05 Julai 2012

Huruf Vokal Jawi: Alif


Huruf alif ialah huruf pertama abjad Jawi. Secara umum, padanannya dalam tulisan Rumi ialah huruf a dan e pepet. Namun alif juga melambangkan vokal lain sama ada secara bersendirian atau apabila bergabung atau berangkai dengan huruf lain. Hal ini akan dibincangkan dalam beberapa perenggan seterusnya.

Mula-mula kita perhatikan bentuk alif. Berdasarkan kedudukan, ada dua bentuk alif, iaitu tunggal dan berangkai dengan huruf lain. Alif tunggal tidak berangkai dengan huruf lain. Alif ini menunggal atau berada di awal rangkaian. Alif yang berangkai dengan huruf lain hanya berada di akhir rangkaian. Hal ini berlaku kerana alif tergolong dalam huruf pemutus. Huruf pemutus boleh berangkai dengan huruf sebelumnya tetapi tidak boleh berangkai dengan huruf selepasnya.

Sebagai contoh, kedua-dua bentuk ini terdapat dalam perkataan aman (امان). Dalam perkataan ini, alif berdiri secara menunggal di awal rangkaian alif-mim-alif-nun dan melambangkan vokal /a/, sekali gus sebagai satu suku kata. Alif berangkai dengan mim pula berperanan sebagai vokal /a/ juga dalam suku kata “man”. Citra yang di sebelah menggambarkan kedua-dua bentuk itu.

Dari segi sifat, Hamdan Abdul Rahman dalam Buku Panduan Menulis dan Mengeja Jawi sebagai huruf bertiang yang berdiri tegak di atas garisan dasar. Keadaan ini mendorong orang-orang dahulu mencipta ungkapan tegak seperti alif yang bermaksud tegak lurus. Apabila diteliti, kita dapati huruf itu bukalah benar-benar tegak lurus tetapi condong sedikit ke sebelah kiri. Hal ini perlulah diambil berat agar kita dapat menulis huruf itu dengan betul dan tidak terikut-ikut tulisan Rumi yang lazimnya condong sedikit ke kanan.
Selain alif biasa, terdapat pula alif dengan hamzah di atas dan hamzah di bawah. Alif dengan hamzah di bawah terdapat dalam bahasa Arab. Dalam bahasa Melayu, hampir kesemua hamzah di bawah alif itu sudah dibuang. Kini alif dengan hamzah di bawah tidak produktif dan hanya digunakan untuk beberapa patah perkataan seperti Islam (إسلام) dan eh (إيه). Sebaliknya, alif dengan hamzah di atas produktif dan digunakan sebagai pengganti alif asal pada kata dasar yang bermula dengan huruf alif apabila diimbuhkan dengan awalan di- seperti dalam diisi (دأيسي), ke- seperti dalam keempat (كأمڤت) dan se- seperti dalam seibu (سأيبو).

Alif dalam perkataan Islam melambangkan bunyi /i/. Dalam perkataan eh, alif bergabung dengan ya untuk melambangkan bunyi e taling. Dalam perkataan diisi dan seibu, alif bergabung dengan ya untuk melambangkan bunyi /i/. Dalam perkataan keempat, alif menggambarkan bunyi e pepet.

Selain alif biasa dan alif dengan hamzah, terdapat pula alif yang popular dengan gelaran alif bongkok, iaitu lam-alif. Lam-alif sebenarnya terdiri daripada dua huruf iaitu lam dan alif. Alif itu seolah-olah tercacak pada perut lam. Alif yang asalnya tegak tadi berkeadaan condong pula. Alif condong itu diibaratkan seperti orang bongkok dan dinamakan alif bongkok. Dalam sistem ejaan Jawi terkini, lam-alif tidak tersenarai dalam abjad tunggal kerana huruf itu ialah gabungan huruf alif dan lam.

Terdapat dua bentuk lam-alif . Pertama, lam-alif yang berdiri sendiri sebagai satu suku kata, iaitu tidak bersambung dengan huruf perangkai seperti dalam perkataan lada (لادا) dan bola (بولا). Kedua,  lam-alif yang bersambung dengan huruf perangkai seperti dalam perkataan ela (ايلا) dan gila (ڬيلا).

Demikianlah perbincangan tentang beberapa aspek huruf alif. Perbincangan ini menunjukkan alif mempunyai beberapa bentuk dan melambangkan bunyi lain selain bunyi lazim, itu /a/ dan e pepet. Perbincangan ini masih terbuka kerana masih ada beberapa aspek huruf alif yang belum diketengahkan.

Tiada ulasan: