Kami bertolak dari Singapura dengan kapal kargo Kunak pada petang 21 September 1971. Perjalanan menempuh Laut Cina Selatan memakan masa tiga hari tiga malam. Pada 24 September, iaitu malam keempat, kami tiba di Labuan. Anak-anak kapal memunggah sebahagian muatan. Penumpang tidak dibenarkan turun. Pegawai imigresen naik ke atas kapal. Mereka memeriksa dokumen perjalanan dan mengecap perakuan kelulusan tinggal sementara pada helaian dokumen itu.
Kapal itu bertolak ke Kota Kinabalu pada pagi 25 September, tiba sesudah malam dan berlabuh jauh dari pelabuhan. Keesokannya barulah kapal itu merapat di dermaga. Kami turun. Sementara menunggu pihak yang akan menguruskan perjalanan kami seterusnya, kami berjalan-jalan di sekitar pelabuhan itu. Alunan ombak selama lima hari enam malam mempengaruhi sistem saraf saya. Saya berasa teroleng-oleng bagai berjalan di atas air.
Pihak syarikat yang dikatakan akan menjadi majikan kami membawa kami ke Tanjung Aru. Kami menginap di sebuah hotel kecil yang berhadapan dengan padang lumba kuda. Keesokannya kami diterbangkan ke Tawau dengan pesawat Fokker Malaysia-Singapore Airlines. Dari Lapangan Terbang Tawau kami menaiki bas MARA berwarna merah ke Apas Balung.
Bas itu sebenarnya ialah kereta pacuan empat roda buatan sebuah negara yang pernah menjajah negara kita. Walaupun keseluruhan kereta itu bertutup, habuk merah di jalan berbatu kelikir berjaya masuk melalui tingkap kaca yang terbuka sedikit. Jikalau tingkap gelangsar itu dirapatkan, bahang panas dalam kereta tanpa pendingin hawa itu akan meningkat.
Kami ditempatkan di sebuah bangsal bersama-sama beberapa orang pekerja lain. Bangsal itu dan beberapa buah bangsal lain terletak dalam ladang kelapa sawit yang belum mengeluarkan hasil. Di hujung sebuah bangsal ada kedai yang menjual keperluan asas. Terdapat sebuah perigi tidak jauh dari bangsal kami. Air perigi yang berlodak perang itu digunakan untuk mandi, air minuman dan cuci-mencuci. Pada waktu malam, lampu pam menerangi bangsal kami.
Keesokannya kami mula bertugas. Pada hari pertama itu seorang lelaki menyuruh saya dan seorang rakan untuk menyiapkan dinding sekatan bahagian dalam sebuah rumah kayu dan memasang kambi, iaitu sejenis kemasan yang berupa jalur papan selebar empat inci. Jalur papan itu dilekapkan pada bahagian bawah dinding. Saya dan rakan saya itu bekerja dari pagi hingga ke petang tanpa diselia oleh sesiapa.
Pada sebelah malamnya kami berbincang. Perbincangan itu diketuai oleh Mohd Nor. Usianya akhir dua puluhan. Dia tertua dalam kalangan kami dan pernah bekerja. Dia menyatakan bahawa kami belum mengetahui majikan yang sebenar dan suasana kerja di situ tidak seindah yang digambarkan oleh pihak institut. Katanya, kami ditipu atau dipermainkan. Dia berkuat untuk meninggalkan tempat itu pada esok pagi.
Kami bersetuju bahawa majikan kami entah sesiapa. Kami juga bersetuju bahawa suasana kerja tidak seperti yang dijangkakan. Kami juga berasa tertipu. Namun kami berasa sukar untuk meninggalkan tempat itu. Tempat baharu yang hendak dituju kabur. Cabaran yang menunggu pasti hebat.
Mohd Nor bertekad untuk meninggalkan kami. Dia hendak ke Kota Kinabalu bagi mencuba untung nasib. Dia menyatakan bahawa kami mesti berani bertindak sebelum dokumen perjalanan kami diambil oleh sesiapa.
Majid dan Said memperlihatkan kecenderungan untuk bersama-sama Mohd Nor. Mereka mengkhusus dalam bidang binaan bangunan. Mereka bercita-cita untuk menimba pengalaman dalam syarikat pembinaan yang kukuh seperti yang digambarkan oleh pihak institut. Mereka menyatakan bahawa tugas membina rumah kayu di ladang itu tidak sesuai dengan kemahiran dan cita-cita mereka.
Saya berfikir panjang. Bidang pertukangan bukanlah pilihan saya. Saya bercita-cita untuk menjadi wartawan. Saya ingin menjadi penulis. Saya hendak mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran. Cita-cita dan hasrat saya pasti sukar dicapai sekiranya saya terus berada di ladang itu. Setelah berfikir berkali-kali, saya menyatakan bahawa saya akan bersama-sama Mohd Nor, Majid dan Said ke Kota Kinabalu dengan syarat dua orang lagi rakan kami ikut serta dan kekurangan perbelanjaan yang mungkin saya alami hendaklah ditampung.
Mohd Nor bersedia menampung perbelanjaan yang kurang. Dia akan berusaha agar kami mendapat tempat tinggal sementara di Kota Kinabalu. Dua orang rakan kami lagi mengalah. Kami bertekad untuk ke Tawau dan kemudian menaiki pesawat ke Kota Kinabalu esok. Kami yakin pergerakan kami tidak diketahui oleh majikan yang entah sesiapa itu. Penghuni bangsal itu semuanya pekerja.
Tengah hari keesokannya kami tiba di Kota Kinabalu. Dari lapangan terbang kami menaiki teksi ke sebuah bangunan di Kampung Air. Kami naik ke tingkat atas bangunan itu. Di situ ada pejabat. Mohd Nor berurusan dengan kakitangan pejabat itu. Urusannya lama. Kami turun dan menunggu di bawah. Penungguan itu menggelisahkan. Kekhuatiran dan kebingungan menyelubungi perasaan.
Penungguan itu berakhir juga. Mohd Nor muncul. Kami menaiki sebuah van. Pemandu van itu membawa kami ke sebuah rumah di Jalan Saga, Kampung Likas.
Rumah itu besar. Di hadapan pintu pagar rumah besar itu ada papan tanda kecil bertulis Rumah Badan Kebajikan Islam. Pemandu itu mengajak kami ke belakang rumah. Dia membukakan pintu sebuah rumah kecil di belakang rumah besar itu. Dia berkata, kami dibenarkan untuk menjadikan rumah kecil itu sebagai tempat tinggal sementara.
Rumah kecil tanpa bilik itu berlantai simen, beratap zink dan berdinding papan. Binaannya kemas. Ada tingkap di hadapan dan di sisi. Ada pintu di hadapan dan di belakang. Bilik air dan tandas terletak di belakang dan terpisah dari rumah ibu.
Keluasan rumah itu lebih daripada mencukupi untuk kami berenam. Bahkan keluasan itu dapat menampung sepuluh hingga lima belas orang musafir. Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah Subhanahuwataala yang membukakan hati insan di Kota Kinabalu itu untuk membantu kami.
Menjelang maghrib, seorang lelaki berkulit cerah dan tinggi mengunjungi kami. Namanya Salim. Dia kelihatan jauh lebih tua daripada kami. Dia orang Melaka. Dia dan keluarganya tinggal di rumah besar di sebelah rumah tumpangan kami. Dia menyatakan bahawa pihak Badan Kebajikan Islam membenarkan kami tinggal di rumah kecil itu sehingga kami mendapat pekerjaan dan mampu menyewa rumah. Atas pelawaannya, kami makan di rumahnya pada malam itu.
Awal pagi lagi kami keluar untuk mencari pekerjaan di tapak binaan. Usaha kami berhasil. Saya dan empat orang rakan diterima untuk bekerja sebagai buruh. Tempat kerja saya lebih kurang dua kilometer dari penginapan sementara kami.
Sesudah larut petang, Mohd Nor belum pulang. Kami mendapati beg pakaiannya juga tidak ada. Dia tidak pulang juga sehingga kami mendapat wang gaji mingguan. Dia masih tidak menunjukkan muka pada hujung minggu seterusnya. Saya tidak pasti sama ada dia kembali lagi ke rumah itu atau tidak pada minggu-minggu seterusnya kerana beberapa minggu kemudian kami berpindah ke sebuah rumah sewa.
Rumah sewa kami itu ialah rumah kampung milik seorang nenek di Kampung Likas. Kedudukan rumah itu tidak jauh dari pantai. Rumah itu berdinding papan. Atap zinknya sudah buruk. Tiangnya daripada kayu bulat dan tinggi. Ada sebuah bilik dan dapur untuk memasak. Tidak jauh dari rumah itu ada perigi. Di situlah kami mandi, berwuduk, mencuci pakaian dan mengambil air untuk masak-memasak. Pada waktu malam, kami menggunakan pelita minyak tanah dan lampu ayam.
Tempat kerja empat orang rakan saya agak jauh dari rumah sewa kami. Syarikat tempat mereka bekerja besar. Projek syarikat juga besar. Syarikat berkemampuan menyediakan bangsal yang selesa, siap dengan kemudahan air paip dan elektrik. Mereka pula sudah bergelar tukang berkemahiran. Mereka mampu menyewa rumah yang berhampiran dengan tempat kerja atau boleh tinggal di bangsal dalam kawasan tapak binaan.
Saya tidak bersendirian. Seorang rakan sekerja saya daripada suku kaum Bajau tinggal bersama-sama saya di rumah nenek itu. Namanya Untung. Saya beruntung kerana memperoleh rakan seagama yang sama-sama bergelar buruh binaan, biasa hidup susah dan makan pakai secara sederhana.
Bersambung: (2) Menghadapi Ujian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan