Citra yang di atas menunjukkan tujuh catatan popular, jumlah catatan dan jumlah paparan halaman Blog Sambung-menyambung pada pagi 15 Ogos 2012. Saya mengucapkan terima kasih atas sokong para pengunjung. Sokongan tuan/puan mendorong saya untuk terus menghasilkan catatan. Doakan agar saya dapat menghasilkan sekurang-kurangnya lima belas catatan asli sebulan.
Saya menjangka sebahagian besar pengunjung blog ini ialah pelajar institut pendidikan guru (IPG). Hal ini dikatakan demikian kerana semua catatan popular, termasuk beberapa catatan yang tidak terdapat dalam carta, berkaitan dengan perkara yang diajar di IPG iaitu tulisan Jawi dan Pengajian Melayu.
Semua pelajar rancangan Persediaan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) di IPG dimestikan mengikuti kursus tulisan Jawi. Berdasarkan pengalaman saya mengajarkan kursus ini dahulu, lebih kurang 25 peratus pelajar tidak mempunyai asas Jawi sama sekali. Lebih kurang lima 25 peratus pelajar lagi memerlukan pengemaskinian pengetahuan tentang tulisan Jawi, termasuk abjad Jawi bentuk tunggal terkini dari segi jumlah, susunan, nama dan bentuk. Mereka mendapati carta abjad Jawi yang saya edarkan amat membantu pembelajaran mereka. Jadi saya menjangka merekalah kumpulan utama pengakses “Abjad Jawi Bentuk Tunggal Terkini”. Catatan ini sudah dicapai sebanyak 12,672 kali dan kekal sebagai catatan paling popular sejak disiarkan pada 29 Januari 2009.
Berdasarkan pengalaman juga, saya mendapati pengetahuan sebahagian besar pelajar rancangan Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) tentang tulisan Jawi tidak kemas kini. Jadi saya menjangka mereka ialah kumpulan yang berada di tempat kedua sebagai pengakses catatan “Abjad Jawi Bentuk Tunggal Terkini” dan catatan tentang tulisan Jawi yang lain. Di samping itu, pensyarah IPG dan guru sekolah juga saya jangka mencapai catatan ini.
Saya mengucapkan terima kasih kepada dua orang pengunjung yang sudi meninggalkan ulasan bagi catatan popular ketiga. Sayangnya tiada seorang pun pengunjung sudi mencatatkan ulasan bagi catatan paling popular. Sebenarnya saya memerlukan ulasan mereka tentang beberapa perkara seperti ketepatan fakta, reka bentuk carta (sama ada sesuai dengan keperluan mereka atau tidak) dan unsur yang perlu dibuang atau ditambah.
Saya berharap ada pengunjung sudi meninggalkan ulasan ringkas. Ulasan tuan/puan akan saya manfaatkan apabila saya memurnikan carta ini.
Amat jelas bahawa jumlah klik halaman bagi catatan paling popular jauh meninggalkan catatan kedua popular. Hal ini di luar jangkaan saya. Jikalau ingatan saya tepat, semua pelajar IPG mesti mengikuti kursus Literasi Bahasa Melayu. Catatan “Kaedah Pengajaran Bacaan Asas: Kaedah Abjad” adalah sebahagian daripada tajuk kuliah mereka. Adakah keadaan sudah berubah?
Catatan ini juga berkaitan dengan pengkhususan Pengajian Melayu, Pemulihan dan Prasekolah di IPG. Tegasnya kumpulan sasaran catatan ini jauh mengatasi kumpulan sasaran catatan paling popular. Apabila catatan tentang tulisan Jawi mengatasi catatan ini, ada kemungkinan sumber pembelajaran tulisan Jawi sangat terbatas. Bahan di laman sesawang menjadi rujukan utama pelajar. Sebaliknya, bahan seperti kaedah abjad terdapat dapat berbagai-bagai buku. Ini telahan saya dan diharap ada pengunjung sudi memberikan ulasan.
Saya maklum bahawa beberapa orang rakan pensyarah di IPG mempromosikan blog ini kepada pelajar dan peserta kursus. Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka. Mudah-mudah usaha tuan/kita menjadi ibadah.
Sebagai rumusannya, pengunjung utama blog ini ialah warga IPG, khususnya pelajar. Mereka pengakses utama catatan paling popular dan ketiga popular. Mereka juga pengakses utama catatan popular yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan