Bual Bahasa, Dewan Bahasa, Mei 2012 (teks asal)
1. Apakah pandangan tuan tentang kedudukan bahasa Melayu kini?
Mulai tahun 2003, apabila dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dilaksanakan kedudukan bahasa Melayu tergugat. Tokoh dan pencinta bahasa Melayu berasa khuatir akan kemungkinan bahasa Melayu lenyap pada suatu masa nanti. Sasterawan Negara A Samad Said menggambarkan rasa khuatir itu dengan kata-yang indah. Katanya, “Selepas kuncup, proses berikutnya ialah nazak, dan seterusnya dikuburkan. Itulah proses yang sedang dilalui oleh bahasa Melayu sekarang. Dalam tempoh lima puluh tahun lagi, kalau dibiarkan, bahasa Melayu akan nazak dan terkubur.” Alhamdulillah, PPSMI dimansuhkan mulai tahun 2012 ini. Walaupun pemansuhan itu hanya berakhir sepenuhnya pada tahun 2021, masa hadapan bahasa Melayu kelihatan kembali cerah.
Walau bagaimanapun, tahun 2012 terlalu lama untuk ditunggu. Perubahan kepimpinan negara yang disertai oleh desakan penyokong PPSMI memungkinkan dasar itu dikembalikan. Sejarah membuktikan bahawa pada tahun 1970 nama bahasa Melayu ditukar menjadi bahasa Malaysia. Pada tahun 1986 nama bahasa Melayu digunakan kembali. Pada tahun 2007 nama bahasa Malaysia diterima pakai semula. Menurut Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan, pada 11 Mei 2011, Jawatankuasa Memartabatkan Bahasa Melayu yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, YAB Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin, memutuskan bahawa nama bahasa Melayu dikembalikan. Namun pelaksanaannya belum kelihatan. Jadi, antara resolusi Konvensyen Pendidikan Bahasa Melayu Kali Ke-19 pada 20 hingga 22 Mac 2012 termasuklah cadangan agar penggunaan nama mata pelajaran Bahasa Malaysia diubah kepada Bahasa Melayu. Kes nama ini boleh sahaja menular kepada PPSMI.
Kes PPSMI bukan perkara kecil. Ini kes dasar. Ini perkara pokok. Jikalau dasar sudah tercabut, pokok akan tumbang. Saya teringat pandangan seorang penulis dalam majalah Dewan Bahasa keluaran Ogos 2009. Beliau menyatakan, genosid bahasa masih mengintai bahasa Melayu. Inilah hakikat kedudukan bahasa Melayu di negara kita kini.
Dari sudut yang lain, saya mendapat tahu bahawa perkembangan bahasa Melayu di luar negara semakin memberangsangkan. Jumlah universiti luar negara yang mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu terus meningkat.
2. Kini, Dewan Bahasa dan Pustaka ada menyediakan khidmat Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) dalam Internet. Apakah pandangan tuan tentang khidmat PRPM ini?
Saya mendapati kemudahan PRPM berkembang begitu pesat. Pada masa dahulu KNB, sesuai dengan namanya, berfokus pada khidmat nasihat bahasa. Kini, yang bernama KN DBP itu memberikan lima jenis khidmat nasihat, iaitu Khidmat Nasihat Bahasa, Khidmat Nasihat Sastera, Khidmat Nasihat Penerbitan, Khidmat Nasihat Pengurusan dan Khidmat Nasihat Korporat.
Pada akhir tahun lalu saya “cuti” daripada menggunakan khidmat PRPM. Apabila saya menggunakan perkhidmatan PRPM semula pada bulan Januari tahun ini, saya terkejut. Saya dapati ruang lingkup PRPM sudah terlalu luas. Apabila saya menggunakan enjin carian, bahan yang dicadangkan begitu banyak. Kini, selain kemudahan kamus dan KNB yang menjadi rujukan tetap, PRPM mencadangkan juga bahan yang dicari itu dilihat dalam ruangan Ensiklopedia, Artikel dan lain-lain. Kandungan Kamus Istilah Malaysia dan Istilah MABBIM pula semakin lengkap, bahkan kini saya dapat mengesan perkataan dalam bahasa sukuan. Saya berpuas hati dengan khidmat PRPM dan menggunakan kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada DBP, khususnya karyawan DBP yang membangunkan PRPM, memperluas dan menambah baik perkhidmatan itu dan melayan karenah pengguna.
Selaku pengguna setia ruangan KN DBP, saya terkilan sedikit kerana paparan bagi ruangan itu termasuk soal jawab lama yang sudah ketinggalan masa, silap dan/atau bercanggah dengan jawapan yang lain. Hal ini dapat memeningkan kepala pengguna. Saya berharap pihak DBP “mematikan” capaian kepada soal jawab yang berkenaan. Baik benar rasanya kemudahan PRPM, khususnya KN DBP, mendapat perhatian juruaudit dalam rangka audit bahasa yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.
3. Sejak bilakah tuan mula menggunakan PRPM dan apakah tujuannya?
Saya mula menggunakan PRPM pada bulan Januari 2006. Jikalau tidak silap, pada masa itu PRPM masih bernama Khidmat Nasihat Bahasa (KNB). KNB kemudian menjadi sebahagian daripada PRPM. Seterusnya, apabila skop KNB diperluas, nama KNB ditukar menjadi Khidmat Nasihat DBP.
Saya menggunakan PRPM sebagai sumber rujukan tentang bahasa Melayu untuk melicinkan tugas saya sebagai penjawat awam. Sebelum saya giat memanfaatkan PRPM saya pernah menggunakan KNB DBP melalui telefon. Kos panggilan telefon tinggi. Jawapan pun masuk ke dalam telinga sahaja. KNB di Laman DBP, yang kemudiannya berkembang menjadi PRPM, tidak memerlukan kos panggilan telefon. Yang terpenting, jawapan yang diberikan itu dapat disimpan dalam fail digital. Saya menyimpan semua soalan dan jawapan saya di KNB/KN DBP. Jumlah soal jawab itu kini hampir 200. Soal jawab itu saya manfaatkan semasa berkuliah, berceramah dan berbengkel. Saya juga mempromosi KNB kepada pelajar dan kumpulan sasaran saya yang lain, khususnya golongan pendidik.
4. Pada pandangan tuan, sejauh manakah keberkesanan PRPM ke arah pengantarabangsaan bahasa Melayu?
Pengantarabangsaan bahasa Melayu itu bermula di negara kita. Jadi, penilaian keberkesanannya wajarlah bermula daripada lingkungan negara kita juga. Di negara kita, dalam lingkungan saya, semasa saya menjadi penjawat awam, saya mendapati rakan, pelajar dan kumpulan sasaran saya yang lain kurang memanfaatkan kemudahan PRPM. Saya kurang berasa sedih apabila mendapati ada pelajar saya tidak pernah atau jarang menggunakan kemudahan PRPM. Tugas sayalah untuk memberitahu mereka kemudahan di PRPM dan menggalakkan mereka memanfaatkan kemudahan itu. Saya berasa lebih sedih apabila mengetahui ada rakan sejawatan saya kurang berminat untuk menggunakan kemudahan PRPM dan kesedihan saya bertambah apabila dorongan saya agar mereka menggunakan kemudahan PRPM didengari dengan sebelah telinga sahaja. Saya juga sedih apabila mendapati banyak guru sekolah tidak memanfaatkan, bahkan ada guru yang tidak mengetahui, kemudahan PRPM.
Persoalannya, jikalau PRPM kurang popular dalam kalangan warganegara Malaysia, termasuk guru Bahasa Melayu yang sepatutnya sentiasa menggunakan kemudahan itu, bagaimanakah kita dapat mengatakan bahawa PRPM mempunyai peranan besar ke arah pengantarabangsaan bahasa Melayu? Saya memang tidak dapat menjawab soalan ini. Saya tidak mempunyai apa-apa maklumat yang menunjukkan PRPM digunakan oleh penduduk negara-negara dalam ASEAN, khususnya Indonesia, Brunei dan Singapura. Di luar kawasan ASEAN, saya cuma dapat menyatakan harapan agar penduduk negara seperti China, Australia dan Belanda, khususnya pelajar kursus Bahasa Melayu di negara-negara yang berkenaan, menggunakan kemudahan PRPM.
5. Apakah cadangan tuan untuk meningkatkan lagi kemudahan dan keberkesanan khidmat yang disediakan oleh DBP ini?
Cadangan pertama, adakan kemudahan statistik yang seakan-akan, sama atau lebih baik daripada kemudahan statistik blog. Saya yakin, Bahagian Sistem Maklumat DBP arif tentang hal ini. Mungkin kemudahan itu sudah ada tetapi tidak dapat dicapai oleh pengguna biasa seperti saya. Jikalau benar, jadikan kemudahan itu kemudahan terbuka. Apabila saya dapat mengakses kemudahan itu, pasti saya dapat menyatakan beberapa hal tentang keberkesanan PRPM. Antara perkara itu termasuklah, jumlah pengunjung keseluruhan, tahunan dan bulanan; jumlah pengunjung berdasarkan negara, jumlah capaian ruangan tertentu dan kata/ungkapan popular untuk mengakses PRPM.
Cadangan kedua, sebagai pengguna tegar KN DBP, KN wajar menyediakan jawapan piawai untuk beberapa banyak (mungkin ratusan) soalan popular. Hal ini pasti meringankan beban tugas penjawab soalan KN, menjimatkan masa dan mengurangkan pertindihan, juga pertentangan, jawapan apabila penjawab baharu mengambil alih tugas penjawab lama. Selain itu, KN wajar “mendidik” penyoal. Caranya, apabila soalan itu jelas berulang dan ada jawapan piawai, minta penyoal menggunakan kemudahan enjin carian di PRPM. Saya pernah menggubal satu jawapan piawai sebagai rumusan beberapa banyak jawapan yang terdapat dalam KN, iaitu soalan-soalan yang mempunyai maksud yang sama. Jawapan piawai itu ialah: “Selagi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu tidak berubah, maka nama rasmi bahasa negara Malaysia ialah bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, dalam konteks komunikasi sosial yang tidak rasmi, apabila merujuk kepada bahasa yang menjadi sistem komunikasi bersama rakyat Malaysia, istilah bahasa Malaysia boleh digunakan di samping istilah bahasa Melayu.”
Cadangan ketiga, lakukan usaha penambahbaikan dan promosi. Antara penambahbaikan yang wajar mendapat perhatian DBP ialah peluasan capaian kamus seperti Kamus Besar Bahasa Indonesia dan Kamus Nusantara (Brunei). Usaha menyediakan capaian terus memang memakan masa. Oleh itu, buat sementara waktu, pautan kamus yang berkenaan wajar dipaparkan di muka hadapan PRPM. Selain pautan kamus, pautan Pangkalan Kosa Kata dan Pustaka Digital perlu ada di muka hadapan PRPM. Kedudukan dan teknik pemaparannya hendaklah dapat menarik perhatian pengunjung. Antara cara promosi pula termasuklah mengadakan taklimat/bengkel kepada pegawai tertentu di Kementerian Pendidikan, Institut Pendidikan Guru Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri. Selepas taklimat/bengkel itu, pihak yang berkenaan mesti mengeluarkan surat pekeliling agar kumpulan sasaran mereka memanfaatkan PRPM. Pegawai PRPM wajar menjadikan Facebook, khususnya Kumpulan Kembara Bahasa, untuk mempromosi kandungan PRPM.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan