29 April 2012

Cerpen: Batang


Oleh Isa Razak
Berita Minggu, 6 Mac 1977
(Edisi terkini)

TOLAK untaian itu sepertiga bahagian dengan siku kiri. Jari-jari tangan kanan bagi untaian yang sepertiga lagi kepada jari-jari tangan kiri. Cekup. Bakinya tetap dalam genggaman kanan. Membongkok sedikit. Seperti mengendap, mara ke hadapan perlahan-lahan. Kaki kuak-kuak semak paku dan semalu. Hati-hati agar tidak berlaku kegemparan.

Wan memerhati gerakan Leman. Tidak salah kata Pak Tam, bicara hatinya. Leman ahli. Gerakannya boleh dijadikan contoh. Apabila aku pandai nanti, aku boleh ke sini bersendirian.

Leman berdiri di tebing. Kepalanya tunduk dan bergerak-gerak perlahan. Dia mengamati air yang tenang. Lumpur di dasar sungai itu menyebabkan warna air kelihatan kekuningan kelabu. Air yang berada di bawah redupan matahari petang berbayang hitam. Kedalaman air ini mungkin separas dada. Jikalau Wan yang masuk ke dalam air ini, mungkin dia acup. Di sini minggu lalu, lima ekor sekali tebar. Tentu liku ini lubuknya.

Bengkokkan lutut. Badan condongkan sedikit ke belakang. Kemudian condongkan pula badan ke kiri. Bismillahirrahmanirrahim! Dengan pantas, hayun untaian ke belakang, angkat untaian itu ke udara dan humbankan ke hadapan. Sekarang jala membundar cantik beberapa saat di udara. Batu-batu unting bergeser, membenam ke dalam air, berderau.

Air memercik dan berkocak sampai ke tebing seberang. Kelicap di ranting nasi-nasi terkejut, mengepak dan hilang di balik pucuk-pucuk kelat.

Punggung Wan masih lekat di atas teras merbau yang separuh terbenam itu. Mata Wan masih legat melihat gerakan Leman. Otak Wan bekerja keras untuk mengingat gerakan itu. Dia berusaha mematerikan gerakan itu dalam ingatannya.

Leman menoleh ke belakang. Dia mengangguk-angguk seperti balam. Wan membalas anggukan Leman. Dia mencapai raga dan bangun. Rokok di bibirnya dihembuskannya ke tanah. Puntung rokok itu tergolek di celah rumput. Wan menujah-nujah puntung rokok itu dengan tumit kasutnya. Dia meniru gaya Leman: berhati-hati melangkah. Dia berdiri di sisi kanan Leman.

Dapatlah! Dapatlah! Hati Wan melonjak-lonjakkan permintaan. Dia terbayang ketik-ketik panjang menyepit benang dan badan pemilik ketik melengkung dalam jala. Tubuh yang berketik panjang itu kemudian berketuntang apabila dimasukkan ke dalam raga. Akhirnya pemilik ketik itu letih dan diam.

Apabila tiba di rumah nanti, Wan tidak perlu menjawab pertanyaan Fauziah. “Dapat, abah?” Unjukkan sahaja raga. Kamilah akan keluar dan tentu tidak bersungut, “Abah kau ini, gila. Mana-mana, memancing, menjala. Tidak boleh jumpa sungai. Kok dapat pula itu!” Wan tidak perlu menjawab seperti biasa, “Hobi. Hobi, yang! Belajar-belajarlah dahulu. Apabila pencen nanti, senang. Balik ke kampung, ada juga kerja!”

Leman membongkok. Dia menegangkan tali jala. Ada rasa berdenyut-denyut. Ha, itu dia! Mesti hati-hati. Tangan kirinya terus menarik tali itu perlahan-lahan, perlahan-lahan. Tangan kanannya bersedia untuk mengurut pucuk jala. Buih naik sebiji-sebiji, bulat dan pecah. Di sisi kanannya, Wan leka memerhati gerakannya.

Leman melepaskan tali jala semula. Tali itu mengendur. Leman membiarkan tali itu sejenak. Kemudian, dicekangnya lagi tali itu. Terasa berdenyut-denyut lagi. Terasa berat. Berat! Eh, berat benar! Mungkin jalaku tersangkut pada batang besar. Ya, agaknya.

Wan semakin merapati Leman. Dia bercadang untuk membantu rakannya itu. Dia terfikir pula bahawa gerakan itu hanya taktik Leman. Dia hendak bertanya, “Ada rasanya, Man?” Hatinya sendiri menjawab, “Pantang pula nanti.” Akhirnya dia tetap menunggu sambil mengibas-ngibas nyamuk yang berdengung di telinganya. Dia menampar nyamuk itu. Telinganya pedih.

Leman menghayun-hayun tali jala yang cekang itu ke kiri dan ke kanan. Bersiut-situ bunyi air apabila dihiris oleh tali itu jala itu. Buih yang timbul bertambah. Bau lumpur bongkar. Jala itu belum juga dapat dinaikkan. Mungkin besar batangnya, duga hati Leman.

“Selalunya tidak ada batang di sini, bang,” Leman bersuara.

“Sangkut?”

“Haah. Rasanya, dahulu tidak ada batang di sini.”

“Ada rasa?”

“Ada. Dahulu pun di sini lima ekor sekali naik. Di sana itu pun lubuknya.”

“Tarik-tarik, koyak pula nanti. Turunlah!”

Leman diam. Sambil berfikir, tangannya terus menghayun-hayun tali jala ke kiri dan ke kanan. Siutan air yang dihiris oleh tali berterusan. Buih semakin banyak mengapung bersama-sama sampah hitam. Bau lumpur berlegar-legar dan menyelinap ke dalam hidung Wan dan Leman.

Leman berasa bau lumpur yang masuk ke dalam hidungnya wangi macam bau bedak sejuk yang bertapuk-tapuk di muka Hasnah. Hasnah bertenggong di tangga. Dia menunggu Leman naik ke rumah untuk makan tengah hari. Perutnya bulat dalam baju kurung bintik-bintik hitam putih macam warna putih buih dan hitam sampah.

“Petang ini abang menjala.”

“Seorang?”

“Abang Wan ikut sama.”

“Abang Wan belum biasa ke sungai.”

“Biasa, tetapi dia belum pandai menebar. Itulah, dia hendak belajar.

“Esok sahajalah!”

“Eh, abang sudah berjanji. Marah pula abang Wan nanti. Lagipun, kini musim dia.”

“Yalah. Cakaplah dengan abang Wan dahulu. Mak Tam kata, Pak Tam hendak pergi juga esok. Pergilah dengan dia.”

“Abang Wang kata esok dia hendak ke pulau. Memancing. Dia sudah berjanji dengan Tuk Andak, katanya.”

“Lusa?”

“Kan kaukata hendak ke klinik? Kita pergi bersama-sama. Kita jual getah itu sekali. Barang-barang banyak yang hendak disiapkan.”

“Hari lain sahajalah!”

“Eh, abang Wan hendak balik tulat. Apa fasal pula kau ini?”

“Tidak ada apa-apa. Abang pergi ke lubuk itu lagi?”

“Ha. Lubuk dia tu!”

“Dalamkah, Man?”

Leman tersentak. Tangannya masih menghayun tali jala ke kiri dan ke kanan. Baru dia terhidu bau masam lumpur.

“Dalam. Lubuk, ini. Di tengah itu kurang sedikit,” Leman berkata sambil telunjuknya diarahkan kepada lubuk dan kemudian ke arah tengah sungai. “Kawasan di tebing sana dengkat nampaknya.”

“Turunlah, Man. Jikalau tidak, biar abang selam.”

Leman tidak menjawab. Dia terus berfikir. Jalanya tidak pernah tersangkut di lubuk ini. Mungkin ada orang memasang lukah. Mungkin lukah Pak Tam. Tebaranku tidak tepat? Di sudut itu memang ada kayu. Tetapi, ini lain rasanya. Hairan juga.

“Tidak usah. Biar saya sahaja turun. Abang pegang tali jala ini.”

Wan menyelitkan raga di celah pelepah pohon paku gajah. Leman mengurai cerutan tali di tangan kanannya. Wan mencapai tali itu apabila Leman menghulurkannya. Leman memerhati muka Wan. Wan tidak perasan kerana ketika itu dia merenung air yang keruh.

Tidak salah kata Pak Tam. Leman ahli. Daripada warna air sahaja dia sudah tahu dalam atau tidak.

“Abang pegang tali itu. Biarkan kendur.”

Leman mencangkung. Dia menekan kedua tapak tangan kematunya ke atas rumput. Hujung sarung parangnya yang tertumpu ke tanah dikuisnya ke belakang. Kemudian dia tunduk merenung air. Dia menyedut udara yang berbaur dengan bau masam lumpur.

“Buka baju, Man. Basah nanti.”

“Tidak mengapa.” Dengan bisik bismillahirrahmanirrahim, dia mencecahkan punggungnya ke tebing sambil menghayun kedua-dua kakinya ke hadapan. Terdengar bunyi deburan. Tubuhnya tenggelam ke dasar sungai. Tangannya menggapai-gapai untuk mengumpul bebenang jala. Batang?

“Abang pergi ke lubuk itu lagi?”

“Ha. Lubuk dia itu,”

“Pak Tam dah jumpa!

“Apa?”

“Benda itulah.”

“Ah, engkau ini! Bukan kita hendak cari dia.”

Leman meyakinkan dirinya: bukan aku hendak cari dia. Tangannya merayau-rayau, gementar juga. Kemudian dia terus ke bawah batang, mencari-cari bahagian jala yang tersangkut. Allah! Dia rupanya. Tangan kanannya tersorong betul-betul ke mulut batang besar berduri!

Tangannya terkacip sampai ke tulang. Apabila dia berkisar, tangannya serasa patah. Dia diseret ke tengah sungai bersama-sama jala yang berbelit-belit. Dia menggelepar. Pedih! Nafasnya sesak. Dia mencungap. Dia tertelan air berlumpur.

Wan terkejut. Tali jala ditarik ke tengah dan terlepas daripada genggamannya. Air bertambah keruh, membobok, hitam, membuak-buak. Wan bingung. Dia menggigil. Gedebuk-gedebak dadanya menjadi-jadi.

Kepala Leman timbul sekali di tengah sungai. Ekor tajam melibas air. Air keruh kehitam-hitaman bersampah membuak dan berombak memukul tebing. Angin petang sesekali bertiup kencang menebarkan bau lumpur masam.

Tiba-tiba Wan berasa badannya panas. Dia berpeluh dan terus menggeletar. Ingatannya berputar. Leman, Hasnah, Fauziah. Kamilah, Pak Tam, petua, jampi. Pak Tam, petua, petua! Wan mendapat kekuatan.

“Matanya, Man! Mata! Mata! Mata!”

Leman dalam air hempas pulas. Tangan kirinya memeluk kepala. Aduh! Dia melonjakkan badan dan naik ke atas batang berduri. Allah! Kakinya mengapit batang berduri. Allah! Tangannya terlalu pedih. Allah! Dia nampak Pak Tam dan teringat petua. Allah!

Leman menghimpun tenaga. Tangan kirinya masih bebas. Dia menggagau kepala lonjong berkulit keras berduri. Mata! Mata timbul. Cengkam! Tangan kiri Leman mencengkam mata timbul itu.

“Mata, Man! Mata! Ta! ...a!”

Tangan kiri leman mencengkam. Cengkam! Kukunya tidak panjang. Jari-jarinya tidak gagah. Cengkam! Cengkam! Aduh! Leman semakin lemah.

“Mata, Man! Mata!”

Wan berdiri, duduk; berdiri, duduk; tunduk, tegak, tunduk, tegak. Ekor tajam itu memukul air lagi. Ombak memukul tebing. Rumput-rumput beratib. Pucuk-pucuk paku tanjung mengangguk-angguk. Sampah bersepah, mengapung, hitam. Air kuning bercampur hitam, berbaur dengan darah merah Leman.

Air berlumpur berolak semakin hampir ke tebing seberang. Tubuh Leman diseret ke situ.

“Matanya, Man! Matanya!”

Bertindak! Bertindak! Wan kelam-kabut. Tubuhnya terus menggeletar. Otaknya ligat berputar. Mati? Sudah beberapa kali dia hampir mati. Dia hampir menemui mati sewaktu memotong lori di Bukit Mantin. Dia hampir mati apabila seekor kerbau tiba-tiba melintas pada suatu malam. Dia hampir mati apabila hilang kawalan di jalan licin selepas hujan. Tidak! Sebelum ajal berpantang mati.

Mata Wan buntang apabila terlihat kepala Leman timbul di tebing seberang. Leman masih hidup! “Matanya, Man! Matanya!” Wan semakin bersemangat dan terus menjerit. Dia nampak kepala dan dada Leman. Leman masih gagah. Dia pasti Leman ada ilmu. Namun Leman tenggelam semula dan gerakan itu kembali ke tengah sungai.

Hei, kau! Menjerit sahaja! Berteriak sahaja! Lihat Leman dibawa ke tengah lagi. Cepat kau! Cepat! Bantu! Terjun! Air di situ dengkat. Nanti tubuh Leman dibawa ke sini lagi.

Terjun. Berenang. Cepat! Lihat, kaki Leman terkacip. Mesti cekal. Bantu Leman. Cengkam mata yang membonjol itu. Leman terlepas. Tarik tubuh Leman masuk ke dalam belukar pokok kemunting. Tarikh lagi tubuh Leman sampai di bawah pokok kelat.

Aku mesti gagah. Biarkan raga terselit di pelepah pohon paku gajah. Biar kita pulang tanpa udang galah. Biar Kamilah marah. Aku mesti gagah memikul Leman yang lemah meredah belukar sebagai jalan pintas untuk ke rumah.

Wan nekad. Dia terjun ke dalam sungai. Dia menggunakan segala tenaga dan berenang ke arah Leman. Dia cuba menarik tubuh Leman.

“Abang Wan …!

Buaya melepaskan tangan kanan Leman yang hampir putus. Buaya menyondol Wan ke tebing tidak jauh dari raga. Air di lubuk itu berolak, berombak dan kemudian tenang.

Di tebing yang ditinggalkan, Leman terkapar. Dua cuba bersuara, “Abang Wan …!” tetapi tidak kedengaran. Dengan saki tenaga yang ada, dia menggunakan kekuatan kakinya untuk menolak lumpur dan menggelongsorkan belakangnya ke tebing berumput. Dia tidak berupaya menahan kesakitan. Penglihatannya kabur dan kemudian gelap. Dia tidak ingat apa-apa lagi apabila gelap malam menyelimuti tubuhnya dan menghitamkan warna merah darah. Malam semakin gelap.

Andang Pak Tam menyorot raga kosong yang terselit di pelepah pohon paku gajah. Telinga Pak Tam mendengar suara mengerang. Telinga Tuk Andak dan orang-orang kampung juga mendengar suara mengerang. Mereka diam. Kemudian andang mereka meliar mencari-cari seseorang. Tidak lama kemudian Pak Tam memecah kesunyian, “Di seberang! Kita menyeberang ikut baruh sana. Ada batang untuk meniti!”

Tamat.

Tiada ulasan: