Saya masih menggemari media lama kerana, yang pertama, umumnya media lama diterima oleh ilmuwan sebagai sumber rujukan yang sah dan berwibawa. Saya kemukakan dua contoh. Contoh yang pertama, buku Tuntunan Bahasa (2004), Petunjuk Bahasa (2005), Liku-liku Bahasa (2007) diterima sebagai bibliografi oleh pemberi tugasan peringkat sijil, diploma dan ijazah pertama, bahkan ijazah lanjutan. Contoh yang kedua, pemberi tugasan tidak mempersoalkan sumber rujukan daripada majalah, jurnal, monograf dan terbitan berkala lainnya apabila tercatat dalam bibliografi tugasan. Sebagai perbandingan, satu bahagian di Kementerian Pelajaran pernah tidak mengiktiraf bibliografi daripada laman sesawang atas alasan bahan di laman sesawang kurang kebolehpercayaan dan/atau kesahan, dan mungkin tidak dapat dikesan (“hilang” atau sudah dipadamkan) apabila dirujuki. Beberapa orang ilmuwan pula menganggap pelajar yang mengemukakan sumber daripada Internet seperti Wikipedia sebagai mengambil jalan mudah. Mereka menyatakan, sumber daripada Internet untuk orang awam dan tidak sesuai menjadi bahan rujukan pelajar institusi pengajian tinggi, khususnya peringkat ijazah pertama dan ijazah lanjutan.
Yang kedua, media lama lebih kekal. Hal ini berlaku kerana ada undang-undang yang memerlukan beberapa salinan media lama itu diserahkan kepada pihak yang berwajib untuk disimpan atau diarkibkan. Antara pihak yang menerima salinan media lama itu termasuklah arkib negara, perpustakaan negara, muzium negara dan pusat dokumentasi seperti Pusat Dokumentasi Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka. Selain itu, salinan media lama disimpan oleh institusi yang berwibawa seperti universiti, perpustakaan awam dan pusat sumber/media jabatan kerajaan. Cara penyimpanan bahan-bahan itu sistematik dan disesuaikan dengan teknologi semasa. Kawalan terhadap bahan itu pula ketat dan mustahil dapat dipalsukan kandungannya. Apabila berlaku kerosakan atau penghapusan secara tidak sengaja atau sengaja, salinan media lama masih terdapat di beberapa tempat di sesebuah negara, bahkan bagi bahan-bahan tertentu, di seantero dunia.
Yang ketiga, umumnya kandungan media lama bermutu. Hal ini berlaku kerana beberapa banyak faktor. Saya berikan dua faktor sahaja. Faktor yang pertama, penghasil, khususnya penulis, media lama lazimnya ialah insan terpilih dan sudah teruji dalam bidang masing-masing. Mereka termasuk golongan penyelidik di organisasi penyelidikan, institusi pendidikan awam dan jabatan kerajaan; pakar dalam sesuatu bidang, sasterawan negara, penulis tamu di sesebuah organisasi; penulis atau panel penulis kamus, buku ilmiah, buku teks, ensiklopedia; penulis artikel untuk jurnal, majalah, monograf; dan sebagainya. Faktor yang kedua, penerbit bahan media lama itu mengamalkan sistem pengurusan mutu yang dikenali dengan nama samaran ISO, iaitu nama asal International Organisation for Standardization dan di Malaysia dikenali sebagai Malaysian Standard (MS) atau lengkapnya MS-ISO. Tanpa MS-ISO pun penerbit yang berwibawa tetap mengamalkan gaya pengurusan yang dapat menjamin mutu bahan yang diterbitkan. Media lama yang sampai ke tangan pengguna sudah melalui proses yang panjang termasuk tahap pencetusan idea, perancangan penghasilan, kelulusan oleh panel khas seperti panel kawalan mutu, sesi penghasilan, sesi penambahbaikan seperti penyuntingan dan sebagainya. Sebaliknya, penghasilan bahan media baharu umumnya tanpa kawalan pihak pengurusan dan kawalan mutu. Penerbitan dan penyebaran bahan media baharu pula sangat pantas. Hal ini memungkinkan bahan media baharu itu goyah dari pelbagai segi seperti ketepatan fakta, kesempurnaan bahasa dan indeks kebolehbacaan.
Sebagai kesimpulannya, jikalau media itu kita ibaratkan sebagai manusia, media baharu ialah remaja yang masih keliru atau belum berjati diri. Media lama pula ialah orang tua, datuk, nenek atau moyang yang tepu dengan ilmu dan pengalaman, berjati diri dan mantap dari segi pendirian. Walhasil, ada banyak kandungan media baharu yang kita anggap bermutu itu asalnya ialah kandungan media lama yang “diberi nafas baharu” dalam dunia maya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan