1
Dia anak kelahiran zaman penjajah
ketika Tunku melaungkan “merdeka!” dia belum bersekolah
berkaki ayam melastik merbah dengan buah getah
menajur baung bersama-sama ayah
mandi di perigi, buang air besar di belukar itulah.
Selama di sekolah rendah
tiada acara merdeka tiada kibaran bendera
tiada radio di rumah, akhbar pun belum dikenali
televisyen baru direka, orang kampung belum memiliki
31 Ogos itu dia ke sungai ke hutan mengintai rezeki.
Tiga tahun di sekolah menengah keadaannya sama
sekolah Feldanya belum mengenali laungan “merdeka!”
Apabila bersekolah di pekan
barulah dia terselit dalam perhimpunan
tetapi kini laungan “merdeka!” sudah luput daripada ingatan
yang terbayang cantiknya percikan bunga api
dan lambaian gadis kereta berhias, lampunya berwarna-warni.
Hari kebangsaan keenam belas, sepuluh tahun Sabah merdeka
bersama-sama ribuan pemuda dia berkawad di jalan raya
bergaya bangga mengarak bendera ke padang di jalan istana
menyanyikan lagu-lagu patriotik termasuk “Malaysia Berjaya”
penuh semangat melaungkan “merdeka! merdeka! merdeka!”
Hanya itulah penyertaan istimewanya
seterusnya dia hanya penonton biasa
mengikuti siaran langsung televisyen kerapnya
jenama “menjelang merdeka” tidak dibelinya
air bercampur minyak bukan kegilaannya.
2
Dia belum merdeka kerana
masih terlayan bisikan syaitan, mengobarkan nafsu amarahnya
kerap terjerat oleh ahmak, berinfak selalu berkira
selalu malas lalu meringan-ringankan amalan sunatnya
tercabar menyatakan kebenaran terkunci mulutnya.
Apabila pemborosan ringgit berjuta apalagi berbilion-bilion
lagha seni dipupuk dibaja hidup subur merimbun
bahasa kebangsaan terlantar sakit bertahun-tahun
menjadi ukuran anugerah bintang setiap tahun
disahihkan dia belum merdeka, tua pikun.
Apabila tanda aras orang merdeka
ghairah menjaja aib sahabat, bersumpah laknat
gah memperlekeh hudud, mengharamjadahkan rakyat
puas mengumpamakan ulama syaitan terjahat
ditentusahkan dia belum merdeka, digelar keparat.
Dia belum merdeka
siapa percaya dia turut melaungkan “merdeka! merdeka! merdeka!”
pada hari kemerdekaan ke-55 kita?
Mohd Isa Abd Razak
Port Dickson
13 Syawal 1433 (31 Ogos 2012)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan