09 April 2012

Sebutan dan Ejaan Akronim UMNO


Soalan Asal
Mengapakah kita menyebut huruf “u” dalam perkataan UMNO dengan bunyi “a” seperti dalam perkataan “ayam”?

Jawapan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (KDEK), UMNO ialah akronim bagi United Malays National Organisation. UMNO ialah akronim bahasa Inggeris. UMNO bukan akronim bahasa Melayu. Oleh hal yang demikian, sebutan akronim itu mestilah berasaskan bahasa Inggeris. Dalam bahasa Inggeris huruf “u” dapat berbunyi [a] seperti dalam perkataan “up”, “but” dan “hub”. Jadi, sebutan [am.no] itu betul.

Walau bagaimanapun, janganlah kita menyalahkan orang yang menyebut UMNO itu [um.no]. Hal ini dikatakan demikian kerana huruf “u” dalam bahasa Inggeris dapat juga berbunyi [u] seperti dalam perkataan “unity” dan “put”. Jadi, sebutan [um.no] pun betul juga.

Soalan Tambahan 1
Sebutan UMNO itu mengikut sebutan (lidah) Inggeris atau Melayu?

Jawapan
Kita ikut sebutan para pemimpin UMNO. Mereka menyebut UMNO dengan sebutan (lidah) Melayu.

Soalan Tambahan 2
Penulisan akronim United Malays National Organisation itu UMNO atau Umno?

Jawapan
Dalam KDEK terdapat kata masukan UMNO. Penjelasan yang mengikuti kata masukan ialah “akronim bagi United Malays National Organisation (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu)”. Tiada kata masukan Umno dalam KDEK. Selain sebagai kata masukan, hasil carian di Ruangan Kamus dan Istilah (RKDI), Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memaparkan 21 ejaan UMNO. Sumber ejaan itu ialah KDEK, Kamus Pelajar dan Kamus Inggeris-Melayu Dewan. Hal ini menunjukkan penulisan yang betul ialah UMNO, bukannya Umno. Walau bagaimanapun, di RKDI, PRPM tercatat juga dua ejaan Umno. Hal ini dapat dianggap sebagai kesilapan penyuntingan.

Penulisan akronim UMNO oleh KDEK menepati peraturan pertama penulisan akronim yang tercatat dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Berdasarkan peraturan itu, UMNO ialah akronim yang terbentuk daripada gabungan empat huruf nama khas United Malays National Organisation dan ditulis dengan huruf besar keseluruhannya. Sekali lagi, ejaan UMNO tepat; ejaan Umno silap.

Soalan Tambahan 3
Di Internet, termasuk di Facebook, ada ejaan UMNO**** dan sebagainya? Wajarkah perbuatan itu?

Jawapan
United Malays National Organisation (UMNO) itu nama khas. Ejaan bagi akronim nama khas itu hanya dapat diubah setelah dibenarkan oleh Pendaftar Pertubuhan. Perubahan itu hanya berlaku sesudah terlaksananya proses yang panjang. Oleh hal yang demikian, janganlah kita mengubah nama khas itu atas apa-apa tujuan pun.

3 ulasan:

En. W berkata...

bagaimana pula dgn PAS?
Adakah PAS atau Pas?

Kalau ikut rumi, Pas itu betul.
Kalau ikut jawi, PAS (ڤاس)(Pa Alif Sim) yg betul.

Jadi, yang mana satu yg harus kita taip utk Parti Islam SeMalaysia?

Unknown berkata...

Asalamualaikum tuan Haji.
dalam kajian bahasa, saya tergolong orang yg perlu belajar. terima kasih info..kena belajar lagi..

Mohd Isa Abd Razak berkata...

Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.

Encik W dan Cikgu Etuza, alhamdulillah, soal jawab susulan sudah saya terbitkan.

Terima kasih saya ucapkan atas sambutan tuan/cikgu.

Wassalam