Selamat bermuzakarah kita ucapkan kepada para peserta Muzakarah Bahasa dan Persuratan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 17 dan 18 Mac nanti. Kita yakin ahli bahasa, sasterawan, sarjana, budayawan, cendekiawan dan pengamal media yang menyertai muzakarah itu mampu melahirkan pendapat yang bernas.
Kita berharap dapatan dan rumusan muzakarah itu akan menjadi pegangan pengguna bahasa Melayu, khususnya para peserta dan organisasi mereka. Pegangan itu pula hendaklah dijelmakan dalam semua aktiviti yang menggunakan bahasa. Muzakarah, dapatan dan pegangan tanpa tindakan atau amalan samalah seperti kita menjaring angin.
Seterusnya, sesudah muzakarah akan menonjol kumpulan contoh dalam kalangan ahli bahasa, sasterawan, sarjana, budayawan, cendekiawan dan pengamal media itu. Kumpulan contoh terunggul tentulah karyawan DBP sendiri. Pada masa lalu dan kini memang ada kumpulan contoh tetapi kurang menonjol atau “kurang merakyat” kata orang alaf ini.
Kini seorang hamba-Nya yang khudu menerajui DBP. Beliau pohon yang rendang tempat kita bernaung, dahan yang kukuh tempat kita berpaut, ilmuwan yang tawaduk tempat kita merujuk. Insya-Allah, sesudah bermuzakarah, kita akan bersama-sama dengan hamba Allah itu bagi mendukung dan menebarkan haruman bahasa kita di bumi tercinta ini khususnya dan di mayapada umumnya.
Wallahuaklam. Wassalam.
Lampiran
DBP anjur Muzakarah Bahasa dan Persuratan 17 - 18 Mac
BERNAMA, 20 Februari 2012
KUALA LUMPUR — Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan Muzakarah Bahasa dan Persuratan dengan tujuan memperkasakan dasar-dasar negara khusus dari segi bahasa dengan menjadikan khazanah persuratan ilmu sebagai satu agenda negara yang besar.
Ketua Pengarahnya, Dr. Awang Sariyan berkata, muzakarah tersebut akan diadakan pada 17 dan 18 Mac ini dengan *mensasarkan penyertaan enam kelompok yang dianggap sebagai pemegang kepentingan dalam soal bahasa, sastera dan ilmu.
"Kelompok yang kita sasarkan *adalah ahli bahasa, sastera, sarjana, budayawan, *cendiakawan dan media,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.
Katanya, muzakarah itu adalah bagi memantapkan dasar bahasa kebangsaan serta menjadikannya sama penting dengan dasar ekonomi, pertahanan, politik serta *pentabiran negara.
Beliau berkata, muzakarah itu diharap dapat menghasilkan resolusi, cetusan, pandangan serta cadangan untuk menambah baik segala program yang dirancang bagi memenuhi cita-cita dan falsafah negara.
Awang yakin DBP dapat meneruskan usaha dalam memperjuangkan bahasa Melayu melalui pendekatan yang lebih khusus dan penuh pengertian bagi memartabatkan bahasa itu.
Menurutnya, perkara paling penting pada muzakarah tersebut ialah pertemuan khas dengan kelompok sains dan teknologi bagi merancang *memperbanyakkan penerbitan dan pengeluaran serta terbitan-terbitan berkaitan bidang itu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan