Penyeliaan di SK Paus 1981: Di sa…na!
Bahagian utama latihan perguruan ialah latih amal atau praktikum di sekolah. Ketika saya bergelar guru pelatih pada tahun 1973 dan 1974, istilah praktikum belum digunakan. Ungkapan yang digunakan pada masa itu ialah latihan mengajar. Ungkapan itu masih kerap digunakan pada tahun 80-an di samping istilah praktikum. Mulai awal tahun 90-an istilah praktikum digunakan secara meluas. Kini istilah praktikum semakin popular. Penggunaan ungkapan latihan mengajar kedengaran sesekali sahaja.
Sebagai bahagian utama latihan perguruan, guru pelatih menanti tempoh praktikum dengan penuh debar bagai pengantin perempuan menunggu saat diijabkabulkan atau kanak-kanak lelaki menanti giliran untuk dikhatankan. Debaran itu dapat mereka kawal kerana mereka sudah mengalami tempoh pengajaran mikro, rancangan orientasi sekolah (ROS) dan berbagai-bagai taklimat. Selain itu, sebelum ke sekolah mereka dibimbing oleh pensyarah yang terlatih dalam ilmu kaunseling, berdedikasi dan berpengalaman.
Debaran yang saya alami ketika memulakan latihan mengajar pada tahun 1974 tidak seberapa. Pengalaman saya sebagai guru dalam Skim Guru yang Disatukan pada tahun 1972 dan sebagai pembantu guru pelatih senior pada tahun 1973 meningkatkan keyakinan saya untuk mendepani suasana latihan itu.
ROS belum ada ketika saya menjadi guru pelatih. Latihan yang berfungsi ROS ialah guru pelatih tahun pertama menjadi pembantu guru pelatih tahun kedua. Mata pelajaran pengkhususan guru pelatih yang menjadi pembantu itu sama dengan mata pelajaran pengkhususan guru pelatih yang dibantu. Saya membantu Encik Ismail yang berlatih di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Majakir, Papar. Selain membantu Encik Ismail menyiapkan alat bantu pengajaran, saya juga mendapat peluang untuk melaksanakan beberapa sesi pengajaran.
Jadi, apabila Saya menjalani praktikum pada tahun 1974, keyakinan saya tinggi. Tambahan pula pensyarah penyelia saya akrab dengan saya. Encik Othman menyelia mata pelajaran am dan pengkhususan Bahasa Melayu. Dia abang tiri sepupu saya. Saya kerap makan minum dan tidur di rumahnya dalam kawasan Maktab Perguruan Gaya itu. Hal itu terjadi kerana dia kerap meminta saya untuk membantu isterinya dalam urusan pembuatan kuih-muih. Isterinya yang saya panggil Kak Eton menjadi pembekal kuih-kuih Melayu secara kecil-kecilan. Saya membantu Kak Eton membelah kayu api, mengambil daun pandan di lembah yang berhampiran, mengacau inti karipap dan sebagainya.
Encik Othman bukan sahaja saya anggap sebagai baik bahkan dapat saya katakan menyayangi saya kerana kesungguhan saya membantu isterinya. Sebagai pensyarah Bahasa dan Kesusasteraan Melayu pula, dia menyedari tulisan saya kerap tersiar di akhbar tempatan dan Berita Harian. Selain itu, dia menyedari bahawa saya giat sebagai Setiausaha Badan Persuratan dan Bahas, mempelopori penerbitan majalah ilmiah Dharma dan menjadi sidang pengarang majalah maktab. Kegiatan saya itu mungkin mempengaruhi cara penyeliaan dan ulasannya dalam lembar pemerhatian.
Saya masih ingat ayat “Murid-murid berpeluh!” yang tercatat dalam lembar pemerhatian. Jikalau tidak silap, ayat sebelumnya ialah “Guru pelatih kelihatan bersungguh-sungguh”. Sebenarnya, dia melihat saya melaksanakan amali Pendidikan Jasmani itu dari jauh. Hawa di padang SMK Tamparuli pada pagi itu dingin. Matahari dilindungi oleh mendung. Walaupun murid-murid giat, peluh mereka tidak seberapa.
Pensyarah penyelia kedua bagi pengkhususan Bahasa Melayu ialah rakan karib Encik Othman. Nama beliau sudah mengabur dalam ingatan saya. Hal yang pasti, dia baik orangnya. Dia tidak pernah mengecilkan hati saya sepanjang latihan mengajar itu. Dia lebih banyak memuji daripada menegur. Hal itu menyebabkan saya menaruh harapan untuk meraih pangkat A.
Pensyarah penyelia mata pelajaran pengkhususan Seni Perusahaan ialah Encik Vishnupathan. Lelaki India yang bertubuh besar itu baik juga orangnya. Antara keistimewaan lelaki bujang yang berusia akhir tiga puluhan itu ialah kesukaannya melawak. Dia kerap mengeluarkan kata-kata lucu dengan suara yang kuat. Jadi, apabila dia berkata, “Isa, kamu cakap kayu, bukan ajar kerja kayu!” saya tidak berapa berasa hati. Ungkapan yang digunakannya ialah “wood talk”. Dia baik hati. Ungkapan “wood talk” itu tidak tercatat dalam lembar pemerhatian.
Saya faham maksud ungkapan itu. Dalam pengajaran yang seterusnya, saya berusaha mengurangkan pertuturan semasa tunjuk cara. Jadi, dalam penyeliaan yang berikutnya, ulasan Encik Vishnupathan positif dan memberangsangkan. Keadaan itu memang sewajarnya berlaku kerana saya pernah menjadi pelajar Institut Kemahiran MARA dalam bidang pertukangan kayu. Kemahiran saya terkehadapan berbanding dengan rakan-rakan. Mungkin kelebihan saya itulah yang mendorong Encik Vishnupathan memilih saya untuk membentuk dan mengukir dulang daripada tembaga. Hasil kerja tangan saya itu dihadiahkan kepada Menteri Pelajaran semasa beliau melawat ke maktab kami. Hal-hal ini menyebabkan saya menggunungkan harapan untuk mendapat gred A.
Selepas latihan mengajar itu Encik Vishnupathan menugaskan saya untuk membuat troli kayu. Dia tidak menyatakan sebab saya diberikan tugasan itu. Saya melaksanakan tugasan itu bersendirian dengan sepenuh hati. Saya pastikan setiap tanggam kejap, setiap sudut tepat dan kemasan bermutu. Rupa-rupanya hasil kerja saya itu dihadiahkan kepada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Neger Sabah dalam satu majlis di maktab kami. Saya berasa bangga. Harapan saya untuk mendapat gred A menggunung.
Kami tidak memperoleh keputusan peperiksaan dan latihan mengajar ketika di maktab. Pihak maktab akan mengeposkan keputusan itu ke alamat tempat kami bercuti. Semasa bercuti, ada dua perkara yang kami tunggu, iaitu keputusan peperiksaan, termasuk latihan mengajar, dan penempatan di sekolah.
Cuti hujung tahun sebelum bergelar guru terlatih saya habiskan di Negeri Sembilan. Pada pertengahan cuti saya menerima surat yang ada cap Maktab Perguruan Gaya. Saya ghairah untuk mengetahui sama ada kandungan surat itu keputusan peperiksaan atau senarai penempatan. Saya bergerak ke satu tempat yang terlindung daripada penglihatan orang, khususnya ayah dan ibu saya. Di situ, hujung sampul surat saya koyakkan. Tangan saya menggigil. Degupan jantung saya kencang.
Dengan berhati-hati, kandungan sampul surat itu saya keluarkan. Kertas putih yang berlipat tiga saya buka perlahan-lahan. Tangan saya terus menggigil. Degupan jantung saya semakin kencang. Hujung kertas yang terjuntai bergetar. Saya yakin tiada sesiapa melihat kegelabahan saya.
Kandungan surat itu ialah keputusan peperiksaan akhir dan latihan mengajar. Saya membaca keputusan itu berkali-kali. Lama kemudian baru saya yakin bahawa keputusan itu benar. Saya memperoleh gred B atau kepujian bagi latihan mengajar dan semua mata pelajaran. Impian saya untuk memperoleh gred A bagi latihan mengajar berkecai!
Wallahuaklam. Wassalam.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan