27 Mac 2012

Kelihatan Seperti Gula Melaka


Atuk Iman nampak benda berbungkus dengan daun di atas meja. Daun yang digunakan mungkin daun nipah. Bentuknya seperti seruas buluh, persis bungkusan gula melaka. Bungkusannya kemas. Atuk Iman bertanya, "Apakah benda itu? Gula melaka?"

Nenek PD menjawab, "Bukan gula melaka. Belacan."

Baru Atuk Iman ingat bahawa Pak Ndak baru pulang dari Sabah. Atuk Iman ingat juga bahawa Nenek PD suka makan belacan Papar. Jadi, Atuk Iman bertanya lagi, "Belacan Tuaran atau Papar?"

"Belacan Bintulu."

"Ha? Bintulu?”

"Ya. Abang bawa.”

"Oh, banyaknya! Sedap agaknya. Setahun pun tidak habis dimakan. Kita beri seketul belacan itu kepada Mak Long, seketul untuk Mak Lang dan seketul lagi untuk Mak Da."

"Habis juga itu."

Ha ha ha. Tahulah Atuk Iman bahawa Nenek PD sangat menghargai pemberian menantunya.

Atuk Iman masih yakin Nenek PD tetap akan memberikan seketul belacan itu kepada Mak Long, seketul untuk Mak Lang dan seketul lagi untuk Mak Da. Atuk Iman rasa Nenek PD akan beritahu nama bandar tempat belacan itu dibeli, nama dan hubungan pembeli dengan dirinya dan orang yang membawa belacan itu ke Negeri Sembilan. Tentulah dia menyatakan hal-hal itu dengan rasa bangga!

Tiada ulasan: