18 Julai 2012

Rancangan Didik Hibur Gapena di Televisyen


Datuk Dr. Abdul Latif
Kita mengucapkan syabas kepada Gabungan Penulis Nasional (Gapena) kerana menyediakan skrip rancangan khas tentang bahasa Melayu untuk siaran televisyen. Kita berharap proses penyediaan skrip itu berjalan lancar dan penyiaran rancangan itu menjadi kenyataan.

Kita juga berharap rancangan itu berupa rancangan didik hibur yang kaya dengan nilai murni. Antara nilai murni yang mesti diserlahkan termasuklah kecintaan terhadap penggunaan bahasa yang bermutu, santun dan indah. Sindiran hanyalah unsur sampingan dan mesti diserapkan dengan gaya bahasa dan persekitaran yang memperlihatkan kehalusan budi masyarakat Melayu.

Sebarang usaha untuk menjadikan rancangan itu sebagai lawak yang bertunjangkan hedonisme wajar dibendung sejak penyediaan skrip lagi. Babak menepuk air di dulang atau meludah ke langit pula elok benarlah dielakkan. Selain itu, tajuk rancangan itu wajar menyerlahkan nafsu mutmainnah, disalut dengan ucapan salam sejahtera dan senyuman kasih sayang. Hal-hal ini dijangka dapat mengangkat citra Gapena sebagai penaung pencinta bahasa, penulis dan sasterawan.

Demikianlah pahat kita berbunyi sebelum rumah siap. Sama-samalah kita menengadah sebelum terhantuk.

Lampiran
Gapena: Pemimpin "Tolol" Punca Masalah Bahasa
Oleh Ahmad Fadli KC, Malaysiakini, 18 Julai 2012

Gabungan Penulis Nasional (Gapena) menyalahkan pemimpin negara yang gemar menggunakan bahasa Inggeris dalam pelbagai program, termasuk dalam acara rasmi, sehingga merencatkan usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Secara sinis, gabungan terbesar 21 persatuan penulis itu berpendapat, terdapat pemimpin mahu kelihatan Melayu hanya dengan berpakaian tradisi, tetapi gemar berbahasa Inggeris walaupun tidak betul.

"Dia (pemimpin) memikirkan bahasa asing itu hebat. Dia tahu (bahasa kebangsaan) tetapi dia tolol sedikit," kata Ketua Satu Gapena Datuk Dr. Abdul Latif Abu Bakar sambil menggelar golongan itu "tolol bahasa".

"Misalnya, kerajaan sudah berulang kali (tetapkan) mesyuarat kerajaan dalam bahasa Melayu tetapi kami dapat maklum balas ada yang buat dalam bahasa Inggeris."

Sambil mempersoalkan patriotisme pemimpin itu, Dr. Abdul Latif berkata, “kejanggalan” itu juga dilihat dalam laporan berita di kaca televisyen berbahasa Melayu apabila pemimpin negara bercakap menggunakan bahasa Inggeris.

"Wartawan tanya dalam bahasa Melayu, dia jawab bahasa Inggeris juga. Itu pun nahunya (bahasa Inggeris) salah," katanya sambil ketawa kecil.

Malah, kata Dr. Abdul Latif, mereka juga sedang mengusahakan rancangan khas di RTM untuk menyindir golongan tersebut yang *menggunapakai judul sama "tolol bahasa" yang kini dalam proses penyediaan skrip.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini di Kuala Lumpur baru-baru ini, Dr. Abdul Latif juga berkata, fenomena itu turut mendorong Gapena menubuhkan Majlis Pemantauan dan Tindakan Bahasa Kebangsaan untuk memantau penggunaan bahasa Melayu di sektor awam.

Perkataan Presint di Putrajaya?

Majlis itu, yang ditubuhkan sebagai sebahagian daripada resolusi Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kelapan pada Oktober lalu, walaupun tiada penguatkuasaan bertujuan mengingatkan pelbagai pihak.

"Kita pun tak boleh mengenakan penguatkuasaan (bersifat) kekasaran, (kita hanya) mengingatkan supaya mereka berasa malu.

"Pemimpin yang tolol bahasa ini berubahlah, bertaubatlah. Ini negara kita ada bahasa kita, bukan bahasa asing. Gunakanlah bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan," katanya.

Ditanya sama ada tindakan itu bertindih dengan peranan audit bahasa yang dijalankan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Abdul Latif memberitahu, sebagai NGO mereka akan lebih mudah bersuara dan menegur.

"Kalau Dewan Bahasa, hal-hal berkaitan kerajaan, mereka tak boleh ke depan. Sebab itu mereka ada audit bahasa. Bagi kami, kami bebas (untuk menegur). Kalau Dewan Bahasa nak tegur PM depan-depan tak boleh, kami boleh (tegur) tetapi secara terhormat," katanya.

Ditanya tindakan kerajaan menyerap banyak istilah bahasa Inggeris secara terus ke dalam bahasa Melayu seperti perkataan "Presint" di Putrajaya, Dr. Latif berkata hal itu kini semakin berubah sedikit demi sedikit.

"Banyak lagi kerajaan buat perubahan tetapi bukan secara melulu. Misalnya Istana Kehakiman dahulu dalam bahasa Inggeris. Presint pun ada rasionalnya tetapi (perubahan) ini berperingkat-peringkat akan dilaksanakan. Yang penting kita hendakkan pemimpin yang cinta dan hayati bahasa kebangsaan," katanya lagi.

Tiada ulasan: