DBP untuk menyiapkannya termasuklah pegawai-pegawai Standards and Industrial Research Institute of Malaysia (Institut Penyelidikan Piawaian dan Perindustrian Malaysia, SIRIM) dan Malaysian Administration and Manpower Planning Unit (MAMPU). Jikalau mereka tidak termasuk dalam kumpulan yang menyediakan draf, rasanya mereka akan terlibat dalam sesi penyemakan dan pemurnian.

Saya menjangka kerajaan memerlukan masa untuk menyemak draf itu. Seterusnya, DBP dan pihak yang berkaitan memerlukan masa pula untuk sesi pemurnian dan pemantapan. Hal itu diikuti dengan beberapa urusan lain, termasuklah latihan untuk juruaudit. Saya berharap persediaan berprosedur dan bertahap-tahap itu berjalan dengan lancar. Saya yakin, perancangan yang sempurna dan pelaksanaan yang teliti dan bersungguh-sungguh akan menatijahkan kejayaan yang diharap-harapkan.

Saya menunggu usaha baik itu menjadi kenyataan biarpun hanya bermula pada awal tahun 2013. Organisasi terawal yang wajar dikunjungi oleh pasukan audit bahasa itu termasuklah media massa. Sesudah mengaudit jabatan kerajaan, saya berharap pasukan audit itu mengaudit pihak swasta pula. Pihak swasta yang wajar didahulukan dalam jadual pengauditan itu ialah media cetak dan media elektronik.

Usaha pengauditan bahasa itu hendaklah diteruskan dan diperluas. Apabila tiba masanya, wadah maya baik dimasukkan dalam jadual pengauditan. Laman dan akhbar digital yang berpengaruh dapat dijadikan sasaran. Selain itu, blog dan kumpulan Facebook tertentu juga wajar dimasukkan dalam jadual pengauditan. Blog penulis terkemuka dan negarawan, dan kumpulan Facebook yang membincangkan hal bahasa elok didahulukan.

Saya berdoa agar usaha itu berjaya. Saya akan tumpang gembira apabila martabat bahasa kebangsaan kita menyerlah natijah aktiviti pengauditan itu dan aktiviti-aktiviti yang lain, khususnya di bawah pengawasan Ketua Pengarah DBP yang baharu, yang saya kenali sebagai Kembara Bahasa.

Lampiran
DBP Audit Bahasa Melayu
Oleh Matzidi Dris, Berita Harian, 16 Februari 2012

Garis panduan hampir siap, kemuka kepada kerajaan Jun.

PETRA JAYA: Masih ada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan tidak menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam dokumen urusan rasmi masing-masing, sebaliknya menggunakan bahasa Inggeris, termasuk dalam surat pekeliling dan minit mesyuarat bulanan.

*Sehubungan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengaudit penggunaan bahasa Melayu dalam semua dokumen rasmi kerajaan bagi mengenal pasti tahap penggunaan bahasa kebangsaan itu setakat ini.

Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan, berkata *ia berlaku kerana ada pegawai atasan dan penjawat awam tidak memahami atau terlepas pandang Dasar Bahasa Kebangsaan yang turut disokong Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Katanya, setakat ini ada beberapa kementerian, jabatan dan agensi kerajaan mencapai tahap 80 hingga 90 peratus penggunaan bahasa Melayu dalam semua dokumen rasmi.

"*Pada masa sama, masih ada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan tidak menggunakan bahasa Melayu dalam beberapa dokumennya, iaitu surat pekeliling dan laporan tahunan.

"Cara terbaik meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor awam *adalah mengadakan audit bahasa dari semasa ke semasa," katanya selepas menyampaikan *ucaptama Dasar Bahasa Kebangsaan: Tuntutan Iltizam Kepada Seluruh Warga Negara, di DBP Cawangan Sarawak, di sini semalam.

*Ia dianjurkan DBP Cawangan Sarawak dan Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) sempena Hari Pejuang Bahasa 152 Peringkat Negeri Sarawak 2012.

Awang berkata, mungkin ada pihak yang ketawa dengan langkah itu, tetapi DBP beriltizam melaksanakannya kerana ia bukan satu kesalahan, malah dapat meningkatkan penggunaan bahasa Melayu *di kalangan penjawat awam di negara ini.

Katanya, cara kerajaan *memperbaiki pencapaian dalam pengurusan dan pentadbiran *adalah menerusi proses audit, termasuk aspek kewangan.

“Jadi, dalam penggunaan bahasa Melayu, wajar juga dilaksanakan audit. DBP kini dalam peringkat akhir menyediakan garis panduan untuk digunakan dalam audit berkenaan dan jika semua berjalan lancar, garis panduan itu akan dikemukakan kepada kerajaan Jun ini,” katanya.

Tiada ulasan: