06 Jun 2012

Perumpamaan Mementingkan Maksud

Dewan Bahasa, Mei 2012
Menurut Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1998), perumpamaan ialah sejenis peribahasa yang menyebutkan sesuatu maksud dengan mengiaskannya kepada perkara lain. Penjelasan ensiklopedia itu hampir sama dengan penerangan Za‘ba dalam buku Ilmu Mengarang Melayu (1934). Menurut Za‘ba, “perumpamaan ialah peribahasa yang menyebutkan sesuatu maksud dengan diumpamakan dikiaskan kepada sesuatu perkara lain dan oleh sebab itu jadi ertinya dua lapis.”

Dengan berdasarkan bentuknya, terdapat dua jenis perumpamaan. Yang pertama ialah perumpamaan yang disebutkan perbandingannya dan yang kedua ialah perumpamaan yang tidak disebutkan perbandingannya. Perumpamaan contoh yang disebutkan perbandingannya termasuklah “bagai anak ayam kehilangan ibu”, “ibarat cicak makan kapur” dan “seperti tikus membaiki labu”. Perumpamaan contoh yang tidak disebutkan perbandingannya pula termasuklah “pagar makan padi”, “perigi mencari timba” dan “tanam tebu di bibir mulut”.

Perumpamaan contoh yang disebutkan perbandingannya seperti yang di atas dapat disebut “anak ayam kehilangan ibu”, “cicak makan kapur” dan “tikus membaiki labu”. Menurut Za‘ba, apabila perbandingan itu ditinggalkan, “jadilah ia suatu jenis simpulan bahasa sahaja”. Sebaliknya, perumpamaan contoh yang tidak disebutkan perbandingannya itu dapat juga didahulukan dengan perbandingan dan menjadi “bagai pagar makan padi”, “ibarat perigi mencari timba” dan “seperti tanam tebu di bibir mulut”. Perkataan “bagai”, “ibarat”, “seperti” dan perkataan-perkataan lain seperti “bak”, “laksana” dan “macam” boleh bertukar ganti.

Sama ada perkataan perbandingan disebutkan atau tidak, perumpamaan itu tetap bermaksud dua lapis. Maksud lapisan pertamanya yang disebut juga maksud tersurat ialah pengertian setiap perkataan sebagaimana yang terdapat dalam kamus. Makna lapisan pertama atau tersurat itu ada yang jelas, ada yang kurang jelas dan ada pula yang kabur.

Perumpamaan “anak ayam kehilangan ibu” dan “cicak makan kapur” mempunyai maksud tersurat yang jelas. Hal ini dikatakan demikian kerana kita dapat menggambarkan keadaan yang tersurat itu dengan menggunakan pancaindera. Ayam dalam perumpamaan ini ialah ayam kampung yang bertelur, mengeramkan telurnya dan menjaga anak-anaknya. Anak-anak ayam itu akan bergerak tidak tentu hala sambil mengeluarkan bunyi ciapan yang kuat dan berterusan sekiranya kehilangan ibu. Dalam hal ini kita menggunakan deria lihat dan dengar. Cicak yang termakan kapur pula terkulat-kulat. Dalam kes ini kita menggunakan deria lihat sahaja.

Orang dahulu biasa melihat peristiwa anak ayam kehilangan ibu, cicak makan kapur dan sebagainya. Jikalau kita rajin melakukan pemerhatian, kita juga masih dapat melihat keadaan yang sama pada zaman ini. Perumpamaan lain dalam kumpulan ini dan dapat digambarkan dengan pancaindera ialah “anjing menyalak bukit”, “ikan kena tuba”, “kaca jatuh ke batu”, “layang-layang putus tali”, “mencurah air di daun keladi”, “pinang dibelah dua” dan “si buta kehilangan tongkat”. Perumpamaan dalam kumpulan ini termasuk juga hal atau konsep yang dapat difahami dengan menggunakan fikiran seperti “ukur baju di badan sendiri”, “mati semut kerana gula” dan “pucuk dicita ulam mendatang”.

Perumpamaan “tikus membaiki labu” dan “tulisan di atas air” mempunyai maksud tersurat yang kurang jelas. Kita tidak dapat menggunakan pancaindera untuk membenarkan hal yang dinyatakan kerana keadaan itu tidak atau mustahil berlaku di hadapan kita. Keadaan itu sukar juga untuk digambarkan dalam fikiran. Hanya mereka yang kreatif dapat membayangkan keadaan yang berkenaan melalui gambaran minda atau lukisan karikatur. Perumpamaan lain dalam kelompok ini termasuklah “pungguk merindu bulan” dan “masuk kandang kambing membebek, masuk kandang kerbau menguak”.

Perumpamaan “meniup api dalam air” dan “pagar makan padi” mempunyai maksud tersurat yang kabur. Usaha kita untuk membayangkan keadaan yang berkenaan akan menemukan jalan buntu. Namun, tidak dinafikan pula bahawa pelukis yang kreatif dapat menggambarkannya dalam bentuk kartun. Perumpamaan lain yang sekumpulan dengan perumpamaan ini termasuklah “bakar air, ambil abunya”, “cacing menelan naga”, “tanam tebu di bibir mulut”, “lesung mencari antan” dan “gantung tak bertali, salai tak berapi”.

Pembahagian lapisan pertama atau tersurat kepada jelas, kurang jelas dan kabur itu bukanlah mutlak. Pembahagian ini sekadar mempelbagaikan sudut pandang perbincangan. Malah, tidak dinafikan pula ada perumpamaan yang sukar dimasukkan dalam mana-mana kelompok. Namun, semua perumpamaan itu tetap mempunyai maksud lapisan kedua atau tersirat. Maksud inilah yang penting.

Seterusnya, elok kita teliti dua huraian maksud perumpamaan yang diberikan oleh Za‘ba:

Jenis yang pertama: ‘Bagai tikus jatuh ke beras’ ertinya yang di luar ialah sepanjang yang nampak zahir daripada perkataannya itu sahaja iaitu sama seperti tikus yang jatuh ke atas longgok beras; tetapi ertinya yang di sebelah dalam (iaitu maksud yang sebenar) ialah apabila sudah sampai ke situ diam sahaja, tiada berbunyi atau pergi ke mana-mana lagi kerana sudah terjumpa benda yang memang kesukaan hatinya.

Jenis yang kedua: Katalah ‘Siapa makan cabai dia terasa pedas’ ertinya yang di luar hanya betul-betul seperti yang disebutkan oleh perkataannya itu, tetapi ertinya yang sebenar (lapis yang di sebelah dalam) ialah barang siapa yang sungguh berbuat sesuatu kecelaan dialah yang terasa apabila seseorang lain mencela-cela perbuatannya itu dengan tiada menyebutkan namanya.”

Seperti yang sudah dibincangkan, ada perumpamaan mempunyai maksud tersurat yang kabur. Apabila kita berhadapan dengan perumpamaan dalam golongan ini, eloklah kita tumpukan penghuraiannya pada maksud tersirat. Sebagai contoh, kita huraikan maksud “pagar makan padi”.

“Pagar makan padi” bermaksud orang yang kita percayai mengkhianati kita. Perumpamaan lain yang sama maknanya ialah “pancing makan umpan”, “sokong membawa rebah” dan “telunjuk mencucuk mata”. Pagar, pancing, sokong dan telunjuk dalam peribahasa ini ialah benda yang diumpamakan sebagai orang, iaitu pengkhianat. Demikian juga halnya dengan padi, umpan dan mata; kesemuanya benda yang diibaratkan sebagai orang, iaitu mereka yang dikhianati. Perkataan “rebah” pula dapat dianggap sebagai kelainan tetapi maksudnya tetap sama, iaitu ada orang yang dikhianati atau menderita akibat sokong yang rebah itu.

Semasa berbahasa, kita berharap kumpulan sasaran kita memahami maksud perumpamaan yang kita gunakan. Kita tidak mengharapkan mereka bermati-matian membina citra minda “pagar makan padi”, “pancing makan umpan”, “perigi mencari timba”, “lesung mencari antan”, “sirih pulang ke gagang”, “tikus membaiki labu”, “menatang minyak yang penuh” dan sebagainya. Sebagai alat bagi menguatkan hujah, menyampaikan perutusan dan menyerapkan pengajaran, hal yang penting ialah penggunaan perumpamaan itu hendaklah bertepatan dengan maksudnya.

Walau bagaimanapun perkara ini dapat sahaja menjadi bahan perbincangan di bilik kuliah, seminar, blog, Facebook dan sebagainya. Misalnya, pengendali satu laman Facebook menerbitkan tulisan tentang perumpamaan “pagar makan padi” dan “melepaskan batuk di tangga” pada 18 Disember 2011. Dalam tulisan itu dinyatakan bahawa perumpamaan yang tepat ialah “pegar makan padi” dan “melepaskan batok di tangga”.

Penggunaan perkataan “batok” sudah pernah dibincangkan. Antara perbincangan itu termasuklah tulisan Zaidi Ismail dalam majalah Pelita Bahasa keluaran bulan Disember 2004. Oleh sebab itu, di sini hanya penggunaan perkataan “pegar” dibincangkan.


Pengendali laman itu berpendapat, pada zaman dahulu ejaan perkataan pagar dan pegar sama, iaitu pa-ga-ra. Apabila perumpamaan itu disalin dalam tulisan Rumi, perkataan pegar bertukar menjadi pagar. Perkara ini menjadi bahan perbincangan masyarakat, khususnya melalui blog dan Facebook. Ruangan “Mewah Bahasa” akhbar Berita Harian keluaran 11 Januari 2012 juga membincangkan perkara ini. Umumnya masyarakat kita akur bahawa peribahasa yang tepat ialah “pegar makan padi”.

Pada 7 Februari 2012, Khidmat Nasihat, Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyatakan, “Sehingga kini belum ada dapatan sahih tentang peribahasa tersebut. Walaupun pendapat yang mengatakan peribahasa ‘harapkan pegar, pegar makan padi’ adalah betul tetapi tidak ada satu dapatan yang mengesahkannya. Perlu kita ingat peribahasa ialah warisan daripada zaman berzaman dan bentuknya tidak berubah walau diulang cetak berkali-kali. Mungkin juga ada benarnya pendapat yang mengatakan kesilapan ejaan berlaku sewaktu pemindahan teks daripada tulisan Jawi kepada tulisan Rumi tetapi tidak ada dapatan yang dapat mengesahkannya.”

Pada 19 Februari 2012, Ketua Pengarah DBP, Profesor Dr. Haji Awang Sariyan yang dikenali sebagai Kembara Bahasa dalam komunikasi maya menyatakan, kajian awal DBP menunjukkan bahawa ejaan Jawi yang digunakan dalam buku-buku lama ialah pa-alif-ga-ra (pagar), bukannya pa-ga-ra (pegar). Jadi, alasan yang menyatakan perkataan pagar itu digunakan akibat kesilapan transkripsi tulisan Jawi kepada Rumi tertolak.

Seterusnya Kembara Bahasa menegaskan, perlakuan pagar dalam peribahasa itu diperorangkan dengan berdasarkan gaya personifikasi (perorangan). Perorangan bagi benda yang lain termasuklah “perigi mencari timba”, “lesung mencari antan” dan “pancing makan umpan”.

Pada hari yang sama, saya dan Kembara Bahasa meminta pengendali laman itu untuk menyatakan sumber tulisannya. Namun, sehingga awal Mac, jawapan yang tepat daripadanya belum diperoleh.

Dalam buku Ilmu Mengarang Melayu (1934) karangan Za’ba, Kitab Tikaman Bahasa (1934) karangan Muhammad Adnan Muhammad Ariffin dan Kitab Kiliran Budi (1949) susunan Paderi Shellabear terdapat perumpamaan “pagar makan padi”. Ketiga-tiga buku itu bertulisan Jawi. Ejaan pagar dalam ketiga-tiga buku itu ialah pa-alif-ga-ra.

Ejaan pa-alif-ga-ra bagi masukan pagar terdapat dalam dua buah kamus bertulisan Jawi, iaitu Buku Katan Kamus Melayu (1936) karangan Haji Muhammad Said Haji Sulaiman dan Kamus Melayu (1948) susunan Shamsudin Mohd Yunus. Kedua-dua kamus ini mengandungi masukan pegar yang dieja pa-ga-ra. Tegasnya, pada tahun 30-an dan 40-an itu masyarakat kita sudah membezakan pa-alif-ga-ra dengan pa-ga-ra. Masukan kamus dan ejaan dalam ketiga-tiga buku tadi membuktikan bahawa perkataan dalam perumpamaan itu ialah pagar dan bukannya pegar. Oleh sebab pengendali laman itu belum berjaya membuktikan bahawa perkataan pagar pernah ditulis pa-ga-ra dalam mana-mana buku lama bertulisan Jawi, maka pandangannya belum sah.

Sebagai kesimpulannya, perbincangan tentang perumpamaan sebaik-baiknya berfokus pada maksud lapisan keduanya, iaitu maksud yang tersirat. Perbincangan dari sudut yang lain seperti susunan perkataannya dan keindahan bahasanya boleh juga dilakukan. Perbincangan itu wajarlah dilakukan dengan cermat dan sebarang cadangan pindaan susunannya yang sudah mantap itu hendaklah berasaskan bukti yang kukuh.

Nota
Pautan ini (1 Oktober 2012): https://www.facebook.com/burhanuddinalhelmy/posts/499470730072166 merujuk maklumat daripada sebuah akhbar bertarikh 15 Januari 2012.

Tiada ulasan: