29 Februari 2012

Pernyataan Akhbar GMP 22 Oktober 2011

Bil. 3/2011, 31 Oktober 2011

GMP (Gerakan Memansuhkan PPSMI) yang dianggotai oleh 148 persatuan/kumpulan kerabatnya menyatakan terima kasih buat kesekian kalinya atas keprihatinan kerajaan mendengar rintihan kami yang mewakili rakyat terbanyak (yang diwakili oleh GMP) dengan menetapkan dasar bahasa yang baharu dalam pendidikan sekolah, iaitu memansuhkan PPSMI mulai 2011.

Baru dua tahun dasar baru ini berjalan kedengaran kembali golongan elitis yang amat minoriti dan memang penyokong PPSMI dahulu mendesak kerajaan mengubah dasar tersebut supaya mewujudkan kembali PPSMI sebagai pilihan rakyat kerana kononnya ramai rakyat mahu PPSMI diteruskan. Selain tinjauan pandangan awam oleh kumpulan minoriti itu, yang amat dipertikaikan kesahannya oleh GMP dan pelbagai pihak lain, pelbagai helah lain lagi diutarakan oleh kumpulan ini untuk mencapai hasrat menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama pembangunan pendidikan di negara ini (menggantikan bahasa Melayu, bahasa rasmi negara).

Memanglah golongan ini menolak bulat-bulat hakikat “bahasa jiwa bangsa”, bahkan “bahasa jiwa ilmu”, yang rata-rata sudah tidak dipertikai oleh semua ilmuwan di seluruh dunia, atau mereka menerimanya tetapi mahu jiwa rakyat Malaysia ini akhir seperti jiwanya sekarang: mengagungkan kebudayaan Inggeris sahaja.

Buat beberapa ketika, dengan pertolongan hebat daripada sebuah akhbar berbahasa Inggeris (sehingga kini pun), ternyata golongan elitis minoriti ini beroleh kekuatan baharu dalam perjuangan meluncurkan semula satelit baru budaya berbahasa Inggeris di negara ini, menerusi penghidupan kembali PPSMI. Namun baru-baru ini pemimpin kedua tertinggi Malaysia , YB Tan Sri Muhyiddin mengulangi keiltizaman kerajaan mengotakan janji pemansuhan PPSMI.

Lantaran GMP ingin merakamkan penghormatan yang setinggi-tingginya atas keberanian dan ketegasan luar biasa TPM kita, lebih-lebih lagi sebelum ini beliau dilaporkan mengalami tekanan yang memeningkan terhadap dasar bahasa yang didukunginya ini; sekali gus beliau dengan tepatnya mengingatkan mereka yang menuntut pengembalian PPSMI agar menghormati perlembagaan negara yang tidak membenarkan bahasa Inggeris menjadi bahasa penghantar mana-mana pelajaran di sekolah kebangsaan.

Oleh sebab kumpulan yang mahu mengembalikan PPSMI ini seolah-olah enggan menerima hakikat bahawa ketegasan YB TPM itu adalah ketegasan kerajaan juga, maka GMP merasakan sudah sampai masanya Perdana Menteri mencelah dengan menegaskan perkara yang sama.

Pada kesempatan ini GMP juga ingin mempertahankan kewarasan dan kebijaksanaan kerajaan memansuhkan PPSMI (kerana ada golongan yang malah mempersoalkan hal ini) dengan menyangkal satu persatu perkara yang dituntut oleh kumpulan ini yang kononnya lebih waras itu. Antaranya ialah perkara berikut:

(1) Hak asasi ibu-bapa memilih anaknya mendapat pendidikan dalam bahasa pengantar yang disukai, khususnya bahasa Inggeris. Ini sesuai dengan perakuan PBB yang memperakukan pendidikan dalam bahasa ibunda dan bahasa Inggeris adalah “bahasa ibunda” bagi segolongan penduduk negara ini.

GMP berpendapat tuntutan ini melanggar perlembagaan Malaysia seperti yang dinyatakan oleh YB Tan Sri TPM kita. Lagi pun konsep bilangan mereka yang berbahasa ibunda bahasa Inggeris di Malaysia ini amatlah sedikit. Hujah yang sama boleh digunakan untuk kerajaan mengizinkan puluhan sekolah dalam bahasa ibunda lain lagi!

(2) Pemansuhan PPSMI atau tidaknya patut dilakukan menerusi pungutan suara.

GMP berpendapat pungutan suara besar belanjanya, sama dengan pilihan raya dan mungkin sekali timbul masalah “Bersih” juga. Lebih baik jimatkan wang dengan hanya bergantung pada pilihan raya akan datang sahaja, dengan memastikan ada parti yang memasukkan “Kembali kepada PPSMI” dalam manifestonya. Walau bagaimanapun parti yang menang itu perlu menukar fasal bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan sebelum melaksanakan impian itu.

(3) Kezaliman terhadap pelajar yang sudah melalui PPSMI selama ini dengan memaksanya kepada aliran Melayu mulai 2012 ini.

Kenapa hal sebegini tidak dibangkitkan dengan penuh insafnya pada masa pelaksanaan PPSMI terhadap pelajar yang memang tidak faham/selesa dengan bahasa Inggeris? Bukankah pelajar yang berbahasa Inggeris di rumah pun dikatakan tiadalah masalahnya dengan bahasa Melayu (bahasa rasmi negara) sekurang-kurangnya berbanding dengan masalah berbahasa Inggeris bagi pelajar yang bahasa di rumahnya bahasa Melayu atau bahasa suku kaum rumpun Melayu, bahkan bahasa Tamil atau bahasa suku kaum Hindia dan Tionghua?

(4) Membazirkan biaya PPSMI sebanyak berjutaan/berbilionan itu dengan memansuhkannya begitu sahaja.

Tidaklah benar semuanya membazir. Yang paling banyak belanjanya, komputer riba, bilik makmal, dan kursus penataran guru. Semuanya ini tiadalah berubah dengan tiadanya PPSMI.

Selain “perkara baharu” di atas, pihak elitis minoriti yang mahu kerajaan menghidupkan kembali PPSMI itu memang bermain lagu-lagu lamanya dari bapa PPSMI itu seperti berikut:

(M1) Bahasa Inggeris penting kerana bahasa itu bahasa sains dan matematik (S & M) yang berkembang setiap hari; mustahil kita dapat menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu (BM).

Lagu ini sengaja tidak mahu membezakan kepentingan bahasa Inggeris (yang tiada siapa pun menolaknya) dengan keperluan mengajarkan ilmu menerusi bahasa penghantar berbahasa Inggeris; menyelewengkan fakta dengan menyamakan pendidikan sekolah dengan pendidikan peringkat universiti (pascaijazah), dan penyelewengan fakta isu penterjemahan yang bukan sahaja tidak begitu relevan dengan pendidikan S & M peringkat sekolah tetapi yang lebih penting lagi bagaimana sebenarnya hubungan penterjemahan dengan negara maju itu seperti seolah-olah negara maju itu bebas daripada penterjemahan.

(M2) PPSMI memastikan generasi hari ini mampu menguasai sains dan matematik lalu menjadi bangsa dan negara maju.

Ini pun berhujah dengan lari daripada masalah sebenar, iaitu adakah generasi impian itu akan tercapai menerusi PPSMI sedangkan data selama PPSMI menunjukkan sebaliknya, dan lebih ketara lagi daripada sekitar 40 buah negara maju itu hanya 3 buah negara (Afrika Selatan, Ireland dan Singapura) yang melaksanakan PPSMI.

(M3) PPSMI tidak membelakangkan bahasa Melayu.

Ini kedegilan menegak benang yang basah sahaja kerana ambil sahaja pembelajaran pelajar aliran sains tingkatan 4 dan 5; bahkan UPSR pun hanya 2 kertas peperiksaan sahaja dalam bahasa Melayu (kedua-duanya subjek Bahasa Melayu!) dan 3 lagi dalam bahasa Inggeris (Sains , Matematik dan Bahasa Inggeris).

(M4) Eropah pernah menjadi bahasa Arab sebagai bahasa pengantar ilmu bangsanya pada abad ke-15 M yang lalu kerana masa itu bahasa Arab adalah bahasa Ilmu S & M; jadi orang Eropah berlumba-lumba belajar bahasa Arab. Sekarang giliran bahasa Inggeris.

Ini benar-benar penyorokan fakta kerana tiada sebuah negara pun yang melakukan PPSMA (A=Arab) di Eropah kerana semuanya mewujudkan dasar menterjemah semua karya besar ilmu dalam bahasa Arab ke dalam bahasa Latin walaupun bahasa Latin belum menjadi bahasa ilmu (tetapi mulai abad ke-16 M hingga ke-18 M Latin melonjak menjadi bahasa ilmu mengalahkan bahasa Arab).

Kami sengaja memendekkan hujah balas ini kerana bagaimana dangkal, menyeleweng dan sewelnya hujah-hujah pro-PPSMI ini sudah diketengahkan oleh pelbagai pihak sepanjang terlaksananya PPSMI dahulu (Lihat buku “Mengapa Kami Bantah!” terbitan Persatuan Penterjemahan Malaysia, cetakan keduanya 2009) , dan oleh itu tidak perlu rasanya diulangi dengan panjang-panjangnya lagi di sini.

Pengerusi GMP
Dr. Shaharir bin Mohamad Zain
Fellow Akademi Sains Malaysia
(Mantan Profesor Matematik-Fizik UKM dan UMT)
Sumber: http://www.kesturi.net/archives/category/memorandum

Tiada ulasan: