Kami bertolak dari Sandakan ke Ranau pada pagi Ahad dengan kereta Encik Ramli. Kami menginap di rumah mentua saya di Kampung Libang. Pada awal pagi hari Isnin kami bertolak ke SK Paus. Perjalanan kami melalui jalan yang sudah kami lalui dari Sandakan ke Ranau. Kami melintasi beberapa buah kampung seperti Nalapak, Matupang, dan Sagindai. Kami tiba di simpang ke Kampung Tampios sebelum pukul lapan pagi. SK Paus terletak selepas kampung itu.
Kami mengenderai skuter saya. Skuter jenis super berwarna hijau itu memang disimpan di Kampung Libang. Pergerakan skuter di jalan yang berlopak-lopak dari Kampung Libang ke Kampung Tampios lancar. Selepas kampung itu, jalan tidak berturap, tanpa batu kelikir, berbukit dan licin. Jalan itu dibina oleh syarikat kayu balak. Encik Ramli memeluk pinggang saya dan menggabungkan jari-jari kedua-dua tangannya di perut saya ketika skuter itu mendaki bukit.
Kami berhenti di suatu tempat di atas bukit. Di situ ada papan tanda kecil “Kampung Paus”. Di kiri dan kanan jalan itu hutan. Anak panah pada papan tanda itu menghala ke latisan atau denai di hutan. Encik Ramli bertanya, “Inikah jalan ke sekolah?” Saya membalas pertanyaannya dengan senyuman sahaja. Guru yang berkenaan sudah memberikan penjelasan tentang keadaan itu kepada kami semasa dia berkursus di maktab.
Sesudah saya menyorokkan skuter di dalam semak di pinggir hutan, kami menuruni bukit melalui latisan. Hawa pagi sepanjang latisan di bawah redupan hutan itu dingin dan nyaman. Latisan itu terpelihara. Langkah kami lancar. Beberapa minit kemudian kami tiba di kawasan belukar. Di hadapan kami tanah pamah saujana mata memandang. Tanah pamah yang menghijau itu dikelilingi oleh banjaran gunung. Kabus menyelubungi beberapa bahagian banjaran itu. Di sebelah kanan kaki banjaran itu samar-samar kelihatan sawah padi. Kami menjangka itulah Kampung Paus.
Kami menuruni bukit dan tiba di sebatang sungai. Ada latisan atau denai di kiri dan kanan sungai itu. Belukar di kedua-dua arah kelihatan semakin tebal. Kami berfikir berkali-kali sebelum memutuskan sama ada hendak mengikuti latisan kiri atau kanan.
Tidak kelihatan penunjuk arah. Saya ingat guru itu ada menjelaskan bahawa sekolahnya terletak di hulu. Lagipun dari bukit tadi kedudukan sawah di sebelah hulu. Namun Encik Ramli keberatan untuk menggunakan latisan menuju ke hulu. Dia menunjukkan latisan lain di seberang sungai. Banyak pokok buah-buahan di seberang. Kelihatan juga sebuah pondok kecil. Kami bersetuju bahawa latisan di kebun buah-buahan itu lebih berkemungkinan menuju ke SK Paus.
Ketinggian kedua-dua bahagian tebing sungai itu lebih kurang tiga meter. Sepanjang kedua-dua tebing itu banyak batu kecil dan besar. Air sungai itu agak keruh. Aliran air deras. Kederasan aliran itu menghasilkan deruan yang berterusan. Batu-batu besar kelihatan tersembul di permukaan air. Tamparan air pada batu-batu itu menghasilkan percikan dan cepukan. Gabungan cepukan dan deruan air menyebabkan kami perlu menguatkan suara apabila bercakap.
“Isa, ada perahu di sana!” seru Encik Ramli dengan nada gembira.
Saya memandang ke arah hilir yang ditunjuknya. Di bawah sebatang pohon yang rendang kira-kira seratus meter dari tempat kami berdiri, kelihatan seorang lelaki di dalam sebuah sampan. “Oi … oi!” saya melaung untuk menarik orang itu.
Encik Ramli segera meningkah, “Ooi … ooi! Kami hendak menyeberang dengan perahu kamu!”
Suara kami bergaung. Lelaki itu melepaskan ikatan tali penambat sampannya pada sebatang pokok kecil. Dia mengangkat dayung dan terus mengemudikan pergerakan sampan itu ke hilir tanpa menoleh ke arah kami. Tahulah kami bahawa laungan kami tidak sampai ke telinganya. Laungan kami dan gemanya ditelan oleh deruan dan cepukan air.
Kami mengambil keputusan untuk menyeberangi sungai itu. Kami membuka seluar, baju, anak baju, kasut kulit dan stoking. Pakaian yang tinggal hanya seluar dalam. Saya memasukkan pakaian kerja saya ke dalam beg sandang. Beg itu padat dan tiada ruang untuk pakaian Encik Ramli.
Kami menyeberangi sungai itu beriringan. Saya menjunjung beg sandang dan kasut kulit hitam. Stoking saya berada dalam perut kasut itu. Encik Ramli menjunjung pakaiannya pula, termasuk kasut kulit hitamnya. Kasut berjenamanya itu jenis yang melebihi paras buku lali. Saya berkata dalam hati, wajarlah kasut berjenama dijunjung.
Air sungai sejuk. Sebagai anak muda yang berdarah panas, kesejukan itu tidak menjejaskan pergerakan kami. Penyeberangan itu cuma lambat kerana kami perlu berhati-hat. Tapak kaki kami berasa sakit apabila memijak batu-batu kecil di dasar sungai. Namun kami terus mengukuhkan pijakan dan cengkaman jejari kaki pada batu-batu itu.
Kedalaman sungai itu adalah antara paras lutut hingga dada. Apabila kami berada di kedalaman yang melebihi paras pinggang, tolakan arus terasa kuat. Adakalanya kami hampir direbahkan ke hilir oleh tolakan arus itu. Alhamdulillah, hal itu tidak terjadi dan kami selamat tiba di seberang. Kami berasa lega apabila berada di atas tebing.
Kami dapati laluan di bawah redupan pohon-pohon di tanah rata itu lebih baik daripada latisan atau denai di perbukitan. Sesudah berpakaian, kami segera menuju ke hulu. Laluan itu berhujung di belakang SK Paus. Perjalanan dari tebing sungai ke sekolah memakan masa lebih kurang dua puluh minit.
Beberapa orang murid menyedari kehadiran kami. Lebih kurang tiga minit kemudian seorang guru wanita muncul. Pada masa itu kami sedang duduk di kaki lima sekolah. Kami sudah membuka kasut dan stoking. Saya sudah menyelak seluar ke paras lutut dan sedang menarik pacat yang hampir gemuk. Pacat itu mencengkam kulit lembut di atas buku lali kaki kanan saya. Encik Ramli juga sudah menyelak seluarnya dan berusaha mengesan pacat. Pacat di lembah Kampung Paus tidak kelihatan di kaki Encik Ramli yang lebih tebal bulunya berbanding dengan kaki saya.
Kami perasan guru wanita itu tercegat di belakang kami. Dia masih muda dan kelihatan sungguh comel. Berdasarkan wajah dan kulitnya yang putih gebu, saya yakin dia anak tempatan daripada suku kaum Dusun, iaitu suku kaum mentua saya. Beberapa orang murid yang comot berdiri di belakang guru wanita muda suku kaum Dusun yang comel itu. Kami berdiri sebagai tanda hormat tetapi tidak bersalam kerana hal itu bukan kebiasaan saya yang berjanggut dan sentiasa berketayap.
Kami memperkenalkan diri. Kami juga menyatakan bahawa tujuan kedatangan kami. adalah untuk melihat sesi pengajaran dan pembelajaran seorang rakannya. Dia cepat faham dan berkata, “Tunggu, ya tuan. Saya panggil cikgu itu. Dia sedang mengajar di dalam kelas tahun dua dan tiga.” Dia pergi tanpa menunggu persetujuan kami.
Guru yang akan kami selia datang. Kami bersalaman dan berbual. Dia berkata sesuatu dalam bahasa Dusun kepada seorang murid perempuan. Kami terus berbual tentang perjalanan yang dilalui dan penyeliaan praktikum. Tidak lama kemudian murid perempuan tadi kembali ke tempat kami. Dia membawa sebotol air dan cawan. Alhamdulillah. Kami memang dahaga!
Sekolah itu kecil. Hanya ada empat buah bilik darjah dan sebuah bilik guru besar. Bilik guru besar juga menjadi tempat guru-guru berehat. Kami melaksanakan sesi prapenyeliaan di bilik guru besar itu.
Murid sekolah itu sedikit. Murid-murid tahun satu dan tahun enam mempunyai bilik sendiri. Murid-murid tahun dua berkongsi sebuah bilik dengan murid-murid tahun tiga. Sebuah bilik lagi dikongsi oleh murid-murid tahun empat dan tahun lima. Kedua-dua buah bilik itu dipisahkan dengan sekatan yang mudah dialihkan. Kedua-dua buah bilik yang dikongsi itu dinamakan kelas bercantum.
Guru yang kami selia memang menetap di kampung itu. Dia berpengalaman mengajar lebih lima tahun. Buku rekod pengajarannya lengkap. Berdasarkan buku rekod pengajaran, beberapa dokumen lain dan temu bual dengannya, dia sentiasa hadir bertugas pada waktu kerja. Guru pedalaman hadir dan bertugas ialah perkara utama. Hal ini dikatakan demikian kerana kami mendapat tahu ada guru pedalaman agak kerap meninggalkan sekolah pada waktu kerja tanpa alasan yang kukuh.
Penyeliaan berjalan lancar. Mutu pengajaran guru itu sederhana tetapi kesungguhannya membimbing murid tinggi. Kesungguhan itu termasuk dalam perkara utama yang kami kesan. Oleh sebab sesi persekolahan akan berakhir setengah jam lagi dan kami lapar, kami memutuskan untuk melakukan sesi pascapenyeliaan secara ringkas.
Kami menunaikan permintaan guru itu agar kami menikmati buah-buah di rumahnya. Dalam perjalanan ke rumahnya, dia menunjukkan jambatan gantung yang sepatutnya kami lalui. Dia juga memberikan panduan agar perjalanan kami ke jalan tempat skuter saya disorokkan lancar.
Di rumahnya kami menikmati tarap dan durian. Dia menyediakan sekarung penuh durian untuk kami bawa pulang. Karung itu karung tepung. Saya dan Encik Ramli memutuskan untuk membawa durian sekadar sepertiga karung itu. Perjalanan ke tempat skuter saya disorokkan mendaki bukit dan dijangka memakan masa lebih setengah jam. Langit semakin cerah dan sinaran matahari semakin terik. Perut kami belum diisi dengan makanan biasa yang sepatutnya. Keletihan kami sudah bermula dan dijangka akan meningkat. Tidak mungkin kami mampu memikul sekarung durian.
Sebelum kami melangkah untuk memulakan perjalanan pulang, guru itu berkata, “Tuan, maaf, ya. Kata Tuan Haji Hussain, penyeliaan sekurang-kurangnya dua kali. Adakah tuan akan datang lagi?”
Saya memang sudah bersedia dengan jawapan piawai. Jadi dengan pantas dan fasih saya menjawab, “Benar, cikgu. Cikgu perlu terus menyediakan rancangan pengajaran harian yang lengkap sepanjang tempoh praktikum. Pensyarah boleh datang untuk melakukan pemerhatian bila-bila sahaja. Walau bagaimanapun, pensyarah yang datang itu tidak semestinya kami.”
Guru itu mengangguk dan mengucapkan terima kasih. “Jalan baik-baik, ya tuan,” katanya.
Sebelum menyeberangi jambatan gantung, Encik Ramli bertanya, “Kita akan ke sini lagi, Isa?”
“Tidaklah,” kata saya sambil tersenyum. Saya menambah, “Belum ada kes pensyarah penyelia melakukan lawatan kali kedua ke tempat yang seperti ini.”
“Oh, begitu!” seru Encik Ramli. Beliau menambah, “Jikalau perlu lawatan kali kedua, kita minta Tuan Haji Hussainlah datang!”
Kami ketawa kerana mustahil Tuan Haji Hussain yang akan bersara tidak lama lagi itu mahu menyusahkan diri untuk melawat ke sekolah di pedalaman seperti SK Paus.
Sesudah menyeberangi jambatan gantung, kami menghala ke hilir dan kemudian kami mendaki bukit. Belukar di bukit itu kurang tebal. Kami meneruskan pendakian kerana beranggapan latisan itu sebagai laluan pilihan. Latisan itu berhujung di kebun padi bukit. Dalam kebun itu ada sulap. Kami tercegat kira-kira tiga puluh meter dari sulap itu. Encik Ramli berteriak, “Ada orang di sana? Kami mahu tumpang bertanya!”
Saya menambah, “Kami dari SK Paus. Kami hendak keluar ke jalan besar. Jikalau ada orang di sana, kami hendak bertanya!”
Setelah beberapa lama kami menunggu, kelihatan seorang remaja wanita keluar dari sulap itu. Bibirnya kelihatan merah. Mungkin kesan air sirih. Dia bersentil. Pakaiannya dan gaya dia menggunakan tutup kepala daripada kain batik persis petani tradisional Melayu dalam filem hitam putih. Dia kelihatan takut-takut. Kami tidak pula memperlihatkan keberanian kerana ada kemungkinan seorang atau lebih wira Dusun sedang memerhati gerak-geri kami dari dalam atau belakang sulap itu.
Saya memohon maaf berkali-kali seperti yang biasa dilakukan oleh orang Sabah. Saya menyatakan bahawa kami bertujuan untuk ke luar ke jalan dari kawasan itu. Kami mungkin sesat, kata saya.
“Jalan sa…na!” kata wanita remaja itu. Suku kata “sa” diucapkannya empat harakat sambil telunjuknya dihalakan ke hilir di bawah bukit.
Setelah memperoleh penjelasan tambahan dan mengucapkan terima kasih berkali-kali, kami menuruni bukit itu. Kami menuju tempat kami menyeberang semasa datang. Pastilah kami bahawa kami berada di latisan yang betul.
Pada hari ini latisan dan tempat-tempat yang saya catatkan dijangka tidak dapat dikesan. Setelah lebih tiga puluh tahun peristiwa itu berlalu, tempat-tempat itu pasti sudah dibangunkan. Saya mendapat tahu bahawa kereta sudah boleh dipandu terus ke kampung itu. Berdasarkan maklumat dalam satu laman web pula, pada tahun 2009 SK Paus mempunyai 153 orang murid dan 14 orang guru. Jumlah itu merupakan peningkatan melebihi seratus peratus.
Ahli Parlimen Ranau, YB Datuk Siringan Gubat dan rombongannya meniti jambatan batang pinang di Kampung Paus pada tahun 2009.
|
Wallahuaklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan