26 Februari 2012

Kejar, Iman; Kejar!


Tidak berapa lama dahulu Nenek PD berkata, “Sekarang Iman sudah besar. Dia duduk di kampung. Pagi-pagi lagi dia sudah mengejar ayam.”

Hari ini atuk bertanya nenek, “Iman masih mengejar ayam?”

Nenek menjawab, “Ya, tetapi bukan setiap pagi lagi.”

Ya, kini Iman mengejar ayam sekali-sekala sahaja. Sebabnya, sekarang iman sudah ada adik. Tentu pagi-pagi lagi Iman sudah duduk berhampiran dengan adik. Nah, itulah, adakalanya Iman lupa untuk mengejar ayam.

Atuk harap ayah dan ibu Iman tidak melarang Iman mengejar ayam. Atuk harap Atuk KB, Nenek KB dan sanak saudara Iman di Kampung Rosok, Kota Belud pun begitu. Lain halnya dengan Nenek PD. Jikalau dia nampak Iman mengejar ayam, pasti dia berkata, “Iman, jangan bubut ayam itu. Nanti Iman jatuh, Luka nanti.” Sebaliknya, jikalau atuk pula nampak Iman mengejar ayam di kampung, atuk akan berkata, “Kejar, Iman. Kejar!”

Ada satu kisah budak dengan ayam. Pada suatu hari, seorang budak lelaki berjaya menangkap seekor ayam dara. Ayam itu berkeok-keok sambil mengepak-ngepakkan sayapnya. Beberapa helai bulu pahatnya berterbangan. Ada antara bulu pahat itu bergesel dengan hidung, mata dan bahagian lain badan budak itu. Sehelai bulu yang halus hinggap di bibirnya. Dia segera menguis bulu itu dengan jari telunjuk tangan kirinya. Perbuatannya itu menyebabkan kekukuhan cengkaman tangan kanannya pada kaki ayam itu berkurangan. Ayam dara itu mengeok-ngeok lagi, menggelupur lebih kuat, berjaya melepaskan diri daripada cengkaman si budak dan terus berlari macam lipas kudung menuju ke dalam semak. Si budak berteriak, “Emak!”

Apabila si emak menghampiri anaknya, budak itu menghulurkan tangan kanannya. Emaknya melihat ada setompok benda cair berwarna hitam kecoklatan di bahagian pergelangan tangan kanan si anak. Sambil menguis-nguis beberapa helai bulu ayam di kepala dan tengkuk anaknya, si emak berteriak kepada anak sulungnya, “Rahimah, bawakan air! Ayam sudah berakkan tangan budak ini ha.”

Cuba Iman teka, siapa budak itu? Iman kata, atuk? Ya, memang atuk.

Peristiwa itu berlaku pada awal tahun enam puluhan. Pada masa itu, kami, iaitu kedua-dua moyangmu, kakak tunggal atuk, atuk, dan dua orang adik atuk, tinggal di Kampung Jimah Baru. Kampung itu ialah Rancangan Kemajuan Tanah Negeri yang pertama di Negeri Sembilan dan dibuka secara rasmi pada 1 September 1960. Kami dan 92 keluarga yang lain digelar sebagai peneroka. Peneroka diperuntukkan tanah seluas dua ekar untuk dijadikan kebun dan tapak rumah. Peneroka memugar hutan itu secara bergotong-royong. Selain itu, setiap peneroka diperuntukkan enam ekar kebun getah yang sudah ditanam oleh pihak kontraktor. Peneroka meneruskan usaha menjaga kebun getah itu.

Pada awal tahun enam puluhan kebun getah masih belum mengeluarkan hasil. Oleh itu kerajaan Negeri Sembilan memberikan elaun sebanyak lima puluh ringgit sebulan kepada setiap keluarga. Elaun itu hanya cukup untuk membeli keperluan asas seperti beras, gula, minyak dan garam. Oleh itu usaha bercucuk tanam, memelihara ternakan dan mencari sumber makanan dari hutan dan sungai yang berhampiran sangat penting.

Ternakan terawal yang dipelihara oleh penduduk kampung ialah ayam dan itik. Moyangmu tidak memelihara itik kerana tanah kampung kami di lereng bukit. Pada peringkat awal kami hanya memelihara ayam. Beberapa tahun kemudian barulah kami memelihara kambing dan kemudiannya lembu.

Ayam yang kami ternak tidak banyak dan agak lambat membiak. Hal ini berlaku kerana lebih tiga suku kawasan kampung kami dikelilingi oleh hutan tebal. Hanya kurang suku kawasan kampung itu bersempadan dengan estet getah. Kawasan estet itu pula secara umumnya semak dan hutan payanya masih tebal. Persekitaran hutan tebal, belukar dan semak samun itu menjadi rumah binatang seperti ular, biawak, musang dan helang. Jadi, ayam kami kerap menjadi mangsa binatang-binatang itu. Telur ayam juga kerap dimakan oleh binatang seperti biawak.

Lebih separuh ayam ternakan itu kami jual kepada peraih yang datang ke kampung kami dengan menunggang basikal. Dia datang sebulan atau dua bulan sekali dan tetap datang beberapa hari sebelum Tahun Baharu Cina, permulaan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri. Moyang perempuan menggunakan wang hasil jualan ternakan itu untuk membeli pakaian, terutamanya pakaian sekolah atuk dan adik-adik atuk. Jikalau ada wang lebih, barulah moyang perempuan membeli bahan mentah untuk makanan.

Atuklah yang paling kerap menjadi tukang tangkap ayam. Atuk menjadi ketua. Moyang perempuan, kakak dan adik-adik atuk menjadi pembantu. Moyang lelaki menjadi pemerhati sahaja.

Adakalanya peraih datang terlalu awal, iaitu ketika ayam masih berada di dalam reban. Pada peringkat awalnya moyang perempuanlah yang masuk ke dalam reban untuk menangkap ayam. Lama kelamaan tugas itu diserahkan kepada atuk. Atuk berasa seronok berada di dalam reban bersama-sama ayam yang berterbangan dan riuh-rendah mengeok. Bulu pahat ayam-ayam itu bercempera. Kumuh ayam di lantai dan pada kayu tempat ayam bertenggek menusuk deria bau atuk. Apabila atuk keluar dari reban, banyak bulu pahat ayam melekat pada badan, terutamanya pada rambut atuk. Kumuh ayam melekat juga di sana sini.

Usaha untuk menangkap ayam tidaklah berapa sukar. Moyang perempuan memanggil ayam dengan teriakan “kur, kur, kur”. Jikalau ayam-ayam itu belum diberi makan, sekejap sahaja ayam-ayam itu sudah mengerumuni moyang. Moyang menaburkan makanan. Atuk menjadi tukang tangkap. Ayam pertama mudah ditangkap. Usaha untuk menangkap ayam kedua mulai sukar. Usaha untuk menangkap ayam seterusnya semakin sukar. Moyang kata, ayam sudah bebar. Atuk ditugaskan untuk mengejar dan menangkap ayam yang sudah dikenal pasti tetapi sudah melarikan diri.

Usaha untuk menangkap ayam sukar setelah hampir tengah hari. Pada masa itu ayam sudah kenyang. Ayam perlu ditangkap untuk dijual atau untuk disembelih dan dijadikan lauk apabila ada keluarga dari jauh mengunjungi kami. Jadi kami membentuk pasukan penangkap ayam. Atuk jadi ketua. Moyang perempuan menjadi pembantu nombor satu. Dua orang adik atuk menjadi pembantu yang kurang aktif. Moyang lelaki tetap menjadi pemerhati.

Iman, atuk berasa seronok mengejar dan menangkap ayam. Apabila moyang perempuan memuji atuk, hidung atuk kembang-kempis. Apabila atuk mendapat pujian keluarga yang datang berkunjung, bukan sekadar hidung atuk kembang-kempis, bahkan atuk akan menyengih megah. Jadi, jikalau atuk nampak Iman mengejar ayam, atuk hendak berkata, “Kejar, Iman; kejar!” Apabila Iman dapat menangkap ayam, atuk akan berkata, “Bagus, Iman. Ini barulah budak lelaki.” Atuk yakin hidung Iman juga akan kembang-kempis.

Katakanlah Iman terjatuh dan luka. Atuk menjangka Nenek PD akan memanggil Mak Su. Mungkin Nenek PD berkata begini, “Syahirah, ambilkan plaster! Bawa minyak gamat sekali!” Atuk pula akan melihat luka Iman. Atuk mungkin berkata, “Eh, sedikit sangat luka Iman. Jauh pula dari perut!” Atuk ketawa-ketawa sambil mencucuk-cucuk perut Iman.

Iman beruntung kerana duduk di kampung. Iman boleh memanjat pokok, Iman boleh berenang di sungai dan Iman boleh mengejar ayam. Budak lelaki mesti lasak. Budak lelaki mesti bersemangat. Budak lelaki mesti berani. Setakat mengejar ayam, itu biasa sahaja. Jadi, tidak mungkin atuk melarang Iman mengejar ayam. Sebaliknya, atuk akan memberikan galakan dengan berkata, “Kejar, Iman; kejar!”

Port Dickson (PD)
26 Februari 2012

Tiada ulasan: