01 Mei 2012

Belum Cukup Umur


Long Atan bertolak dari rumahnya pada pukul lapan tiga puluh minit pagi. Dia memandu van tuanya menuju ke Stesen Kereta Api Labu. Dia berasa lega apabila melihat ruang untuk meletakkan kenderaan di stesen itu masih boleh memuat lima atau enam buah kereta. Selepas mengenakan beg sandang dan mengunci vannya, dia berjalan terhencot-hencot ke bangunan stesen.

Menurut petugas kaunter tiket, Long Atan boleh terus ke Stesen Putera. “Umur pak cik berapa? tanyanya.

Setelah terdiam seketika, Long Atan menjawab, “Beberapa hari sahaja lagi umur saya genap enam puluh tahun.”

Petugas kaunter tiket bertanya lagi, “Pak cik hendak perjalanan sehala atau pergi balik?”

“Pergi balik. Tuan ingin tahu umur saya. Adakah saya layak mendapat separuh tambang?”

Telefon bimbit petugas kaunter itu berdering. Dia segera menjawab panggilan itu. Jadi, dia tidak menjawab pertanyaan Long Atan. Lebih kurang dua minit kemudian barulah dia menghulurkan tiket coklat-putih kepada pelanggan tunggalnya pada pagi itu. Long Atan menyambut tiket itu. Oleh sebab Long Atan tidak berkaca mata, dia tidak dapat membaca harga tambang yang tercetak pada tiket itu. Dia bertanya, “Berapakah tambangnya, tuan?”

Petugas kaunter itu menjawab, “Sepuluh ringgit enam puluh sen.”

Long Atan menyerahkan sekeping wang kertas sepuluh ringgit, sekeping duit syiling lima puluh sen dan sekeping duit syiling sepuluh sen. Sebelum meninggalkan kaunter tiket itu, dia mengucapkan terima kasih kepada petugas kaunter dan menambah kata, “Saya belum cukup umur. Apabila saya cukup umur nanti, merasa juga saya separuh tambang.”

Ketika Long Atan mengucapkan terima kasih, petugas itu sudah berpusing untuk meninggalkan kaunter. Dia tidak membalas ucapan terima kasih. Dia tidak mendengar bebelan Long Atan yang belum cukup umur.

Hanya Long Atan dan seorang wanita India menunggu ketibaan komuter dari Seremban. Lebih kurang dua puluh minit kemudian komuter tiba. Gerabak di hadapan mereka ialah koc khas untuk wanita. Pintu koc terbuka. Wanita India itu melangkah ke dalam koc. Long Atan berlari ke pintu gerabak hadapan. Sebaik-baik keseluruhan tubuhnya berada dalam koc itu, pintu koc pun tertutup secara automatik.


Dalam koc itu tiada penumpang yang berdiri. Ada beberapa tempat duduk yang masih kosong. Long Atan duduk di kerusi berhampiran pintu, di sebelah pemuda Melayu yang berbadan gempal. Sepanjang perjalanan itu, Long Atan cuba mengosongkan fikirannya sambil memejamkan mata. Namun, dia tidak mengantuk dan fikirannya mengarang berbagai-bagai perkara.

Antara perkara yang menjadi bahan karangan fikirannya termasuklah hakikat bahawa dia belum cukup umur untuk menikmati separuh tambang komuter. Dia juga belum cukup umur untuk menikmati keutamaan di hospital kerajaan sebagai warga emas. Dia perlu menunggu lima tahun lagi untuk menikmati keutamaan itu. “Jikalau ada umur, insya-Allah, merasa juga aku,” kata hatinya.

Dia kurang pasti sama ada dia sudah atau belum cukup umur juga untuk menikmati tambang murah perjalanan dengan kapal terbang. Yang pasti, dia sudah menikmati potongan bayaran sebanyak 50 peratus apabila memasuki beberapa taman rekreasi yang menetapkan umur 55 tahun sebagai umur permulaan untuk menikmati potongan bayaran itu.

Komuter bergerak terlenggok-lenggok, sekejap perlahan, adakalanya laju dan sesekali terlalu laju. Pergerakan komuter itu perlahan ketika akan berhenti di sesuatu stesen dan apabila memulakan perjalanan ke stesen seterusnya. Pergerakan komuter itu laju apabila berada di antara stesen dan terlalu laju apabila jarak antara satu stesen dengan stesen yang lain jauh. Bunyi kelepak-kelepuk, derak-derik, decitan dan decisan bertingkah-tingkah.

Para penumpang turun naik. Dari satu stesen ke satu stesen yang lain, penumpang yang naik lebih ramai daripada mereka yang turun. Apabila tiba di Stesen Kajang, penumpang dalam koc itu hampir padat. Koc itu benar-benar padat apabila begitu banyak penumpang naik di Stesen Salak Selatan sedangkan penumpang yang turun seorang dua sahaja. Lebih kurang separuh penumpang turun di Stesen Pusat KL. Beberapa orang penumpang turun di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur. Seorang dua penumpang turun di Stesen Bank Negara. Hampir kesemua penumpang dalam koc itu dan koc-koc lain turun di Stesen Putera.

Long Atan pun turun di Stesen Putera. Di mengekori jejeran penumpang menuju ke pintu keluar. Lama juga dia menunggu giliran untuk keluar kerana barisan manusia lelaki dan wanita agak panjang. Hampir kesemua penumpang itu golongan remaja. Hanya beberapa orang sahaja lelaki dan wanita separuh umur. Long Atan berasa dirinya paling tua dalam barisan yang semakin pendek itu walaupun dia menganggap dirinya belum cukup umur untuk menikmati kemudahan bagi warga yang berusia 60 tahun dan ke atas.

Tiada ulasan: