13 Februari 2012

Kelantan Tiada Duit


Terlebih dahulu, jikalau ada sesiapa, khususnya orang Kelantan, berasa hati, saya mohon maaf. Secara khusus, saya mohon maaf kepada Ustaz Abdul Satar, Ustaz Muhd Rusli dan Ustaz Mohd Huzairi. Terima kasih pula saya ucapkan kepada Ustazah Zubaidah yang menyatakan bahawa catatan saya itu menunjukkan penceramah agama berkemampuan mengekalkan tumpuan perhatian hadirin hingga sanggup mengikuti sesuatu ceramah berjam-jam lamanya.

Catatan ini menjadi status Facebook saya kelmarin. Hari ini baru saya terbitkan catatan itu di sini.

Dalam kuliah subuhnya ustaz kami kerap mengadakan selingan yang menyebabkan kami tersenyum simpul. Baru-baru ini dia menyatakan bahawa negeri Kelantan tidak ada duit. Katanya, “Memang sukar untuk dipercayai tetapi itulah hakikatnya.”


Kami ternganga. Ustaz senyum-senyum. Mata beberapa orang rakan kami yang tadinya redup mulai segar. Ustaz berkata lagi, “Jikalau Kelantan tidak memiliki duit berjuta-juta kita percaya. Ini, jangankan ribu-ribu, satu pun tidak ada!”

Ustaz senyum melihat riak wajah kami: kehairanan, tertanya-tanya, senyum tidak puas dan sebagainya. Kemudian dia bersuara, “Itulah keadaan di Kelantan. Mereka tidak ada duit tetapi mereka ada ‘pitih’. Mereka tidak gunakan perkataan satu. Mereka kata ‘se’.”


Ustaz meneruskan kuliahnya. Saya teringat akan tulisan pendek Zizie. Menurut Zizie, ada penceramah agama menyatakan bahawa “orang Kelantan tidak sembahyang”. Provokasi penceramah itu menyebabkan hadirin bising macam langau. Penceramah segera memberikan penjelasan, “Orang Kelantan memang tidak sembahyang. Mereka ‘sembahye’.”

Setakat ini, hanya lapan orang rakan Facebook saya memberikan sambutan terhadap catatan ini. Ada dua sambutan mengandungi maklumat tambahan. Yang pertama, Ustaz Abdul Sattar dari Kota Bharu menyatakan, Tuhan orang Kelantan dan orang Terengganu lain-lain: Kelantan ‘Tuhe’, Terengganu ‘Tuhang’. Yang Kedua, Tuan Haji Sahumin dari Sabah menambah, “Lagi pung Klate dan Ghanu takde Islam sebab yang ada lain. Kelantan ‘Isleh’, Terengganu ‘Islang’.”

Saya berharap rakan-rakan tidak memperpanjang hal ini. Apabila berlebih-lebihan, saya khuatir hal ini yang asalnya berfungsi sebagai selingan yang menghiburkan akan bertukar menjadi lagha.

Apa-apa pun, saya sudah menyatakan pendirian bahawa saya tidak bertujuan mempersenda orang Kelantan. Sesungguhnya saya sayang akan orang Kelantan, terutama mereka yang menyayangi Menteri Besar negeri itu. Ustaz saya yang berkuliah subuh itu, Zizie dan saya juga menyayangi Menteri Besar Kelantan. Saya yakin, Ustazah Zubaidah, Ustaz Abdul Sattar dan Tuan Haji Sahumin juga sependirian dengan kami.

Tiada ulasan: